Oleh Karmila Azmi
30 Ogos 2021, 22:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fiksyen bukan hanya dibina dengan pengalaman, pengetahuan dan imaginasi, sebaliknya gabungan ketiga-tiganya mampu memberikan impak yang lebih baik kepada pembaca. Hal ini disebutkan oleh penulis dan doktor perubatan, Yang Berusaha Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain sewaktu mengulas novel beliau, Cinta Nan Bersemi Kembali dalam program Bicara Karyawan di laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 12.00 tengah hari tadi.

Nik Hazlina berkata, secara umum naskhah itu yang diterbtkan tahun lalu adalah sebahagian daripada himpunan pengalamannya sebagai doktor perubatan yang diadunkan dengan emosi dalam pembinaan watak pasangan suami isteri, Aidid dan Eliza.

Katanya, naskhah itu pada umumnya mengenai pasangan Aidid dan Eliza yang sudah melangkah ke usia emas dan diuji apabila Eliza berhadapan dengan masalah komplikasi fibroid.

“Fibroid ini masalah yang umum dan biasa ditemui pada wanita. Bagaimanapun, dalam konteks Cinta Nan Bersemi Kembali, ia menimbulkan konfik yang menguji kesetiaan dan menggoyahkan kasih sayang,” katanya.

Menambahkan lagi konflik, kehidupan pasangan suami isteri ini diuji pula dengan kemunculan orang ketiga yang lebih menekan Eliza.

Tegas Nik Hazlina, adakala panduan kesihatan yang bersifat akademik kurang sampai kepada pembaca atau masyarakat, tetapi apabila fakta ilmu diadun dalam bentuk fiksyen dan disuntik dengan emosi, ia akan mudah untuk masuk ke dalam hati pembaca.

“Saya berharap naskhah ini mampu menjadi panduan dan inspirasi untuk pembaca yang berhadapan dengan masalah yang sama,” katanya.

Novel Cinta Nan Bersemi Kembali setebal 246 halaman ini diterbitkan oleh DBP pada tahun 2020 dan dijual dengan harga asal RM30.

Tonton bicara penuh di sini. Beli novel Cinta Nan Bersemi Kembali di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi