Oleh Rosli K. Matari
2 November 2021, 13:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

[Keterangan gambar: Pagi Jumaat, 22 November 2019, SN Dato’ Kemala menziarahi makam Allahyarham Tok Kenali, di Kubang Kerian. Diiringi (dari kiri): Abdul Razak Ismail, Zuharman Mohamad Nor, Rosli K. Matari, Dato’ A. Aziz Deraman, dan Abdul Hadi Yusoff.]

Sempena belasungkawa Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ Kemala, Rosli K. Matari mengimbau kenangan indah bersamanya di negeri Kelantan.

Saya kasih kepada Kelantan. Ini Negeri Serambi Mekah. Dan, ini juga adalah Negeri Penyair …

“Kakanda uzur,” ujarnya. Pendek, ringkas begitu sahaja jawapan pertama yang disuarakannya dengan lembut, ketika saya menyampaikan amanat daripada Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN). PERADABAN berhasrat mengundang beliau hadir sebagai Tokoh Tamu bagi Syarahan Perdana A. Kadir Adabi yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu. Undangan itu kira-kira sebulan lebih awal sebelum program berlangsung.

Beliau menolak dengan baik. Justeru, berasa kesihatannya tidak begitu meyakinkan untuk datang ke Kelantan. Apalagi bagi menyempurnakan program yang dianggap beliau sebagai suatu majlis syarahan yang unggul.

Sungguhpun begitu, beliau tidak cepat menamatkan perbualan. Segera pula ditanyakan beliau tentang mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ A. Aziz Deraman sebagai Presiden yang mengemudi PERADABAN. Malah juga ingin mengetahui perkembangan sastera Kelantan dan beberapa orang penulis serta penyair muda Kelantan. Jelas, beliau begitu cakna. “Kakanda kasih kepada Kelantan dan bangga pada kesusasteraan Kelantan,” ujarnya. Saya ketawa kecil, bangga dan berterima kasih pada suara hatinya.

Memang saya tahu sejak lama, meski dari jauh, beliau begitu cakna, mengambil berat terhadap dinamika kesusasteraan negeri Kelantan. Terutama, misalnya, pada penyair Abdulhadi Muhamad dan penyair muda Rahimidin Zahari (Allahyarham). Malahan, Abdulhadi Muhamad pernah dituliskan beliau dalam sebuah kertas kerja yang dibandingkannya dengan penyair Islamik Indonesia, Soni Farid Maulana. Kertas kerja itu dibentangkan di Jakarta, kemudian disiarkan dalam sebuah akhbar di sana. Saya lupa nama akhbar itu. Terhadap Rahimidin Zahari, lebih-lebih lagilah kerana penyair muda itu mulai terkenal pada puisi Islam.

Allahyarham Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Kemala (Ahmad Khamal Abdullah) membahasakan dirinya sebagai “kakanda”, setiap kali apabila bercakap dengan saya. Maka, terpaksalah saya pula berbahasa sebagai adinda bagi menyesuaikan kata ganti diri dalam perbualan dengannya.

Saya hanya empat kali sahaja pernah berpeluang bersua dengan Allahyarham. Ertinya, saya tidaklah akrab dengan beliau. Namun, beliau seorang yang cepat mesra dan menghormati. Kali pertama dapat bersua wajah dengan beliau, saya lupa tahun dengan tepat, ketika beliau diundang hadir ke Kelantan bagi bengkel penulisan puisi anjuran Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA). Pada bengkel inilah, saya memperkenalkan Rahimidin Zahari kepada beliau. Antara pertemuan lain lagi adalah di Kuala Lumpur, semasa suatu majlis penyampaian hadiah sastera, ketika saya hanya menerima hadiah kategori penghargaan atau sagu hati. Beliau sebagai salah seorang antara Sasterawan Negara yang diundang hadir sebagai Tamu Kehormat. Beliau tidak bergegas melangkah pulang. Menunggu saya di tepi pintu keluar. “Panel tidak betul,” beliau merungut dengan keruh wajah. Saya gelak.

Namun yang tentu sahaja akan selalu saya ingat dan kenang ialah pertemuan terakhir dengan beliau, pada sekitar hujung tahun 2019 lalu.

Dua tahun lepas itu, sesudah menolak dengan baik, tidak dapat memenuhi undangan Syarahan Perdana A. Kadir Adabi, keesokan harinya, beliau terus menghubungi saya semula. Bagai bergegas pula. “Adinda, kakanda harus hadir untuk syarahan itu dan kerana A. Kadir Adabi,” tegas suaranya. Tentu sahaja saya terkejut.

“Bukankah kakanda uzur?”

“Apalah sangat keuzuran ini, berbanding jasa perjuangan dan budi sastera A. Kadir Adabi?”

Saya tidak menjawab, mengulas apa-apa. Terbayang, terkenang akan pengorbanan A. Kadir Adabi sebagai pemikir, intelektual, pengarang, wartawan, aktivis sosial, aktivis politik, pejuang kemerdekaan, dan reformis kepada masyarakat, kesusasteraan, bahasa, agama, politik, negeri Kelantan, dan tanah air, memang tiada terbalas akan segala nilai budi dan jasanya.

“Kakanda malu pada A. Kadir Adabi,” ujarnya lagi, sayu suara lembutnya. Tercengang saya pada kata-kata itu. Justeru, kedua-dua mereka tidaklah pernah bertemu. Namun, dapat difahami akan maksud kata-katanya itu.

“Beliau lebih besar daripada kita semua,” beliau menambah hujung katanya.

Saya cuba mengingatkan lagi akan kesihatan dirinya itu. “Kakanda akan gagahkan,” tegas beliau pada hasrat tetap ingin hadir untuk menyempurnakan program bagi mengenang dan menghormati pengarang dan nasionalis A. Kadir Adabi.

Beliau hadir ke Kelantan. Kami terharu.

Ceria wajahnya, gembira  memenuhi undangan dan dapat bertemu, bersama dengan kami. Namun, tampak juga beliau lebih agak pendiam. Terkenang saya pada kata-katanya, baru lalu itu, “Kakanda akan gagahkan.” Benarlah, beliau menggagahkan dirinya. Meski sudah agak uzur, namun tetap hadir. Begitu sekali hormat tingginya kepada pengarang besar Kelantan, A. Kadir Adabi, meski antara mereka tidak pernah bersama kerana hakikat dekad berbeza dalam sejarah sastera tanah air.

SN Dato’ Dr. Kemala ialah Tokoh Tamu ke-5 bagi Syarahan Perdana A. Kadir Adabi pada tahun 2019. Bermula dengan SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pada tahun 2016, seramai 150 khalayak, di DBPWT, Sasterawan Dr. Fatimah Busu, 2017 (200 khalayak, Institut Pendidikan Guru Tengku Mizan, Terengganu), SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, 2018 (400 khalayak, Universiti Malaysia Kelantan), diikuti Dato’ Dr. Sohami Abdul Aziz, 2021 (webinar melalui pelantar sosial DBP).

Saya ingat lagi, tulisan dalam WhatsApp beliau kepada saya. “Kita rembuk Kelantan ke mana sahaja.”

Demikian, kiriman catatan beliau, beberapa hari sebelum terbang datang ke Kota Bharu. Membayangkan gembira hatinya untuk ke mana sahaja ingin mengisi kehadiran sambil berehat, ambil angin di Kelantan. Dipesan agar tiket pulangnya adalah pada hari keempat. Saya memberitahu kepada Ilmin Abdullah yang menjadi Pengerusi Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) cawangan Negeri Kelantan tentang hasrat hati Sasterawan Negara itu. “Boleh,” jawab Ilmin. Tentulah Ilmin amat gembira, kerana berbanding dengan kami semua di Kelantan, beliau lebih awal mengenal dan akrab dengan Kemala sejak lama, semasa di Universiti Sains Malaysia sekitar dekad 70-an dulu lagi. Oleh itu, Ilmin berkesanggupan untuk bersama-sama meluangkan masa mengiringi Kemala.

Inilah kali pertama dan terakhir kakanda dapat berpeluang menziarahi makam Allahyarham Tok Kenali …

Tetapi, ketika hari pertama tiba, awal-awal lagi Kemala sudah bersuara kepada saya dan Ilmin, “Tak dapat rembuk.” Fahamlah kami bahawa beliau berasa uzur dan ingin meluangkan masanya dengan berehat sahaja di penginapan hotel. Malah, salah satu hasrat, ingin berkunjung ke kediaman penyair Islamik, Abdulhadi Muhamad juga diundurkan beliau.

Syarahan Perdana A. Kadir Adabi oleh Kemala dipenuhi seramai 120 khayalak. Jika tidak kerana ruang dewan DBPWT yang agak terhad, nescaya PERADABAN boleh mengundang lebih ramai sehingga 300 khalayak. Program ini dianjurkan oleh PERADABAN bersama DBPWT. Beliau menyampaikan syarahan bertajuk Di Bawah Payung Langit Peradaban Ada Seribu Jajaran Pohon Cemara.” Kami mencadangkan beliau menyampaikan syarahan di kerusi, di atas pentas, tetapi beliau menolak. Mengagumkan kami, beliau menggagahkan diri, berdiri selama dua jam menyampaikan syarahan pada 21 November 2019 itu. Kami mengagak, itu adalah semangat dan hormat beliau pada Sasterawan A. Kadir Adabi.

Di hadapan khalayak, antara kata-kata awal beliau ialah, “Saya kasih kepada Kelantan. Ini Negeri Serambi Mekah. Dan, ini juga adalah Negeri Penyair.” Beliau sudah lama tahu, Kelantan menjajarkan baris dan jumlah penyair paling ramai di tanah air. Mengharukan kami ialah ketika beliau memanjangkan kata, “Saya menganggap Kelantan adalah juga negeri saya.”

Saya termenung pada kata-katanya kasih kepada negeri Kelantan. Memang beliau memiliki sejumlah puisi ditulis khusus menyentuh Kelantan, termasuk kreativiti ketika dulu semasa benar-benar berada di Kelantan. Antara puisi itu ialah: (1) “Kota Bharu Adalah…” (1972), (2) “Nenek Tua dengan Bunga Melur” (1976), “Jumaat di Masjid el-Muhammady, Kota Bharu” (1976), “Dialog Makrifat” (1986), dan “Kota Bharu, Sebelum Muncul Fajar Alaf Baru” (1979). Mungkin, beliaulah penyair dari luar yang paling banyak mencipta puisi khusus pada kaitan Kelantan. Begitu terangsang dan kasihnya beliau pada negeri ini.

Dalam Syarahan Perdana A. Kadir Adabi, beliau pintar cara menyampaikan syarahan dengan menarik – antara ilmu dan selingan humor yang cukup menggelakkan khalayak. Antaranya, beliau menceritakan semasa menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (terkenal sebagai SITC) pada tahun 1958–1962, ramai sahabatnya terdiri daripada anak Kelantan. “Orang yang baik budi, tetapi gedeber dan tidak takut mati kalau bertumbuk untuk membela sahabat,” katanya tentang para sahabatnya itu. Tentu sahaja kami tergelak. Beliau pandai menggunakan istilah gedeber. Dipinjam beliau daripada istilah yang dipopularkan oleh Dato’ Aziz sebagai maksud berani dan unggul.

Walau diajak ke Kelantan, tetapi beliau sering tidak berkesempatan. Khalayak gelak ketika beliau menceritakan ramai sahabatnya dari luar Kelantan, ketika itu, berakhir dengan memetik “mawar indah” di Taman Serendah Sekebun Bunga apabila sudah datang ke Kelantan. Khalayak gelak.

Selepas 10 tahun meninggalkan SITC, barulah pertama kali beliau menjejakkan kakinya di Negeri Cik Siti Wan Kembang ini. “Sejarah yang cukup menarik bagi Kelantan kerana julung-julung kali Hari Sastera adalah di negeri ini,” ujarnya, memberitahu kepada khalayak muda yang belum pun lahir ketika itu. Pada masa itu, beliau menjawat Setiausaha Satu GAPENA.

Khalayak yang sebahagian besar ialah generasi muda, termasuk para penulis muda, diberitahu beliau, Hari Sastera pertama itu begitu meriah, justeru penglibatan Menteri Besar Kelantan sendiri. Menteri Besar ketika itu, Datuk Asri Haji Muda, komited menyambut para peserta dari seluruh negara kerana tokoh pemimpin ini amat mencintai sastera.

Isi syarahan beliau sarat pemikiran dan ilmu. Antaranya, beliau mengupas tentang usaha membina tamadun, sasterawan unggul yang lahir di tengah-tengah Nusantara Melayu Raya (NUMERA – istilah beliau) ialah sebahagian daripada dunia sarwajagat, keunikan seni kreativiti daripada ekspresi peribadi, dan perjuangan kemerdekaan. Malah, tidak ditinggalkan beliau tentang ulama masyhur Nusantara dari Kelantan, Tok Kenali. “Guru itu adalah rohani sendiri,” beliau memetik kata-kata Tok Kenali.

Sebahagian antara yang menarik disuarakan beliau agar direnung oleh khalayak ialah usaha membina tamadun bukanlah mudah. Tetapi untuk membinasakan tamadun seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat di Iraq atau Jepun amat mudah dengan menjatuhkan megaton bom di Hiroshima dan Nagasaki. “Bukankah parah tamadun abad ke-20 menanggungnya?” soal beliau. “Deritanya berkurun. Kemabukan dan risiko yang menimpa abad dan tamadun tidak tertanggungkan,” jelas beliau.

Kebanyakan khalayak – selain penulis muda, turut mencakupi budayawan, sejarawan, pelukis, pensyarah, pendidik, siswa, wakil jabatan, dan lain-lain – pada program ini merupakan detik pertama kali berpeluang bersua wajah dengan Sasterawan Negara ini.

Kemala melapangkan masanya empat hari di Kelantan. Salah satu malam, selepas makan, beliau mempelawa kami ke bilik penginapannya. Tentulah kami segan. Lebih-labih lagi, tidak ingin mengganggu beliau. “Malam masih muda,” beliau bagai bersastera. Bahkan, bersungguh-sungguh, “Masih ada masa lagi bersama saya. Jangan cepat pulang.” Oleh itu, hampir satu jam – Ilmin, penyair Abdul Hadi Yusoff dan saya berbual bersama beliau. Malah juga bergelak tawa. Tetapi tawa beliau bagai orang bersopan. Berbanding saya dan Abdul Hadi, tawa panjang ketika bercerita lucu. Kemala menghadiahkan sebotol kecil minyak wangi kepada Hadi dan saya. “Ilmin tak apa. Dia sahabat baik saya,” katanya kerana ada dua itu sahaja.

Saya menghulurkan kepada Ilmin semasa melangkah pulang. Tetapi Ilmin tersenyum, “Simpanlah. Itu hadiah kenangan untuk kau.”

Hari Jumaat – sehari sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur – berpagi-pagi Kemala menghubungi saya. “Boleh bawa kakanda ke makam Tok Kenali?” tanyanya. Cepat saya menjawab: tiada masalah kerana Tanah Perkuburan Tok Kenali di Kubang Kerian, berdekatan dengan tempat tinggal saya. Jika dari Kota Bharu, kurang setengah jam sudah boleh sampai kerana jarak empat batu sahaja. Maka, bergegas saya aturkan kunjungan beliau, pada pagi itu juga.

Beliau tiba dibawa oleh Abdul Hadi Yusoff dengan Mercedeznya. Diiringi oleh Dato’ A. Aziz Deraman dan anakandanya, Arafat. Manakala, Abdul Razak Ismail atau CT Puspa (AJK PERADABAN) bergegas datang jauh dari luar daerah Kota Bharu. Sahabat kesayangan beliau, Ilmin Abdullah tidak berkesempatan hadir bersama kerana kebetulan ada urusan penting lain. Lagipun, hasrat beliau untuk menziarahi makam Allahyarham Tok Kenali itu adalah tiba-tiba sahaja.

Saya dan penyair muda, Zuharman Mohamad Nor, justeru bersama-sama dari Kubang Kerian, maka menunggu di perkarangan tanah perkuburan. Malahan, kediaman Zuharman bersebelahan tanah perkuburan itu sahaja. Kemala gembira dapat bertemu Zuharman kerana penyair muda ini mulai tampil dengan puisi bernafaskan keislaman. Bahkan, beliau cepat ingat dan dapat menyebutkan sebuah puisi Zuharman berjudul Kubah yang pernah tersiar dalam Dewan Sastera. Tercengang Zuharman, namun gembira bukan main.

“Inilah kali pertama dan terakhir kakanda dapat berpeluang menziarahi makam Allahyarham Tok Kenali,” bisik Kemala kepada saya. Saya diam sahaja, tidak pandai hendak menambah apa-apa kata. Beliau berdiri di depan makam. Diam dan mendoakan. Memendam sayu hatinya.

“Adinda tahu, banyak ulama meninggal pada hari Selasa atau Rabu?”

“Tidak pernah tahu,” jawab saya. Namun, Allahyarham Tok Kenali berpulang ke rahmatullah pada hari Ahad.

Perbualan kami tidak sempat panjang kerana sudah dipanggil oleh para sahabat untuk bergambar kenangan. Itulah kenang-kenangan terakhir Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ Dr. Kemala bersama-sama kami di Kelantan. Juga, bagai meninggalkan budi besar terakhir dalam hayatnya, khusus untuk negeri Kelantan.

Sekali, dari Kuala Lumpur, pada tahun ini, beliau mengirimi WhatsApp, memberitahu dirinya uzur benar. Terharulah kami, tiada terkata. Maka, PERADABAN mengadakan solat hajat mendoakan kesembuhan beliau. “Tidak usah gunakan wang persatuan. Ambil wang saya,” ujar Dato’ Aziz pada maksud untuk kegunaan bagi jamuan kepada para jemaah. Begitu kasih Dato’ Aziz kepada Kemala. Diadakan di Surau Tok Kenali, memang di perkarangan Tanah Perkuburan Tok Kenali yang pernah diziarahi beliau bersama kami. “Titik air mata kakanda” – WhatsApp beliau, terharu, menghargai budi kasih persahabatan.

Tokoh besar penyair Islamik tanah air ini berpulang ke rahmatullah pada tengah hari Rabu, 27 Oktober 2021. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin dan Al-Fatihah.

_________________________

Rosli K. Matari lahir di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan pada 5 April 1961. Sebagai Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020, beliau merupakan antara penyair terpenting tanah air yang melahirkan kumpulan puisi Nun Bulan (2011), Anak Dusun (2014), Tidakkah Kita Berada Di Sana? (2014), Hanya Langit Meratap (2015), dan Matahari Itu Jauh (2015). Rosli merupakan Timbalan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi