Oleh Orked Una
3 Oktober 2021, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penstriman langsung bukan lagi suatu perkara asing masa kini. Penerbit dan penulis tempatan semakin aktif menggunakan reruang media sosial bagi mempromosikan buku-buku, membina hubungan dengan pembaca dan mengadakan bengkel penulisan.

Nusa Centre yang telah menerbitkan 40 buah buku sastera membawakan program Buku & Lagu, sebuah program santai yang membicarakan buku, mendengar lagu dan kisah kehidupan. Dalam pada itu, empat karya baharu S.M. Zakir diterbitkan oleh Nusa Centre baru-baru ini, novel Cerita Sebuah Rumah, buku esei Karya dan Kekuasaan Pengarang, dan buku travelog Catatan dari Formosa (Jilid 1 dan 2).

Dalam acara pembuka siri Buku & Lagu, S.M. Zakir membicarakan novel Cerita Sebuah Rumah yang ditemani oleh pemuzik antarabangsa Spec, yang menyanyikan lagu dan berkongsi pengalamannya bekerja dengan kapal persiaran mewah antarabangsa.

Novel Cerita Sebuah Rumah ditulis oleh S.M. Zakir 10 tahun dahulu, berkisarkan susur galur lelaki yang melarikan diri akibat peperangan, perjuangan menentang penjajah, konflik dalam perkahwinan, dan banyak kisah yang menarik, termasuklah perjuangan orang Melayu menentang Inggeris.

“Walaupun novel Cerita Sebuah Rumah telah ditulis lama dahulu, penceritaan yang dimasukkan masih lagi relevan,” kata S.M. Zakir.

Spec berkongsi tentang prosesnya untuk menjadi pemuzik yang bermula agak lewat kerana gigih berlatih muzik. Kerjayanya sebagai pemuzik sepenuh masa bermula pada umur 29 tahun. Berbeza daripada bermain muzik di hotel, bekerja di atas kapal mempunyai pengalaman yang sangat unik dan memerlukan disiplin tinggi, walaupun sebagai seorang pemuzik.

S.M. Zakir dan Spec bertukar-tukar pengalaman mereka ke luar negara dan bagaimana perasaan gembira berjumpa dengan orang Malaysia dan bertutur dalam bahasa Melayu di tanah asing. Perkongsian pengalaman mereka akan diteruskan dalam sesi seterusnya.

Lagu-lagu yang dimainkan oleh Spec ialah To Love Somebody oleh Bee Gees, Xiao Wei oleh Huang Pin Yuan, dan berduet bersama S.M. Zakir dalam lagu Ku Di Halaman Rindu oleh Lefthanded dan Soldier of Fortune oleh Deep Purple. Lagu Xiao Wei ditulis oleh mendiang Adi, komposer dari Malaysia dan lagu ini popular di Taiwan.

Program Buku & LaguCerita Sebuah Rumah”, disiarkan secara langsung menerusi Facebook Nusa Centre dari Studio Nusa Centre, pada 1 Oktober 2021 pada pukul 9.00 malam.

Tonton acara penuh di sini.

Beli Cerita Sebuah Rumah.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi