29 November 2021, 20:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Sebuah acara mengumpulkan Sasterawan Negara di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur semalam (28 November 2021, Ahad) dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bersama CENDANA dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di bawah sebuah program kolektif kebudayaan dan kesenian, KLWKND produksi Joe Sidek Productions.

Menempatkan empat Sasterawan Negara yang kini masih bergiat aktif dalam ranah persuratan tempatan, iaitu Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Zurinah Hassan, dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail di bawah satu bumbung dan di atas sebuah pentas, mereka diajak untuk berkongsi pengalaman dan citra kepengarangan mereka.

Seiring dengan nama Memperkenalkan Sasterawan Negara, acara ini dianjurkan sebagai sebuah peluang buat generasi peminat dan penggiat sastera baharu agar dapat mengenali jiwa kepengarangan dan bersua muka dengan para Sasterawan Negara.

Lebih-lebih lagi pada era pandemik kini, peluang untuk menemui mereka adalah terbatas, malah sudah menghampiri dua tahun acara-acara fizikal telah ditangguhkan, termasuklah acara kesusasteraan.

“Program ini adalah untuk kita lebih mengenali akan jiwa dan misteri kepengarangan para Sasterawan Negara, yang bagi saya merupakan aset dan khazanah negara kita yang sangat berharga,” ujar Saifullizan Yahaya sebagai pengemudi bicara itu, semalam.

Prof. Muhammad Haji Salleh, berkongsi pengalaman menuntut ilmunya yang memaksa beliau melangkah kelana ke negara-negara luar.

“Sewktu saya menjadi seorang pelajar di negara luar, saya juga turut merakamkan pengalaman hidup di sana, proses demokrasi, proses demonstrasi, malah manusia yang lalu lintas di hadapan saya pun turut dijadikan modal catatan,” jelas Prof. Muhammad.

Jelas beliau, pengalaman sebegini walaupun jauh dari bumi Malaysia, memupuk lagi semangat kecintaan beliau kepada bahasa dan budaya Malaysia.

Datuk Dr. Siti Zainon Ismail juga turut berkongsi pengalaman yang mendorong beliau untuk bergiat dalam ranah sastera.

“Saya mula menulis sebagai satu perkhidmatan buat orang-orang yang rapat dengan saya, sebagai salah satu luahan terima kasih dan bakti,” ujar beliau.

Beliau juga turut memberikan kredit buat kota yang beliau diami, Kuala Lumpur. Katanya, persekitaran Kuala Lumpur memainkan peranan penting yang mendorong beliau mula membelek buku-buku dan karya sastera.

“Ayah saya sering membawa pulang buku yang dibeli di kedai-kedai buku. Saya juga belajar di Kuala Lumpur, dan ayah saya akan mengheret saya ke kedai-kedai buku yang banyak di sini.”

Pada masa yang sama, Dr. Siti Zainon juga rapat dengan bidang seni lukis, dan masih bergiat dalam aktiviti kesenian itu. Perjalanan beliau dalam dunia penulisan dan sastera berjalan seiring dengan langkah seni lukis beliau. “Puisi mengalir dengan seni lukis,” ujar beliau.

Datuk Dr. Zurinah Hassan turut meluahkan cerita bagaimana beliau mula terpupuk sebagai karyawan “kampung” tapi berfikiran “moden”. Karya-karyanya yang mengangkat peranan dan perasaan wanita dalam dunia moden menjadi tunjang utama, malah karyanya membangkitkan perjuangan hak wanita dalam zaman dan arus yang beliau duduki.

“Saya tidak duduk di bandar, membesar di kampung, dan kehidupan saya yang tidak ada apa dari kecil telah mendorong saya untuk menulis dengan cara yang tersendiri.”

Manakala Dato’ Dr. Anwar Ridhwan pula sempat berceloteh akan keperibadian beliau pada awal usia, apabila pengalaman menulisnya bermula daripada sesi kuliah di menara gading.

Sebagai seorang pengarang, beliau sewaktu muda banyak membaca karya-karya eksperimental, dan karyanya ketika itu juga secara tidak langsung bersifat sedemikian. Pemilihan diksi dalam sesebuah karya sastera ialah modus utamanya ketika berkarya kerana baginya, kekuatan bahasa merupakan kekuatan utama yang paling penting dalam seseorang pengarang.

Diselangi persembahan lunak dan merdu gurindam serta nazam oleh Noor Amaliana Noor Kamaruzzaman, para Sasterawan Negara juga sempat membuat persembahan masing-masing, dimulakan dengan Dato’ Anwar Ridhwan membacakan fragmen daripada karya beliau, Penyeberang Sempadan, kemudian Datuk Dr. Zurinah Hassan membacakan puisi beliau yang bertema Kuala Lumpur, “Hujan di Kuala Lumpur” dan “Senja di Kuala Lumpur”. Seterusnya, Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail mendeklamasikan puisi “Seorang Tua Selepas Hujan”, dan Noor Amaliana membacakan teks autobiografi karangan Prof. Muhammad Haji Salleh.

Para Sasterawan Negara juga menyuarakan harapan mereka terhadap ranah sastera negara. Prof. Muhammad menegaskan kepentingan untuk membuka ruang buat sastera luar. Beliau menengahkan juga bahawa potensi sastera Melayu, akarnya lebih besar daripada sastera-sastera negara lain.

“Untuk masa hadapan, kita harus buka pintu kepada bandar (sastera dan negara) luar, tidak boleh duduk di kampung lagi,” ujar Muhammad Haji Salleh.

Datuk Siti Zainon pula menyeru buat pihak-pihak berkaitan untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu, juga mengukuhkan lagi premis bahasa dan sastera tempatan.

Begitu juga Datuk Dr. Zurinah Hassan, beliau menyeru agar kemajuan diri dan citra sastera negara harus dibangkitkan seiring dengan zaman. Harapan ini juga diangkat oleh Dato’ Anwar Ridhwan yang berhadapan dengan generasi muda, maka beliau menanamkan harapan dan cita-cita untuk penggiat sastera supaya dapat bergabung tenaga dan membentuk penggunaan sastera dalam era teknologi dan digital.

Selain itu, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan sempat menegaskan agar sistem pendidikan Malaysia dapat mengukuhkan dan menambah baik lagi peranan dan pembabitan bidang kesusasteraan, kerana masyarakat sesebuah negara dibentuk melalui pendidikan awal.

Tonton program penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.