17 Oktober 2021, 08:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Timbul satu bahana pertikaian berkenaan definisi manuskrip Melayu, yang awalnya menggunakan definisi berbunyi “karya tulisan Jawi yang bertulisan tangan di awal kurun ke-16 dan 20”, seperti yang dipetik oleh Dr. Nadiatul Shakinah Abdul Rahman dalam tulisan Dr. Awang Sariyan. Pertikaian ini timbul melalui perantaraan soalan kritikal perihal bagaimana pula dengan manusrkip selepas abad ke-20?

Maka, definisinya diubah oleh Perpustakaan Negara Malaysia kepada “Apa-apa segala bentuk tulisan tangan dalam bahasa rumpun Melayu iaitu tulisan Jawi, yang berusia sekurang-kurangnya seratus tahun,” seperti yang diterangkan oleh Nadiatul dalam sebuah bual bicara Sabtu lalu. Katanya lagi, penggunaan terma “bahasa rumpun Melayu” itu tidaklah membataskan pada bahasa Melayu sahaja, malah turut mengambil kira bahasa-bahasa yang dinaungi oleh penduduknya, seperti bahasa Jawa, Bugis dan sebagainya.

“Latar belakang pengarang itu sendiri akan memperlihatkan penggunaan bahasa yang pelbagai dalam manuskrip Melayu. Itulah kerana wujud pelbagai bahasa yang ditulis oleh masyarakat tamadun Melayu,” ujar Nadiatul. Malah, melalui keseragaman penulisan Jawi ini juga menunjukkan satu sudut intelektual dan gaya pemikiran yang menggambarkan corak kehidupan masyarakat dahulu yang tinggi tingkat intelektualnya.

Sebuah rancangan bual bicara sempena Dekad Bahasa Kebangsaan 2021, anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Malaya membuka ruang dan peluang untuk khalayak awam khususnya pelayar media sosial Facebook untuk mendengarkan perbincangan berkaitan manuskrip oleh para ahlinya. Dengan tajuk bual bicara “Yang Lama Dijunjung: Bual Bicara, Pentingnya Kajian Manuskrip Melayu Paparan Kehidupan Masa Lampau” pada 16 Oktober 2021 (Sabtu) pada 11.00 pagi menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, tiga bicarawan berkongsi perihal wacana ini, menekan isu, kepentingan dan peranan manuskrip Melayu lama membentuk masyarakat yang tinggi intelektualnya.

Dr. Nadiatul Shakinah Abdul Rahman dari Universiti Sains Malaysia dengan kepakaran Sastera Tradisional dan Psikologi dalam Sastera, sempat mengingatkan penonton bual bicara, menyatakan kepentingan memulihara dan melakukan kerja transliterasi manuskrip untuk merakam dan mengkaji ilmu yang disampaikan oleh masyarakat dahulu untuk generasi mendatang.

Lebih 20 ribu manuskrip Melayu telah berjaya dikesan di seluruh dunia, dan separuh daripada angka besar itu berada di Malaysia, manakala bakinya yang separuh lagi pula kini melata di 151 buah institusi seluruh dunia yang melakukan kerja kajian, pemuliharaan dan pengumpulan manuskrip Melayu.

Persoalan mengapakah manuskrip Melayu menjadi tumpuan para sarjana dan pengkaji di luar negara, dijawab oleh Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria. Beliau yang kini berkhidmat di Institut Tamadun dan Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai felow penyelidik dan Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu menjelaskan, manuskrip Melayu boleh dijadikan pelantar untuk membuktikan kewujudan sebuah tamadun langka yang mempunyai nilai intelektual dan budaya tinggi di Asia Tenggara.

“Minat mereka terhadap manuskrip Melayu antaranya adalah kerana budaya kolonial dahulu yang mana mereka mempunyai hubungan dengan Alam Melayu, secara langsung atau tidak langsung, demi memenuhi objektif kedatangan mereka ke Asia Tenggara; untuk menguasai sosiopolitik dan sumber intelek tamadun Melayu,” jelas Ros Mahwati.

Warisan keintelektualan bahasa Melayu itu sendiri juga menjadi faktor utama. Manuskrip Melayu bukan sahaja bernilai kerana ilmu yang tertulis, malah kaedah menyediakan dan menulis sebuah manuskrip itu sendiri yang melahirkan aktiviti pentafsiran demi mempelajari warisan intelektual bangsa Melayu. Keunikan bahasa dan tulisan dalam manusrkip Melayu secara automatiknya menjadi tarikan dan faktor penting untuk mengkaji dan mendalami ilmu berkenaan.

Menerusi wacana ini, Ros menegaskan, manuskrip Melayu merupakan gedung dan khazanah ilmu tamadun Melayu yang secara hakikinya boleh berpindah milik, dan dengan ini juga menyebabkan kejadian penyebaran kajian manuskrip Melayu dalam kalangan pengumpul manuskrip di seluruh dunia.

Beliau juga menambah, manuskrip Melayu juga merupakan catatan persejarahan tamadun dan perakam sejarah yang memberikan peluang dan ruang untuk generasi kini mengetahui bagaimana kerajaan dibangunkan dan apakah asal usul kita serta apakah ilmu yang telah ditimbus zaman.

Seorang lagi bicarawan dalam bual bicara manuskrip ini, Prof Dr. Muhammad Mustaqim dari Universiti Sains Islam Malaysia, juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara Malaysia. Beliau mengangkat idea penulisan Jawi yang bertanggungjawab merubah pelan dan struktur budaya penulisan di bumi bahasa Melayu.

Menurut beliau, manuskrip Melayu ialah bukti cerminan akal budi dan pemikrian tamadun Melayu, menumpukan cakupan ilmu yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Peri pentingnya untuk memahami bagaimana satu bangsa itu berfikir, bertindak dan mengekspresikan perasan dan kreativiti mereka dapat diamati melalui aktiviti kajian manuskrip. Katanya, tulisan Jawi yang banyak diguna pakai dalam manuskrip Melayu juga merupakan ton signifikan dalam ciri-ciri intelektual dan takah kemajuan tamadun Melayu.

Mustaqim menegaskan, sejak kedatangan agama Islam, ia sekali gus telah mengubah dan mempengaruhi cara berfikir dan budaya masyarakat Melayu, termasuklah budaya menulis yang sedia ada juga berubah dan berkembang. Terdapat banyak bahan bertulis oleh penduduk berbangsa Melayu yang mencangkupi semua ruang kehidupan manusia, daripada kesihatan, ketukangan, kecantikan, kebudayaan, pemikiran, keagamaan, malah ilmu perang dan pertarungan langka.

Beliau yakin dan memegang kenyataan bahawa tulisan Jawi adalah antara penyumbang besar yang mengembangkan budaya penulisan bangsa Melayu, khususnya kerana struktur bebas dalam kaedah penulisannya sendiri.

“Tulisan Jawi yang diserap daripada bahasa Arab Parsi ini diguna pakai untuk menulis bahasa Melayu, namun, ia bukanlah terhad pada satu bahasa sahaja, malah hampir semua bahasa yang telah diucapkan serta dijadikan bahan penuturan masyarakat Melayu, boleh dituliskan ke dalam penulisan Jawi.

“Kandungan manuskrip-masnukrip Melayu adalah sangat bernilai dan wajar ditonjolkan keistimewaannya, kerana hampir kesemua aspek kehidupan masyarakat terdahulu ada dalam manuskrip-manuskrip ini,” ujar Mustaqim.

Oleh itu, olahan bahan-bahan fizikal ini adalah sangat penting. Antara “jambatan” untuk meneliti bahan-bahan manuskrip Melayu adalah melalui kemahiran membaca tulisan Jawi, khususnya Jawi lama. Kata Mustaqim, di samping perlunya untuk mempelajari dan menguasai Jawi baharu, Jawi lama juga harus diterapkan ke dalam generasi kini supaya tidak putus “jambatan” yang mengolah dan mengumpulkan nilai intelektual dalam naskhah berharga manuskrip Melayu.

Tonton bual bicara di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.