5 Ogos 2021, 21:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bagi penulis pemula, karya yang ditolak dan tidak tersiar tentunya memberikan kesan. Penulis akan hilang keyakinan dan berasa penulisannya tidak bagus. Jika hal ini tidak ditangani dengan betul, penulis akan mula kecewa dan akhirnya patah semangat untuk terus menulis.

Untuk mengulas lanjut tentang hal ini, Nisah Haron dalam siaran Secangkir Kopi Jam Sepuluh yang bersiaran pada Sabtu, 31 Julai 2021 dengan tajuk “Mengapa Cerpen Ditolak?” menasihatkan penulis pemula supaya teruskan menulis. Siaran ini merupakan lanjutan daripada siri pertama musim keempat kelolaan Azian Mohamed Isa.

“Anggap sahaja cerpen yang tidak tersiar itu sebagai belum tersiar. Penolakan itu bukanlah hukuman mati dan penamat pada perjalanan penulisan. Penolakan merupakan salah satu proses dalam perjalanan kreatif seorang penulis. Jika kita tidak belajar peritnya rasa kecewa, bagaimana untuk kita raikan manisnya kejayaan,” ujar beliau.

Nisah juga menyarankan penulis pemula untuk sentiasa berpegang pada pesanan Allahyarham Dr.Othman Puteh, mentor penulisannya, “Kalau baru menulis cerpen, tulis sahaja dahulu, jangan tunggu sehingga cerpen itu tersiar baru kita mahu menulis cerpen yang baharu. Hendaklah terus menulis.”

Menurut Nisah, jadilah penulis yang bertanggungjawab dengan karya yang dihasilkan.

Dengan pengalaman hampir tiga dekad bergulat dalam dunia penulisan, Nisah menegaskan bahawa penulis boleh mengawal sebuah cerpen itu daripada ditolak dengan menjadi seorang penulis yang bertanggungjawab dan berilmu. Kawal kepanjangan cerpen yang mahu dihantar dengan mengetahui selok-belok ciri-ciri dan konsep rumah penerbitan atau majalah. Pelajari ciri-ciri sebuah cerpen yang baik. Penulis boleh melayari episod pertama “Tip Cerpen Pasti Terbit” untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang hal ini.

 

Penulis juga hendaklah mengelak daripada menghantar karya hasil ciplakan atau plagiat. Karya yang dihantar merupakan cerminan diri seorang penulis. Mengakui karya orang lain sebagai karya asli yang ditulis sendiri dan tidak diterbitkan di mana-mana merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan sifar integriti.

Hal ini juga mendapat perhatian daripada Rozninah Abd. Azib, mantan editor yang menangani sejumlah karya di meja redaksi Dewan Sastera. Antara sebab cerpen tidak tersiar dan dimasukkan ke dalam fail tolak adalah kerana isu plagiat. Katanya, “Editor perlu berani menolak karya dan bertanggungjawab dengan tindakannya.” Beliau menyanggah sesetengah tanggapan penulis yang menyatakan editor sebagai Tuhan yang mempunyai kuasa untuk menolak atau menerbitkan karya. Seorang editor yang berwibawa akan sentiasa bertanggungjawab dengan kandungan yang tersiar di bawah kendaliannya.

Rozninah turut menyentuh tentang penolakan karya bukan hanya berlaku kepada penulis baharu. Malah, tulisan penulis mapan juga pernah ditolak sebahagiannya. “Penulis yang sudah lama menulis adakalanya cenderung untuk mengulang isi, bentuk dan gaya yang sama. Proses pengulangan ini biasanya terjadi oleh sebab penulis sudah tepu idea. Justeru, editor berhak untuk menolak cerpen tersebut bagi mengawal kualiti majalah dan reputasi penulis mapan itu sendiri,” tegasnya.

Penolakan karya ialah peluang kedua untuk penulis memperbaiki kelemahan dan mendalami ilmu penulisan. Penulis juga perlu bertanggungjawab menjaga integriti karya. Editor pula harus berani dan bertanggungjawab menjalankan tugas. Hanya dengan memahami peranan dan jalinan hubungan editor-penulis ini yang akan memastikan wujudnya ekosistem yang subur dan selamat dalam industri perbukuan dan penerbitan.

Untuk menonton episod “Mengapa Cerpen Ditolak?” boleh tekan pautan ini.

Pelayar juga boleh terus ke halaman Secangkir Kopi Jam Sepuluh di Facebook untuk menonton episod-episod terdahulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.