Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangS.M. Zakir menampilkan kuasa perulangan kata dalam tradisi budaya Melayu, khususnya dalam penggunaan mantera.
Perulangan kata bukan sahaja satu tindak reaktif tetapi juga adalah tindak kekuasaan dalam menguasai manusia dan alam.
Teks tradisi Melayu baik dalam bentuk prosa mahupun puisi tradisional banyak mempunyai perulangan kata sehingga sesetengah pihak melihatnya sebagai unsur lewah malah klise. Secara mudah pula, ia diasosiasikan dengan budaya tradisi Melayu yang dikaitkan bersifat suka mengulang-ulang dan melambatkan penyampaian fikiran dan makna yang jitu. Sebaliknya, banyak berlegar-legar dan bersifat pasif. Sifat suka mengulang-ulang dilihat tidak reaktif dalam menangani situasi dan menahan fikiran daripada terluah langsung dan keras. Hal ini adalah bersalahan dengan sifat sebenar budaya tradisi Melayu yang bukan sahaja bersifat reaktif tetapi juga membangunkan kebijaksanaan sejajar dengan ketamadunan Melayu yang tinggi.
Jika diteliti adat dan resam dalam budaya Melayu, kata-kata selalunya menjadi perkakasan untuk menyantuni hubungan antara manusia. Budaya Melayu tidak meletakkan kata-kata hanya sebagai alat komunikasi, sebalik menjunjung kata-kata sebagai sesuatu yang “suci”. Maka kata-kata menjadi cerminan kepada adab, dan ketinggian akal fikiran manusia Melayu. Malah dalam tradisi yang berakar dari zaman sebelum kemasukan Islam, kata-kata dalam budaya Melayu juga merupakan jambatan pada hubungan manusia dengan alam halus atau alam ghaib.
Penelitian terhadap penggunaan kata-kata dalam mantera Melayu misalnya, mempunyai pengulangan kata dalam ritmanya yang tersendiri. Pengulangan kata dalam mantera ialah bentuk penegasan yang sangat reaktif sifatnya. Malah, ia menghampiri kecenderungan untuk menguasai situasi dan menghunjamkan fikiran dalam bentuk “kekuasaan” yang tidak kelihatan. Perulangan kata yang berbentuk penegasan ini juga dibawa dalam puisi tradisional yang lebih bersifat sastera, seperti pantun, syair, seloka, gurindam, malah bentuk penulisan prosa tradisional seperti hikayat dan salsilah.
Berbalik kepada perulangan kata dalam mantera sekali gus melihat fungsi pengulangan kata dalam budaya tradisi Melayu, menurut Noriah Taslim dalam makalahnya “Mekanisme Kuasa dalam Mantera: Satu Analisis daripada Pendekatan Pragmatik” yang termuat dalam buku Pandangan Semesta Melayu Mantera (DBP, 2007) menjelaskan dengan huraian konkrit terhadap “kepercayaan” kuasa mantera. Menurutnya, dalam masyarakat tradisional, pramoden atau prasains, kuasa mantera dikaitkan dengan magis yang dipercayai tertakung dalam diri individu yang dianggap istimewa (pawang, bomoh dan sebagainya) dan terpaut pada kata-kata dan bunyi yang memberinya bentuk. Maka dalam konteks estetiknya, kata-kata atau bunyi mempunyai kuasa spiritual, mistik, ghaib, dan secara popularnya disebut magis atau sihir. Fenomena magis dalam masyarakat tradisional diasosiasikan oleh ahli-ahli etnologi dengan upacara dan mantera. Magis yang lahir ini kelihatannya diseru keluar melalui gabungan kata-kata yang berstruktur, perlakuan yang tertib dan objek-objek simbolik.
Berdasarkan situasi tersebut, maka mantera dalam masyarakat tradisional wujud daripada keperluan dan situasi psikologi yang mendesakkan tindak balas manusia. Menurut Malinowski (1954) ahli psikologi yang melihat fenomena ini, pada mulanya kata-kata tercetus secara spontan. Kemudian perkataan-perkataan yang khusus disusun dan distrukturkan menjadi suatu bentuk yang mudah dihafal, dilontarkan dengan penuh emosi terhadap objek sasaran. Dalam ruapan emosi yang mencetuskan ucapan tersebut, pergerakan anggota juga turut diperagakan. Bentuk bahasa tersebut kemudiannya dikenali sebagai mantera atau jampi dalam konteks masyarakat tradisional Melayu. Setelah itu, oleh kerana keberkesanannya dalam membina rasa berkuasa dalam diri individu dan memenuhi keperluan manusia berhadapan dengan realiti luarnya, diulang sebut dan diulang laku sehingga muncul menjadi ritual yang lebih sistematis dan simbolis. Upacara kemudiannya dijadikan lebih esoterik dan rasmi apabila proses pelaksanaannya dimandatkan kepada individu-individu terpilih yang digelar pawang, dukun atau bomoh.
Menurut Noriah Taslim lagi, masyarakat tradisional mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap kuasa intrinsik bahasa yang mistik – kuasa ke atas makhluk dan alam. Melalui susunan bahasa yang terkawal dan struktur binaan yang khusus, bahasa dipercayai mempunyai kuasa “physico-magical” (negatif dan positif) yang cukup kuat ke atas makhluk dan alam. Kepercayaan ini cukup penting untuk kemandirian (survival) manusia dalam persekitaran yang tidak mudah dikuasainya. Melalui rumus-rumus bahasa yang tepat, mereka yakin dapat menundukkan musuh (yang nyata dan ghaib), melemahkan binatang buas, mendamaikan unsur-unsur alam yang mengancam (ribut, guruh, gempa dan kemarau), meningkatkan hasil perburuan dan pertanian, menyembuhkan penyakit, dan dengan itu dapat menguasai alam dengan mudah.
Ritual bahasa ini sering kali digunakan oleh pawang, dukun dan bomoh. Bahasa mantera ialah bahasa komunikasi yang tidak dapat diperendahkan kepada tahap keupayaan linguistik manusia biasa. Bahasa mantera ialah bahasa yang dapat difahami oleh makhluk halus. Ia bertujuan untuk berkomunikasi dengan makhluk halus dan mempengaruhi tindakan mereka. Kepercayaan kepada kuasa bahasa yang dapat menjelmakan atau menghidupkan tenaga-tenaga spiritual atau mistik dari masa silam, maka teknik verbal yang digunakan adalah amat berkesan untuk menyeru, menghela, dan memindahkan ciri, sifat, dan tenaga spiritual lain kepada penerima, menjadikannya sebagai penadah kepada kuasa-kuasa sakti atau magis yang berkesan.
Amatlah jelas di sini bahawa fungsi perulangan kata-kata dalam budaya tradisi Melayu adalah berakar daripada pohon psiki bangsa yang utuh dan jitu. Perulangan kata bukan sahaja satu tindak reaktif tetapi juga adalah tindak kekuasaan dalam menguasai manusia dan alam. Perulangan kata-kata ialah lambang pada takungan pemikiran yang menuju ke arah kekuasaan untuk menguasai dan mengatasi segala suasana dan keadaan. Dalam kata lain, perulangan kata ialah penegasan yang membangunkan pohon “kekuasaan” yang kukuh dalam diri manusia Melayu.
_________________________
S.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011.