30 Ogos 2021, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Program Anugerah Sastera tahunan bersempena Ulang Tahun Kemerdekaan India ke-75, daripada Motivational Strips anjuran bersama Akademi Sahitya Gujerat dan kerajaan gabungan peringkat antarabangsa itu baru sahaja melabuhkan tirai pada 15 0gos, menyenaraikan 440 orang penulis dari 82 buah negara serata dunia telah menerima anugerah itu.

Empat orang penulis Malaysia juga mendapat kehormatan menerima anugerah tersebut, yang tiga daripadanya merupakan penulis berbahasa Inggeris; Lilian Woo, Dr. Paul Sebastian dan Alan Liew, selain Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman yang berkarya dalam bahasa Melayu.

Motivational Strips (MS) ialah sebuah forum, yang bermula hanya sebagai sebuah laman di Facebook, dan kini berdiri sebagai platform forum penulis dari seluruh dunia untuk membahaskan dan memperluas karya mereka. Forum ini diperkatakan oleh para penulis yang mengenalinya sebagai sebuah forum gergasi yang aktif dengan tujuh juta penulis yang berinteraksi dan bertukar karya setiap hari.

Pengasas MS ialah Shiju H. Pallithazheth, penulis yang berasal dari Oman, yang juga kini menjawat sebagai Presiden Bersama untuk World Nation Writers Union (WNWU), Kazakhstan. Tujuan diwujudkan organisasi dan forum ini adalah sebagai platform karyawan sastera untuk mengantarabangsakan nilai sastera mereka.

Raja Rajeswari kini giat menghantar puisi-puisi beliau ke dalam forum ini, di samping wujudnya pilihan luas untuk menghantar apa-apa jenis karya asalkan naskhah sastera.

“Apa yang menariknya, penulis boleh menghantar karya mereka dalam apa-apa jenis bahasa, malah adalah digalakkan untuk menghantar karya dalam bahasa kebangsan,” tambah Rajeswari.

Jelas beliau, forum MS memang menggalakkan penulis menghantar karya dalam bahasa kebangsaan, namun perlu disertakan bersama terjemahan ke dalam bahasa Inggeris. Terjemahan itu penting supaya peserta forum lain yang berasal dari negara lain berpeluang untuk memahami dan membahas karya tersebut.

Shiju H. Pallithazheth, pengasas forum Motivational Strips.

Penulis yang ingin mendapat sumber, maklumat atau bahan untuk penulisan juga boleh disantuni melalui forum ini. Malah, buat penulis pemula yang ingin menerbitkan karya mereka, forum ini juga berperanan sebagai panduan dan ruang untuk para penulis berbincang isu yang berkaitan.

Rajeswari, seorang penyair dan penterjemah bertauliah, mengambil peluang ini untuk mengangkat karya sastera tempatan. Pihak MS akan melantik beberapa panel untuk membahas karya tersebut, dan ternyata karya-karya terjemahannya menarik minat beberapa pihak dari luar negara.

“Salah satu kelainan yang saya bawa dalam forum itu adalah dengan mengangkat tema Malaysia dalam puisi saya. Bersepadan dengan pandemik yang sedang melanda, memang karya berkenaan virus dan wabak adalah antara yang banyak ditulis. Jadi di tengah-tengah situasi ini, saya bawa citra budaya Malaysia, contohnya tema wau dan busana batik.

“Saya juga sedang dalam proses menyiapkan sebuah puisi berkenaan Jalur Gemilang untuk dihantar dalam forum MS dalam masa terdekat,” ujar Rajeswari yang memang gemar berkarya dengan identiti Malaysia.

Di samping itu, beliau juga menyuarakan rasa terpanggil untuk menyeru lebih ramai lagi penulis bahasa Melayu agar dapat bersama-sama mengukuhkan lagi premis sastera bahasa Melayu dalam ruang maya antarabangsa, seperti forum MS.

Lilian Woo

Selain penulis Indonesia yang memang sedia meriah berkarya dalam forum MS, penulis Malaysia pula sekarang berada dalam bilangan yang sangat minima. Ujar beliau, mereka yang ada pun merupakan penulis yang berkarya dalam bahasa Inggeris. “Hasrat utama saya selepas menerima anugerah ini ialah menyeru ramai lagi penulis-penulis bahasa Melayu untuk menyertai forum ini dan bekerjasama mengantarabangsakan sastera kita.”

Selain Rajeswari, penulis tempatan lain yang giat membantu pengurusan MS di Malaysia ialah Lilian Woo, penyair dan penulis bahasa Inggeris. Pihak pimpinan forum merasakan pentingya mengambil karyawan bahasa Melayu supaya dapat menambahkan pengetahuan mereka berkenaan dimensi sastera tempatan.

“Cita-cita untuk mengangkat sastera kita ke peringkat antarabangsa memang sudah wujud dari dahulu, dan di sini telah terbit seruan untuk mempopularkan sastera kita, maka marilah kita memanfaatkannya,” jelas Rajeswari.

Kini, jalan sudah terbuka luas untuk menyambut peluang mengantarabangsakan bahasa Melayu.

Forum MS boleh dilawat di laman Facebook ini dan laman rasminya di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi