Oleh Rebecca Ilham
19 Ogos 2021, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Makmal Kemanusiaan Digital, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan wacana 1st Biennial Conversations tentang cerita rakyat Asia Tenggara semalam, dengan tema “Cerita Lipur Lara Malaysia Abad ke-21”. Acara yang julung-julung kalinya diadakan itu berlangsung secara maya menggunakan pelantar Zoom, dan membariskan para pembentang serta panelis, seperti Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, pengarang Dr. Anita Harris Satkunananthan, serta pengkarya AdiFitri Ahmad, Zen Cho dan Dr. Suraya Md. Nasir atau nama penanya, Jon Suraya.

Dalam ucapan pembukaan, Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Dr. Tanja Jonid menyatakan hasratnya untuk meneruskan peranan jabatannya melalui kerangka pengetahuan Islam dalam usaha menganalisis karya kesusasteraan berbahasa Inggeris. Analisis tersebut tidak hanya tertumpu pada karya-karya kanun (canons) dari Amerika, Eropah dan dunia Islam, tetapi juga meliputi lingkungan sastera Asia Tenggara, selaras dengan keberadaan budaya UIAM sendiri.

Penyelaras acara, Dr. Wan Nur Madiha Ramlan dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa program bicara ini, serta kajian Makmal Kemanusiaan Digital dalam subjek lipur lara Malaysia amnya, adalah bertitik tolak daripada kesedaran untuk melestarikan warisan lisan yang semakin ditelan zaman.

Sekiranya beberapa dekad yang lalu terdapat banyak saluran yang mengangkat cerita lipur lara sehingga menjadi sebahagian daripada psike generasi terdahulu, apresiasi yang sama tidak lagi wujud dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Justeru, program bicara ini secara khususnya berhasrat untuk membuka ruang untuk membincangkan hal ini dengan lebih meluas dan mendalam.

Acara diteruskan dengan pembentangan pertama oleh Dr. Anita Harris Satkunananthan, atau nama penanya Nin Harris dari Universiti Kebangsaan Malaysia bertajuk “A Practice-Based Feminist Revisioning of Otherworldly Women in Malay Hikayats”. Dalam pembentangannya, Dr. Harris telah membincangkan pengadaptasian dan pengambilan ciri-ciri tertentu daripada cerita lipur lara Melayu dalam penciptaan karya baharu. Secara khusus, beliau memfokuskan kepada penginterpretasian semula watak-watak wanita, seperti Puteri Bertujuh dalam Ulek Mayang dan puteri-puteri dalam Hikayat Raja Muda.

Watak-watak ini lazimnya watak sampingan, atau nama watak puteri hanya dinyatakan tanpa diberikan peranan yang lebih besar dalam perjalanan cerita lipur lara berkenaan. Maka, Dr. Harris sebagai pengarang telah mengangkat watak-watak ini dan memberikan suara kepada mereka dalam karya fiksyen sains dan fantasinya. Rekaysanya terhadap teks lama tersebut menjadi salah satu citra cerita lipur lara abad ke-21, yang bukan sahaja menyumbangkan kemandirian serta kelestarian kisah-kisah itu sendiri, tetapi juga mewujudkan kesinambungan pada tatacara kehidupan kontemporari.

Seterusnya, Prof. Muhammad Haji Salleh membentangkan “The Relevance and Wisdom of Folklore” dengan mengemukakan pelbagai contoh cerita lipur lara yang dikumpulnya daripada pengamatan selama berdekad-dekad. Muhammad menegaskan bahawa cerita lipur lara bukanlah hiburan rakyat semata-mata tetapi mengandungi pelbagai pengajaran penting yang diwariskan oleh nenek moyang sesuatu bangsa itu sendiri. Oleh itu, sekiranya certa lipur lara luput daripada korpus pemikiran sesuatu bangsa, termasuklah bangsa Melayu di Malaysia, maka mereka akan turut kehilangan kearifan orang terdahulu.

Selepas sesi rehat, acara diteruskan dengan sesi bicara santai dengan dua orang pengkarya dan penulis yang menggunakan cerita lipur lara sebagai subjek atau inspirasi dalam karya mereka. Pengkarya berkenaan ialah AdiFitri Ahmad yang telah menghasilkan komik trilogi Taubat Si Tanggang, Zen Cho seorang pengarang berpangkalan di United Kingdom, dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Suraya Md. Nasir, pengkarya komik Jejon di Jepun. Zen Cho telah menyunting antologi cerpen Spirits Abroad serta menghasilkan novel Black Water Sister dan The Order of the Pure Moon Reflected in Water, selain novelet/cerpen panjang If at First You Don’t Succeed, Try, Try Again yang mentafsir semula legenda imugi dalam cerita lipur lara Korea.

Mereka telah berkongsi pengalaman dalam proses mengadaptasi cerita-cerita lipur lara dalam bentuk karya kontemporari, sekali gus membayangkan masa hadapan yang cerah terhadap usaha melestarikan warisan berharga ini.

Tonton wacana penuh di sini.

Beli komik Taubat Si Tanggang di sini. Beli novel Zen Cho, Black Water Sister dan The Order of the Pure Moon Reflected in Water.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.