Oleh Salman Sulaiman
19 September 2021, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Seorang pengarang perlu menganggap dirinya umpama seorang pemimpin sebuah orkestra ketika mencipta sesebuah karya sastera. Sebuah orkestra yang amat memukau ialah gabungan begitu ramai pemuzik dengan pelbagai jenis alat muzik, dan dipimpin oleh seorang komposer yang berkemahiran tinggi. Kepakarannya dengan setiap irama, melodi dan nada yang terhasil daripada alat muzik yang dimainkan oleh setiap pemuzik membolehkannya menjadi komposer yang mampu memimpin orkestra. Kita boleh bayangkan bagaimana rumitnya tugas seorang komposer yang dipertanggungjawabkan memimpin sebuah orkestra.

Namun, gabungan melodi yang dihasilkan oleh kumpulan pemuzik dalam persembahan orkestra tersebut pasti memukau sesiapa saja yang menontonnya. Orang yang bertanggungjawab menjadikan sebuah persembahan orkestra itu hebat dan menakjubkan tentulah komposer yang memimpinnya. Menurut Rosli K. Matari, dalam bengkel penulisan cerpen yang diadakan melalui saluran Google Meet pada malam khamis lalu, seorang cerpenis perlu meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin orkestra ketika menulis cerpen atau sajak. Betapa hebatnya lagu yang dihasilkan oleh para pemuzik dalam persembahan orkestra, begitulah juga bagusnya cerpen yang dicipta daripada penulis yang meletakkan dirinya sebagai komposer yang mengetuai orkestra. Rosli mengakui, begitulah dia meletakkan dirinya setiap kali ingin menulis cerpen atau sajak. Oleh sebab itu, kita dapat melihat kehalusan, ketelitian dan kedalaman penceritaan dalam kebanyakan sajaknya.

Pengarah DBP Wilayah Timur, Encik Mohd Azam Juhari ketika menyampaikan ucapan penutup dalam program yang sama, memberikan kata-kata yang memberangsangkan dan mengakui kepakaran Rosli sebagai pembimbing kerana bengkel tersebut tentunya akan memberi banyak manfaat kepada para peserta.

Menurut Rosli, antara cabaran terbesar untuk menghasilkan sesebuah cerpen ialah bukan apa-apa yang hendak diceritakan tetapi cara hendak menceritakan sesebuah kisah itu agar menjadi cerpen. Menulis cerita kerana semata-mata ingin menyiapkan sebuah cerpen hanya akan menghasilkan sebuah “cerpen yang biasa” sahaja. Manakala menulis cerpen untuk mengemukakan cerita yang menarik untuk dibaca dengan memanfaatkan mana-mana unsur teknik penceritaan agar mendinamikkan cerita tanpa adanya unsur-unsur kelemahan dalam cerpen tentunya akan menghasilkan “cerpen yang baik dan menarik” untuk dibaca. Namun, apabila sesebuah cerpen itu ditulis dengan menghala ke arah keberkesanan emotif, cerita pastinya akan menghasilkan “cerpen yang berkesan”.

Menurut beliau lagi, asas yang paling penting dalam sesebuah cerpen ialah konflik dan perkara yang paling menarik dalam setiap cerita pendek ialah klimaks atau disebut juga sebagai puncak penceritaan. Baginya, tiada cerita tanpa konflik. Jiwa sesebuah cerpen itu, menurutnya, ada lima perkara iaitu idea, imaginasi, taakulan, emosi, dan juga kebijaksanaan kepengarangan.

Antara beberapa kelemahan dalam penulisan cerpen yang disenaraikan oleh Rosli termasuklah: (1) mempunyai terlalu banyak dialog, (2) penceritaan meleret yang semata-mata mementingkan cerita (3) serta mengandungi kesalahan ejaan dan tatabahasa. Penulis yang tidak mempunyai pengetahuan luas tentang perkembangan semasa aliran sastera dan mengejar kolum agar karya disiarkan sahaja juga akan menjadikan cerpen yang dihasilkan itu lemah. Setiap penulis juga perlu luas pembacaannya, mencakupi sastera kreatif, kritikan sastera, sastera dunia, dan disiplin bantu, termasuk mesti peka dan mempunyai ketajaman untuk sesuatu deskripsi yang dilakukan, agar dapat menghindar daripada mencipta sebuah cerita pendek yang lemah.

Baginya, sesebuah cerpen yang baik juga tidak memerlukan campur tangan pengarang dalam setiap cerita yang ditulis, dan perlunya ketepatan dan keindahan bahasa apabila mengungkapkan sesuatu perkara. Pastinya sebagai pembimbing, beliau akan sangat gembira apabila munculnya penulis muda yang mampu mencipta karya yang halus dan berwibawa, hasil daripada didikannya yang sangat berseni dan teliti itu.

Kesanggupannya untuk menitipkan segala pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki selama lima siri bengkel tersebut berlangsung tentu saja merupakan satu kebertuahan yang jarang-jarang didapati. Satu keberuntungan untuk sastera Kelantan dan sekali gus terhadap sastera Malaysia juga pastinya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi