25 Oktober 2021, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – “Siapa yang memenangi Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa, bererti mereka memenanginya di peringkat dunia,” ujar Dato’ ND Lala selaku juri pertandingan.

Ibnu Zulkarnain dari Pekanbaru, Indonesia bertuah kerana dinobat sebagai Johan dalam Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa ke-4, dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5000, rantai emas bernilai RM4000, selimpang, dan sijil penyertaan. Pertandingan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia serta Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara itu diadakan secara langsung dan hibrid di Auditorium D’Suri Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan pada 23 Oktober jam 8.30 malam.

Naib Johan pertandingan disandang oleh Sabihah Abdul Wahid dari Kuala Lumpur, Malaysia. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2500, gelang emas bernilai RM1000 berserta selempang dan sijil penyertaan.

Manakala Anisa Cahya Ningrum dari Siak, Indonesia pula memenangi tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000, sebentuk cincin emas bernilai RM500 serta selempang dan sijil penyertaan. Hadiah berupa emas yang diberikan kepada para peserta merupakan tajaan Makmur Gold.

Selain itu, sembilan orang peserta yang lain turut menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai berjumlah RM500, jongkong emas bernilai RM300, selempang serta sijil penyertaan. Dua belas orang peserta akhir ini telah berentap daripada peringkat awal, yang pada asalnya menampilkan 74 orang peserta yang berentap pada suku akhir dan separuh akhir pertandingan dari lima buah negara serumpun.

Tiga orang juri profesional telah dilantik bagi mengadili para peserta dalam pertandingan pada tahun ini, iaitu Dato’ ND Lala, Dr. Shafa’atussara Silahudin dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, dan Encik Rosnan Nordin dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Memetik ulasan juri yang disampaikan oleh Dato’ ND Lala, “penjurian ini berfokus pada vokal, syair itu sendiri dan persembahan. Kecekapan teknikal bukanlah asas kepada pemilihan pemenang meskipun ia diadakan secara hibrid dan hantaran video.”

Dr. Shafa’atussara Silahudin selaku pendendang syair profesional di Malaysia, lulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Melayu dari Universiti Leiden, Belanda, turut menerima Anugerah Bitara Syair 2021. Anugerah tersebut mula diadakan pada tahun 2019 bersempena Program Setanggi Antarabangsa yang diadakan di Auditorium JKKN Kuantan, Pahang. Anugerah tersebut diberikan kepada individu yang berwibawa dalam bidang syair secara teori dan praktikal. Pemilihan berdasarkan pengalaman dan pencapaian individu secara berterusan melestarikan syair.

Pertandingan Bitara Syair Antarabangsa ini konsisten dijalankan sejak tahun 2018, bermula di Tanjung Pinang, Indonesia. Ucapan penutup Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa kali ke-4 telah disampaikan oleh Ybhg. Tuan Haji Mesran bin Mohd Yusof, Ketua Pengarah JKKN.

Pertandingan ini boleh ditonton secara langsung di laman rasmi Facebook JKKN, DBP, Makmur Gold Offical, Roslan Madun Rasmi, dan pelantar YouTube DBP Malaysia.

Tonton Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa ke-4 Peringkat Akhir di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi