Oleh Harlym Yeo
7 November 2021, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Zurinah Hassan, SN Dato’ Seri Dr. A. Samad Said, penyair dan pengkritik Dato’ Dr. Rahman Shaari, penyair Indonesia, Jose Rizal Manua dan Muhammad Kafrawi, dan Deklamator Kebangsaan, Lin Haslinaz, merupakan antara personaliti yang menyemarakkan program Semarak Puisi UKM 2021 pada 6 November, 8.30 malam secara dalam talian menerusi media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka dan pelantar Zoom Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Zurinah Hassan menyampaikan puisi beliau berjudul “Semalu” secara puitis melalui alunan sajak dan dendangan syair bersulamkan peringatan kepada mahasiswa agar tidak mudah berputus asa dalam perjuangan hidup.

Sementara itu, Sasterawan Negara ke-4, A.Samad Said yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad dengan tegas mengutarakan amanat tentang kepentingan masa daripada persepsi orang lama kepada golongan muda lewat sajak beliau, “Inti Masa”.

Program Semarak Puisi UKM 2021 ialah ajuran Pusat Kebudayaan Universiti, UKM dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR).

“Program ini merupakan satu platform yang terbaik bukan sahaja dapat menjalinkan persefahaman yang erat antara UKM bersama organisasi mahupun badan-badan kesenian di luar, malah sebagai sebuah universiti watan, program seumpama ini memperlihatkan UKM terus berdaya saing serta meningkatkan usaha dan kualiti, seiringan dengan nilai TERAS yang menjadi naratif baharu UKM,” kata Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia, saat menyampaikan ucapan wakil universiti dalam acara ini.

Dalam usaha untuk memupuk minat dan kecintaan seni sastera dan budaya tanah air, program ini menampilkan persembahan seni melalui deklamasi puisi dan nyanyian lagu-lagu puisi oleh para sasterawan, penggiat seni sastera, tokoh budaya dan akademik, wakil pemuisi dari Indonesia, pensyarah dan mahasiswa UKM dengan bertemakan “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan”, selaras dengan moto UKM yang menyambut usia ke-51 tahun penubuhannya pada 18 Mei 2021 yang lalu.

Sebagai ikhtiar mengeratkan jalinan antara UKM dengan badan kesenian luar, progam ini menyajikan persembahan selingan yang unik daripada dua orang pemuisi dari Indonesia, Jose Rizal Manua dengan puisi “Sengseng Tengtes Sreepbrebeet” dan Hang Kafrawi yang mendeklamasikan sajak “Ini tentang Awang: Tak Perlu Rindu”.

Turut menjayakan program tersebut ialah Presiden PENYAIR, Dato’ Rahman Shaari yang mendeklamasikan sajak beliau bertajuk “Dalam Kesopanan Kita”, manakala Presiden dan Pengasas Alumni Bengkel Puisi Merdeka dan Exco Pemuisi, Harlym Yeo atau nama sebenar Yeo Hock Lim menyuntik semangat kepada generasi muda agar memelihara ketuanan tanah air dan menyambut cabaran zaman melalui karya nukilan Ahmad Shukri Abdulah berjudul “Ceritera Pohon Bangsa”.

Dato’ Dr. Ibrahim Ghaffar mendeklamasikan sajak ciptaannya.

Turut menyemarakkan acara tersebut ialah Dato’ Dr. Ibrahim Ghaffar (Sanggar Damai Abadi), dan Deklamator Kebangsaan Lin Haslinaz daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Masing-masing melontarkan bait-bait puitis dan penuh semangat lewat karya sendiri berjudul “Nilai Cabaran, Kitalah Penerus Perjuangan” dan “Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan”.

“UKM terus gagah berdiri dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu berpaksikan budaya kebangsaan. Selain memperkasakan kualiti pendidikan dalam bidang kebudayaan dan kesenian, program ini memperlihatkan kesungguhan UKM memperkukuhkan peranannya meneraju kemajuan pendidikan tinggi serta pengembangan ilmu seni, budaya dan warisan negara,” kata Dr. Tan Awang Besar, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), ketika berucap merasmikan program ini.

Menurut beliau, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia menyambut baik usaha Pusat Kebudayaan Universiti, UKM dalam mengadakan program Semarak Puisi ini kerana ia selari dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN 2021), iaitu ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan serta penyemarakan seni budaya warisan bangsa. Katanya lagi, selain dapat melahirkan rasa cinta masyarakat Malaysia terhadap bahasa dan sastera Melayu, khususnya puisi, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melestarikan bahasa dan sastera Melayu sebagai salah satu warisan negara.

“Marilah kita bersama-sama memastikan agar seni, budaya dan warisan kita sentiasa diangkat dan dipertahankan demi kelangsungan identiti budaya bangsa. Justeru, saya menyeru kepada seluruh warga universiti serta seluruh Keluarga Malaysia agar terus mendukung aspirasi ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara,” seru Dr. Tan Awang Besar kepada para penonton.

Beberapa orang warga UKM dalam kalangan pentadbir, pendidik dan mahasiswa turut menyumbangkan persembahan mereka, termasuk Mohamadiani Hj. Kasian, Mantan Pegawai Kebudayaan, UKM, yang berpuisi dengan karya Diani Kancil berjudul “Menggapai Harapan, Mencapai Kejayaan”; Tuan Haji Abd Razak Hussin, Mantan Pendaftar, UKM dengan puisi SN Usman Awang bertajuk “Universiti Kebangsaan”; dan Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim mendeklamasikan sajak Anuar Abdullah, “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan”.

Turut menghangatkan persembahan program ini ialah pensyarah kanan dan pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Dr. Zubir Idris melalui puisi Dr. Shafie Abu Bakar, “Universiti Kebangsaan Malaysia” dan Muhammad Danial Mukhlis bin Salleh dengan karya sendiri, “Hikayat Watan Bitara”.

Selain warga UKM sendiri, program ini turut mendapat sokongan dan dukungan pelbagai institusi, seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Akademi Seni Budaya dan Warisan, dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Masing-masing menampilkan wakil peserta yang tidak kurang hebatnya, seperti Pensyarah Sekolah Pengajian Pendidikan, UUM, Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail dengan puisi sendiri berjudul “Impian dan Harapan”,

Mohd Kamarulzaman Taib dengan sajak nukilan Che Kem berjudul “Pakngah Datang dalam Mimpi” dan Ketua Pengarah JKKN, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop mempersembahkan sajak sendiri bertajuk “Teraju Dinanti”.

Bagi meredakan kehangatan persembahan deklamasi puisi, program ini juga menghidangkan sajian berupa persembahan nyanyian sebagai selingan daripada Kombo Pusat Kebudayaan Universiti, UKM. Dendangan lagu puisi Masihkah Kau Ingat menjadi persembangan penutup yang menggamit nostalgia para penonton.

Acara yang berlangsung selama lebih kurang dua jam lima belas minit itu dikemudikan oleh Saifulkhairi Ahmad, dan bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Muhammad Haziq Abdul Samad.

Dalam ucapan selaku wakil universiti, Othman A. Karim mengharapkan semoga lebih banyak lagi aktiviti kebudayaan dan kesenian dapat dilaksanakan selepas ini.

Menurut beliau, program seumpama ini juga dapat menjadi pemangkin yang menggalakkan lebih banyak penghasilan penyelidikan bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu.

Tonton program penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.