Oleh Zaidi Saad
27 Oktober 2021, 15:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Sasterawan Negara ke-11, Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala meninggal dunia pukul 12.00 tengah hari tadi. Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menjelaskan dalam pernyataan medianya bahawa negara kehilangan seorang sasterawan yang telah menyumbangkan karya sastera untuk pembangunan akal budi bangsa dan pembangunan negara dalam aspek persuratan.

“DBP secara khusus berhutang budi kepada Allahyarham yang selama puluhan tahun mencurahkan bakti di DBP sebagai tenaga kerja yang gigih dan turut mengangkat imej DBP sebagai badan bahasa, persuratan dan penerbitan,” ujar YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Kemala (80 tahun) pernah bertugas sebagai penyunting di DBP pada Mac 1968. Kemudian, sebagai redaksi majalah Dewan Pelajar dan seterusnya, majalah Dewan Sastera. Allahyarham menimba pengalaman sewaktu bersama-sama dengan Keris Mas dan Tongkat Warrant ketika mengendalikan majalah Dewan Sastera. Selain itu, Allahyarham pernah menjadi editor penyelaras majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya, serta editor jurnal Perisa.

Antara karyanya termasuklah kumpulan puisi Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), kaktuskaktus (1976), ‘Ayn (1983), era (1985), Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), MIM (1999), Syurga Ke Sembilan (1999), Ziarah Tanah Kudup (2006), 1000 Pantun Puitis (2011), Dasawarsa Lima (2016), Qasidah Pelangi Dinihari (2018), kumpulan drama Anna (2012), kumpulan cerpen Laut Takjub (2011), buku esei/kajian Gagasan (1990), Landskap Ungu (2010), Simbolisme dalam Puisi Islam di Malaysia 1970-1990 (2010), dan Puisi Melayu Puisi Dunia (2011). Meditasi, Titir Zikir dan MIM memenangi Hadiah Sastera Malaysia/Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi tahun 1972, 1995 dan 1999. Puisi, cerpen dan esei ecerannya turut memenangi hadiah yang sama.

Sejak tahun 2012, Allahyarham mempunyai ruangan kolum khas “Emmamalia” dalam majalah Dewan Sastera. Pada tahun ini sahaja, Kemala diangkat sebagai Karyawan Bulan Ini untuk isu Bil.1/2021 (Januari) Dewan Sastera, bersempena dengan meraikan 50 tahun majalah sastera nasional tersebut dan ulang tahun kelahirannya pada bulan Januari.

“Lembaga Pengelola, pengurusan dan warga kerja DBP turut melahirkan rasa duka atas kepulangan Allahyarham ke rahmatullah. Takziah diucapkan kepada isteri dan anggota keluarga, dengan iringan doa mudah-mudahan Allah merahmati rohnya. Semoga kecemerlangan Allahyarham dijadikan suri teladan oleh penulis muda dan bakal penulis untuk melahirkan karya yang bererti kepada pembangunan negara, khasnya pembangunan pemikiran dan kerohanian,” jelas  YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.