Oleh Salman Sulaiman
10 September 2021, 19:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Rosli K. Matari, ketika mengendalikan sambungan Bengkel Cerpen Hujung Minggu pada kali ini menegaskan perlunya para penulis agar menjadi manusia ensiklopedia, iaitu insan yang mempunyai ilmu dan berpengetahuan.

“Carilah ruang, dan bacalah apa-apa saja untuk menambah pengetahuan dan sebagai disiplin bantu. Kalau anda tidak genius, anda tidak boleh menjadi pengarang,” tegasnya.

Kehebatan sastera yang mampu membina realiti yang dikatakan oleh Rosli terbukti apabila kisah manusia pertama naik ke bulan, terlebih dahulu ditulis dalam sebuah novel hasil daripada imaginasi penulis sastera.

Cerita yang dimaksudkan ialah The First Men in the Moon karangan H.G. Wells, yang pertama kali diterbitkan secara bersiri dalam majalah The Strand Magazine pada tahun 1900. Karya tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Abdul Karim bin Mohd. Shariff dengan judul Manusia yang Pertama Di-Bulan (Longman Persekutuan Tanah Melayu, 1963).

Selepas itu, di alam realiti sebenar, barulah terhasilnya pencapaian manusia dalam penerokaan angkasa lepas melalui misi Apollo 11 apabila Neil Armstrong menjadi manusia pertama berjaya menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969, yang kemudian diingat dengan kata-katanya yang masyhur, “Selangkah kecil bagi seorang manusia, selangkah yang besar untuk kemanusiaan.”

Sesi yang berlangsung lebih dua jam ini, bermula pukul 9.00 malam pada 9 September 2021 yang turut diisi oleh penceramah dengan perkongsian “manfaat membaca kepada penulis”. Rosli menyenaraikan 15 manfaat apabila seseorang penulis itu membaca.

Antaranya ialah dapat mengisi masa lapang, menghibur hati, memperoleh kenikmatan, mengetahui tentang sesuatu perkara, memperkaya ilmu, meningkatkan keintelektualan, mempertajam sensitiviti dan imaginasi, mendinamikkan pemikiran kritis, memanfaatkan hasil bacaan, memperoleh teladan, menguasai kemahiran bahasa, menyumbang kembali pemikiran, amali kegeniusan, menjiwai kemanusiaan, dan terakhir, mampu menambah keterampilan EQ dan ESQ.

Kali ini, penceramah lebih banyak berinteraksi dengan para peserta melalui perkongsian pengalaman bahan bacaan masing-masing. Rosnani Ripin mengakui membaca merupakan satu terapi diri baginya. Manakala Tuan Siti Mastazameatun menyatakan sangat meminati sebuah karya tradisional berjudul Hikayat Gul Bakawali yang diulang bacanya berkali-kali. Baginya, teks sastera klasik tersebut sangat indah dan menakjubkan. Manakala Nik Mohd Hafiz pula menceritakan pengalamannya sendiri yang gemar membaca karya fiksyen sains. Menurut Rosli, antara penulis fiksyen sains Malaysia yang terkenal dan bagus untuk dibaca karyanya ialah Rahmat Haroun dan Ahmad Patria Abdullah.

Rosli juga menerangkan bahawa beliau tidak akan mengajar tentang plot, tema, watak dan unsur-unsur lain cerpen. Baginya, semua itu sudah ada dalam cerpen dan tidak perlu dipelajari untuk menghasilkan cerpen. Hal yang akan diperdalam lagi bagi beberapa siri ceramah seterusnya nanti ialah cara untuk menulis cerpen yang berkesan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi