Oleh Adib MN
4 Ogos 2021, 21:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kanada – Berita peningkatan jualan buku tidak kira di mana-mana negara sekalipun, memberikan khabar baik kepada industri buku termasuk di negara ini.

Justeru, peningkatan jualan buku bercetak sepanjang enam bulan pertama tahun ini di Kanada secara signifikan, iaitu sebanyak 1.5 juta naskhah dengan nilai CAD$47 juta (RM158 juta) tahun-ke-tahun (year-over-year) memberikan harapan baik kepada khalayak perbukuan tanah air.

Walau bagaimanapun, jualan ini belum mengatasi jualan buku bercetak sebelum pandemik COVID-19, iaitu tahun 2019 yang sudah tentu dapat difahami, tetapi peningkatannya berbanding dengan tahun global dilanda pandemik boleh memberikan sedikit nafas lega.

Dalam tempoh enam bulan pertama, jualan buku pada tahun 2019 mencatatkan 23.5 juta naskhah dengan hasil jualan sebanyak CAD$479.8 juta (RM1.6 bilion) tetapi jatuh kepada 20.9 juta naskhah atau CAD$416.9 juta (RM1.4 bilion) pada tahun permulaan pandemik mengganas di seluruh dunia.

Namun begitu, jualan itu kembali meningkat pada tahun ini apabila mencatatkan 22.5 juta naskhah dengan jualan merekodkan CAD$463.8 juta (RM1.56 bilion).

Berdasarkan trend jualan separuh pertama tahun ini, Noah Genner dari Booknet Canada menyimpulkan, kategori kanak-kanak/remaja atau young adult (YA) terus mendominasi apabila merekodkan 42 peratus daripada jualan buku bercetak keseluruhannya dalam pasaran buku berbahasa Inggeris di Kanada, berbanding 41 peratus tahun sebelumnya.

Buku bukan fiksyen pula mencatatkan 30 peratus pada tahun ini yang turun sebanyak dua peratus berbanding pada tahun 2020, manakala kategori fiksyen merekodkan 27 peratus, iaitu naik satu peratus.

Subjek atau genre dengan peningkatan tertinggi tahun-ke-tahun ialah komik dan novel grafik yang meningkat 92 peratus dengan kategori manga mencatat peningkatan paling signifikan, iaitu 145 peratus; puisi (81 peratus); psikologi (84 peratus); serta YA dan fantasi (129 peratus).

Menggunakan data diambil daripada data metadata bibliografi yang dibekalkan oleh penerbit Kanada kepada BNC BiblioShare, Genner dapat melihat rancangan penerbitan industri dan bagaimana ia terjejas dengan pandemik.

Melalui analisis penerbitan itu, Genner mendapati penurunan jumlah judul baharu yang masuk ke pasaran, sekali gus meneruskan trend yang dicetuskan oleh pandemik selepas menggegarkan dunia.

Sikap hati-hati yang diambil oleh penerbit di Kanada diteruskan pada tahun ini, sekali gus menunjukkan impak COVID-19 akan terus memberikan kesan kepada ranah perbukuan di negara itu.

Dalam konteks pelanggan atau pembaca pula, Genner melihat kepada dapatan daripada Kaji Selidik Pengguna Buku Kanada membabitkan 2500 rakyat berbahasa Inggeris yang diadakan setiap suku tahun oleh BookNet Canada, sekali gus memetakan tabiat pembelian buku masyarakat di negara terbabit sekitar bulan Mei hingga Julai lalu.

Genner mencatatkan perubahan signifikan berlaku dalam tabiat pembelian buku bermula pada tahun 2020 apabila pengguna beralih kepada pembelian buku dalam talian. Perubahan ini boleh difahami berdasarkan langkah berhati-hati yang diambil oleh masyarakat, seperti juga disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk melakukan penjarakan sosial atau fizikal, selain pelaksanaan perintah berkurung atau kawalan pergerakan di kebanyakan negara tidak terkecuali Malaysia.

Genner menegaskan dengan perintah berkurung mula dilaksanakan bermula musim bunga pada tahun lalu, pembaca mula mengubah tabiat pembelian dengan memperolehnya secara dalam talian.

Namun, dengan perintah berkurung mula dilonggarkan dan ditamatkan, peruncit mula membuka kedai untuk jualan buku, sekali gus memperlihatkan peningkatan jualan pembelian.

Sementara itu, jualan buku paling laris di Kanada untuk kategori fiksyen direkodkan: The Rose Code karya Kate Quinn; Dog Man: Mothering Heights karya Dav Pilkey (kanak-kanak/remaja); Atomic Habits karya James Clear (bukan fiksyen), dan The Push karya Ashley Audrain (karya tempatan).

Khabar baik industri buku Kanada itu diharapkan turut diraih di negara lain termasuk Malaysia, meskipun agak sukar untuk mengetahui secara terperinci pasaran buku tanah air disebabkan oleh ketiadaan data ekoran keengganan penerbit buku tempatan berkongsi data.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi