Oleh Osman Ayob
14 Oktober 2021, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Osman Ayob membicarakan dua cerpen Rejab F.I. yang tampil kental sebagai wadah dakwah yang menginsafkan.

Dalam hal ini, sastera dapat dijadikan ‘kitab’ yang menerusi penghayatannya, para insan dapat mengenali dengan lebih dekat dan khusyuk sifat diri dan dalamannya.

Dakwah mempunyai pengertian yang luas dan memerlukan huraian yang panjang. Walau bagaimanapun, dalam bicara ini, penulis hanya memetik pengertian “dakwah” mengikut pandangan Nor Sarah Abu Kassim (2018) yang menjelaskan bahawa dakwah dapat ditakrifkan sebagai satu kegiatan seruan bagi tujuan membawa manusia kepada kebahagiaan, keadilan dan kemakmuran, yang matlamat akhirnya mencapai keredaan Allah SWT dalam kehidupan.

Penulis menggunakan dua buah cerpen Rejab F.I. berjudul “Monolog Awang Batil” dan “Pasrah” sebagai bahan huraian cara dakwah memainkan peranan, khususnya melalui karya kreatif yang juga boleh berperanan menyampaikan mesej dakwah. Kedua-dua cerpen ini tersemat dalam kumpulan cerpen Rejab F.I., Papervine (DBP, 2015). Dalam hal ini, sastera dapat dijadikan “kitab” yang melalui penghayatannya, para insan dapat mengenali dengan lebih dekat dan khusyuk sifat diri dan dalamannya, sehingga timbulnya pertambahan dan peningkatan rasa kecintaan dan kehormatan insan yang lebih besar dan murni terhadap fitrah makna dirinya. Dengan ini, sastera juga dapat menjadi wadah yang mempertingkatkan nilai ketakwaan seseorang terhadap Allah.

Melalui cerpen “Monolog Awang Batil” dipaparkan bagaimana seorang penggiat seni tradisional, Tok Batil memperhamba dirinya kepada dunia seni sehingga dia mengabaikan suruhan dan kehendak Allah. Oleh sebab begitu komited dengan permainannya, dia tidak sedar dirinya sudah berusia 80-an dan keuzuran menginsafkan dirinya tentang kehidupannya yang sudah berada di penghujung. Elemen dakwah yang mengalir dalam diri Tok Batil selain datang dari luar, tetapi menjengah sendiri ke dalam dirinya:

Dan tiba-tiba pula sungai keinsafan mengalir dalam jiwanya. ‘Kau ni dah tua, Tok Batil. Umur kau dah  menjangkau lapan puluh. Selama ini kau langsung tidak mengingati pencipta-Mu, kau terlalu asyik dengan batilmu, dengan gendang tarimu, dengan wayang kulitmu. Bukankah kau kini telah mencapai ke penghujung hidupmu?’ kata-kata itu menunjangi kalbunya.

                    (Papaverine, 2015:160–161)

Peranan berdakwah kepada Tok Batil juga datang daripada sahabatnya sendiri. Haji Kasim tidak pernah berputus asa memberikan nasihat dan teguran kepada Tok Batil. Akhirnya, setelah sekian lama Haji Kasim berdoa, Tok Batil insaf dan datang menemui Haji Kasim lalu berkata, “Ajarkan saya solat. Saya sudah terlanjur begitu jauh.” (2015:167).

Sebagai seorang penglipur lara yang terkenal, Tok Batil mempunyai ramai kenalan termasuk pemimpin persatuan penulis, pencinta budaya tradisional, malah pengkaji yang tidak jemu membuat kajian terhadapnya. Kajian itu meliputi struktur persembahan, jampi serapah dan dialog yang digunakan. Setelah mendekati ajaran Islam, Tok Batil sedar selama ini permainannya bercanggah dengan kehendak agama. Tok Batil akur dan bersedia melakukan perubahan dengan meniadakan jampi serapah Melayu dan jampi serapah Siam yang dipetik daripada ajaran Buddha. Dia sedar, kandungan jampi itu syirik dan bertentangan dengan ajaran Islam. Namun begitu, Haji Kasim menyatakan rasa simpatinya dengan berkata: “Abang Mud kerjakanlah ibadat sungguh-sungguh. Abang Mud boleh juga teruskan bermain Awang Batil dan Gendang Tari Inai tu. Permainan itu sumber nafkah hidup Abang Mud.” (2015:168).

Kata-kata Haji Kasim menyedarkan Tok Batil bahawa permainan tradisionalnya boleh mendatangkan rezeki yang halal selagi tidak melanggar hukum agama. Dia menganggap keputusannya meninggalkan kumpulannya, satu keputusan yang tepat dan tidak merugikan. Dia masih boleh mempersembahkan permainannya secara solo, dengan batil dan gendangnya.

Melalui cerpen “Pasrah” pula, Rejab F.I. memaparkan watak utamanya, Datuk Kamaruzaman yang hanya sedar dan insaf melakukan banyak dosa setelah bersara pada usia 55 tahun. Dia mengalami tekanan emosi apabila teringatkan banyak dosa yang dilakukan ketika berkhidmat dalam sebuah institusi kerajaan. Datuk Kamaruzaman berasa tersindir pada majlis persaraannya. Dia diberi tepukan yang bergemuruh apabila presiden kesatuan kakitangan berucap:

‘Saudara-saudara sekalian, kita tentu tidak akan lupa segala jasa  dan bakti bekas ketua pengarah institusi kita selama beliau memegang teraju pentadbirannya. Saudara-saudara tentu maklum, semenjak Datuk Kamaruzaman berhidmat di sini begitu banyak produktiviti minyak kelapa sawit dapat dikeluarkan. Beliau salah seorang berusaha menentang pihak Amerika yang cuba memburuk-burukkan mutu dan kualiti minyak sawit negara kita. Bukankah begitu saudara-saudara?’

Para hadirin menyahut ‘Ya! Ya! Ya!’ dan disambut dengan tepukan bergemuruh dalam ruang dewan, majlis merasmikan persaraannya itu.

Dia tersenyum dan menunduk tersipu-sipu.

(Papaverine, 2015:291)

Datuk Kamaruzaman tunduk dan tersipu-sipu kerana ucapan yang memujinya itu terselindung di sebalik kenyataan sebenar. Cenderamata yang diterimanya menambahkan ironi yang menekan jiwanya. Sehelai sejadah, kain pelekat dan ketayap terselit di antara barang-barang lain yang berharga untuk kenang-kenangannya. Cenderamata itu kemudian menjadi bahan “dakwah” padanya. Di sini, ternyata unsur material turut memainkan peranan mempengaruhi naluri seseorang. Setiap kali dia duduk di atas sejadah untuk mendirikan solat, dia menangis. Suara hatinya merintih: “Tidak! Tidak! Tidak! Dosa dan kesalahan aku mengatasi segala jasa dan baktiku itu. Mereka sengaja melupakannya. Sengaja  memilih yang baik-baik untuk memuji kedudukanku dulu. Sebenarnya aku berdosa kepada negara dan rakyat negara ini.” (2015:293).

Datuk Kamaruzaman tidak dapat melupakan dosa dan penyelewengan yang telah dilakukannya. Dia pernah menerajui pentadbiran sebuah institusi yang mengendalikan pengeluaran minyak sawit. Dia terbabit dalam pembinaan kilang dan pembelian mesin memproses minyak sawit. Datuk Kamaruzaman termakan pujukan pegawai tingginya yang tidak jujur. Melalui orang perantaraan, dia terpengaruh untuk membeli mesin dan jentera kelapa sawit dengan harga yang rendah. Mesin dan jentera yang berharga RM2.5 juta itu dibeli dengan harga RM500 ribu sahaja. Dia dan pegawainya mendapat habuan daripada pembelian mesin terpakai itu yang kemudiannya tidak boleh digunakan dan terbiar sebagai besi buruk di sebelah kompleks pejabatnya.

Melalui cerpen ini, watak Rafidah, isteri Datuk Kamaruzaman bertindak selaku pendakwah yang menenteramkan hati suaminya. Menyedari hakikat bahawa suaminya berada dalam keadaan resah gelisah setelah bersara sedangkan hidup mereka mewah, mendiami banglo yang indah dan selesa, sebagai isteri, Rafidah tidak berputus asa untuk mengembalikan ketenteraman dan kebahagiaan rumah tangga mereka. Salah satu caranya adalah dengan mengajak suaminya banyak beribadat dan bertaubat kepada Allah. Sedar bahawa diri mereka sudah tua, tetapi ketuaan bukan sekadar mengundang keinsafan, malah bagi orang Islam, ketuaan juga menjadikan seseorang itu ingin mematuhi ajaran agama. Hal ini sepadan dengan pendapat Jujun Suriasumantri (1990:196) yang menegaskan:

Agama merupakan sumber tentang moral iaitu penilaian apa yang baik dan apa yang buruk. Dalam mencapai tujuan tertentu, maka bagi mereka yang beragama tidak semua cara itu diperkenankan. Bagi mereka yang beragama tidak berlaku kaedah ‘tujuan menghalalkan cara.’ Pada hakikatnya agama memberikan petunjuk tentang cara yang baik untuk mencapai tujuan tersebut.

Dalam cerpen “Pasrah” perlakuan watak Datuk Kamaruzaman bergerak selari dengan usianya yang lanjut. Sebagai penyelesaian pada konflik dalam dirinya, Datuk Kamaruzaman meluahkan kekesalannya seperti berikut: “‘Oh, aku amat berdosa! Aku amat berdosa! Ampunilah dosaku ini.’ Air mata berderai di pipinya.” (2015:298).

Insaf atas kesilapan dan keterlanjuran yang dilakukannya menyebabkan Datuk Kamaruzaman terfikir untuk menebus dosa yang telah dilakukannya. Dia lebih sensitif terhadap persekitarannya. Dia teringat kepada surau yang daif dan boleh dibaiki dengan wang kekayaannya. Di sekitar kehidupannya, terdapat rumah anak yatim dan orang tua miskin yang boleh dibela dengan menyedekahkan wangnya untuk kebajikan mereka. Selain mengerjakan solat, membayar zakat dan berpuasa dalam bulan Ramadan, dia berusaha menebus dosanya dengan mengerjakan haji di Mekah. Di sana, dia berpeluang bertaubat dan memohon keampunan Allah. Dalam hubungan ini, persekitaran juga berperanan menjadi bahan “dakwah” Datuk Kamaruzaman.

Kesimpulannya, melalui dakwah, tercetusnya kefahaman ilmu, perasaan taubat dan mencari ketakwaan dalam kehidupan manusia. Pendekatan dakwah yang dibincangkan bertujuan untuk mencari kebaikan dalam masyarakat yang mendasari keimanan yang bersendikan akidah Islam. Justeru, berpaksikan aspek keagamaan, dua buah cerpen yang dibincangkan bersesuaian dengan nilai ketakwaan, keindahan dan kemuliaan yang menjadi asas pada pendekatan dakwah.

Beli kumpulan cerpen Papervine.

_________________________

Osman Ayob, penulis veteran kelahiran Kedah telah menghasilkan 10 buah kumpulan cerpen persendirian, 10 buah novel dewasa dan 15 buah novel kanak-kanak dan remaja. Beliau telah memenangi pelbagai hadiah dan sayembara penulisan. Novel Meniti Impian menjadi teks KOMSAS di Selangor, Negeri Sembilan dan WP Putrajaya dan WP Kuala Lumpur. Beliau berkelulusan Sarjana Sastera (Kesusasteraan Melayu), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi