30 Ogos 2021, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penulis, penyair, penterjemah dan mantan pensyarah, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, merupakan salah seorang pemenang anugerah sastera dari India, bersempena Hari Kemerdekaan negara itu yang ke-75 pada 15 Ogos 2021. Anugerah sastera ini diberikan oleh Motivational Strips dan Akademi Sahitya Gujerat.

Motivational Strips ialah platform forum penulis dari seluruh dunia yang diasaskan oleh Shiju H. Pallithazheth. Saban tahun, bersempena Ulang Tahun Kemerdekaan India pada 15 Ogos, forum ini yang dikunjungi lebih daripada tujuh juta penulis setiap hari akan menganjurkan sebuah anugerah sastera, gabungan bersama Akademi Sahitya Gujerat serta kerajaan Peru, Seychelles, India, Mauritius, Congo, dan Brazil.

Raja Rajeswari ialah penulis yang prolifik dalam pengkaryaan puisi dan gigih dalam kegiatan menterjemahkan naskhah sastera. Anugerah ini dihadiahkan kepada beliau atas usahanya dalam kegiatan sastera bersama-sama forum ini yang melibatkan kerja terjemahan naskhah sajak bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, sebagai usaha memperluaskan capaian kesusasteraan Malaysia kepada khalayak antarabangsa.

Dalam kalangan pemenang dari Malaysia, Rajeswari juga merupakan pemenang tunggal yang menghantar karya bahasa Melayu ke dalam forum penulis antarabangsa ini.

Dalam temu bual bersama-samanya, beliau meletakkan kedudukan beliau sebagai penterjemah yang harus bertanggungjawab menyampaikan karya sastera Melayu kepada khalayak dunia, untuk melibatkan sastera tempatan ke dalam ranah weltliteratur.

“Presiden forum Motivational Strips juga mengajak lebih ramai penulis Malaysia untuk menyertai forum ini dan mengantarabangsakan bahasa Melayu,” ujar beliau.

Penulis dan penyair tempatan lain, iaitu Lilian Woo, Dr. Paul Sebastian dan Alan Liew juga memenangi anugerah ini, mengulangi kejayaan mereka memenangi hadiah sastera yang sama pada Ulang Tahun Kemerdekaan India yang ke-74, tahun lepas.

Penulis-penulis lain yang dibariskan sebagai penerima anugerah ini melibatkan 82 buah negara dan 440 orang penulis. Mereka merupakan ahli sasterawan ternama yang amat aktif dan banyak menyumbangkan titik peluh serta karya demi ranah sastera negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.