Oleh Zulkifli Salleh
23 Julai 2021, 08:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Zulkifli Salleh membaca naskhah drama Albert Camus yang menggambarkan penularan wabak yang menakutkan dan cara pihak penguasa membendungnya.

Apa pedulinya laut dengan perang dan wabak? Para penguasa datang dan pergi, tetapi laut tetap laut. Laut bertahan, malah berapa banyak penguasa yang ditelan oleh laut! Pemujaan warga kota Cadiz terhadap laut seakan-akan suatu perbuatan eskapisme.

Sophocles (sekitar 496–406 SM), dilahirkan di Colonus, dekat Athens, dengan Aeschylus dan Euripides, salah seorang daripada tiga dramatis tragik agung Yunani. Karya beliau yang paling terkenal ialah Oedipus Rex (Sang Raja Oedipus). Drama ini bermula dengan kota Thebes diserang oleh wabak dan warganya merayu kepada Oedipus untuk mencari ubat. Dia mendapatkan nasihat daripada para nujum di Delphi, yang mengisytiharkan bahawa wabak akan reda hanya apabila pembunuh suami pertama Jocasta, Raja Laius, ditemui dan dihukum. Oedipus memutuskan untuk mencari pembunuh Laius. Tidak dia ketahui, langkahnya itu membawa derita yang lebih mendalam, dan lebih menyakitkan.

Kesakitan dek wabak yang merebak juga timbul pada tahun 1948. Albert Camus yang terkenal dengan novel wabak, The Plague, juga menghasilkan drama tiga babak berjudul The State of Siege. Drama moden ini menampilkan perintah berkurung dan keadaan darurat yang seakan-akan sama dialami di serata dunia, termasuk Malaysia. Dalam drama ini yang berlatarkan kota Cadiz di Sepanyol, Camus menampilkan pandangan tiga tokoh watak tentang wabak yang melanda, iaitu datuk bandar di istana, pendeta di gereja, dan hakim di rumahnya.

Datuk bandar dengan nada putus asa memberitahu bahawa wabak sedang menular dengan pantas sehingga mereka tidak mempunyai harapan untuk membasminya. Jangkitan sudah mencengkam tubuh badan rakyatnya dengan berleluasa. Pekan-pekan terpencil yang padat dengan orang miskin, paling parah terkena dampaknya. Pendeta pula menyarankan agar orang ramai mendekati Tuhan, lalu masing-masing mengaku telah melakukan dosa-dosa besar di hadapan khalayak. Saranan ini menunjukkan pandangan lazim tokoh agama setiap kali wabak melanda: akibat kejahatan atau dosa yang manusia lakukan, kemurkaan Tuhan diturunkan.

Sementara itu, hakim berkata, “Aku dengan nama Tuhan, Dia pelindung dan bentengku: Tuhanku, kepada-Nya aku percaya. Dia pasti akan membebaskan kalian daripada wabak ganas ini.” Melalui panduan suara, kita dapat mendengar: “Kamu tidak boleh takut terhadap keganasan waktu malam; juga terhadap anak panah yang meluncur waktu siang. Juga terhadap wabak yang merangkak dalam gelap; juga terhadap penghancuran yang berlangsung waktu siang.” Mungkin kiasan ini bertujuan untuk menyuntik semangat perpaduan dan kesatuan hati para penduduk yang dilanda oleh wabak, agar mereka tabah menghadapi musibah.

Dalam drama ini, kita dapat mengetahui amalan “pengasingan” (kuarantin) melalui dialog antara Diego dengan Victoria. Diego memberitahu Victoria yang semakin menghampirinya supaya pergi jauh kerana dia tahu dirinya sudah menghidap penyakit dan tidak mahu menjangkiti Victoria. Sementara itu, datuk bandar memberitahu bahawa gabenor yang prihatin telah memerintahkan agar semua pertemuan umum dan aktiviti hiburan di tempat awam dilarang dengan serta-merta. Gabenor juga mengarahkan datuk bandar supaya mendapatkan nasihat perubatan yang terbaik kerana warga kota perlu diyakinkan kemungkinan penyebaran wabak ini tidak mampu dibendung lagi. Langkah gabenor dalam drama ini agak berbeza dengan sesetengah pemimpin dunia yang tidak mempercayai sains, meskipun negara mereka dilanda teruk oleh pandemik COVID-19.

Sebagai pemakluman kepada orang ramai demi mengelak daripada dijangkiti, maka “semua rumah yang dijangkiti akan diberikan tanda di pintu depannya dengan tanda wabak, iaitu sebuah lakaran bintang berwarna hitam dan di atasnya ditulis: ‘Kita semua bersaudara’. Bintang ini akan tetap berada di tempatnya sehinggalah rumah tersebut selamat dan dibuka semula. Pelanggaran peraturan ini akan dikenakan hukuman yang keras.” Namun begitu, sebilangan warga kota tetap membantah perintah itu. Mereka mengatakan, para penguasa pernah berjanji akan melindungi mereka, namun kini mereka dikurung untuk mati sendirian.

Peraturan berkurung tetap diperkenalkan. Semua lampu harus dimatikan tepat pada pukul 9.00 malam. Tidak ada seorang pun yang diizinkan untuk berada di tempat awam selepas jam 9.00, atau meninggalkan rumah tanpa izin rasmi dengan borang, yang hanya akan disahkan bagi kes yang sangat khusus dan sudah dipertimbangkan dengan teliti oleh pihak berkuasa. Pelanggaran peraturan ini akan dikenakan hukuman yang keras. Peraturan yang diperkenalkan ini mengingatkan kita di Malaysia, akan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama beberapa bulan: orang ramai tidak dibenarkan keluar rumah dan meninggalkan kawasan atau daerah kediaman mereka sesuka hati.

Untuk memastikan warga kota Cadiz memperoleh keperluan asas yang cukup sewaktu perintah darurat, maka diumumkan, “bahan makanan daripada tumbuh-tumbuhan harus digunakan untuk melayan permintaan masyarakat, yakni makanan tersebut akan dibahagi sama rata untuk semua yang terbukti patuh pada tatanan sosial baharu.” Dengan kata lain, orang yang mengingkari tatanan sosial baharu – atau “norma baharu” dalam pengertian sekarang – tidak boleh menikmati kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa. Mana-mana pihak berkuasa perlu menunjukkan ketegasan dalam pelaksanaan peraturan demi membendung wabak merebak. Mereka perlu bertindak seperti penguasa dalam Leviathan Thomas Hobbes.

Dalam drama ini (juga seperti dalam The Plague), Albert Camus menunjukkan langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk membendung penularan wabak, iaitu dengan menutup pintu gerbang secara beransur-ansur. Langkah ini menyebabkan sesetengah warga kota berura-ura untuk meninggalkan kota itu melalui pintu gerbang yang masih dibuka. “Kita adalah anak-anak laut. Pergi! Pergi! Laut memanggil-manggil kita ke tempat-tempat menyenangkan tanpa tembok-tembok atau gerbang-gerbang, ke pantai yang pastinya masih perawan, sedingin bibir perawan, dan tempat mata kita silau memandang ke laut. Mari pergi untuk bertemu angin. Pergi! Pergi ke laut! Ke gelombang-gelombang yang tidak terkongkong, ke air yang jernih dan bersih, angin kebebasan yang bercahaya.” Memang jelas, orang ramai menjadi tidak keruan apabila kota mereka ditutup dan terpaksa berkurung. Hal yang sedemikian juga berlaku ketika penguatkuasaan PKP yang diumumkan pada 16 Mac 2020: orang ramai berasak-asak cuba meninggalkan kota kediaman mereka untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bagi penduduk kota itu, laut akan menyelamatkan mereka. Apa pedulinya laut dengan perang dan wabak? Para penguasa datang dan pergi, tetapi laut tetap laut. Laut bertahan, malah berapa banyak penguasa yang ditelan oleh laut! Pemujaan warga kota Cadiz terhadap laut seakan-akan suatu perbuatan “eskapisme”. Mereka seakan-akan lari daripada hakikat bahawa kota mereka sedang dilanda wabak. Mereka cuba lari daripada keadaan sekeliling yang penuh dengan kepanikan, penghinaan dan pendirian pengecut, sebelum pintu-pintu gerbang ditutup. Mereka mahu lari ke laut yang bercahaya, dengan pemandangan permukaan birunya yang luas dan dibelai angin.

Jumlah kematian yang sangat tinggi dijelaskan melalui peti mayat yang semakin langka. Kain kapan dan petak lubang di tanah perkuburan juga bertambah kurang.

Penguburan mangsa wabak yang dibuat dengan segera juga timbul dalam The State of Siege. Pada mulanya, upacara penguburan mengikut tradisi agama dilakukan secara sederhana, namun makin lama kemudian, upacara ditiadakan. “Berjaga-jaga, memenuhi upacara keagamaan tidak lagi dibenarkan, sehingga mereka yang meninggal waktu petang akan terbaring sendirian; dan mereka yang meninggal waktu siang, tanpa menunggu, segera dikuburkan.”

Bagi kaum keluarga pula, meskipun mereka diberitahu, mereka sendiri dimasukkan ke pusat kuarantin. Pada mulanya, mereka berasa tersinggung kerana anggota keluarga mereka yang meninggal dunia dilayan sebegitu, namun akhirnya mereka juga akur akan hakikat kehidupan semasa epidemik. Jumlah kematian yang sangat tinggi dijelaskan melalui peti mayat yang semakin langka. Kain kapan dan petak lubang di tanah perkuburan juga bertambah kurang. Pengurusan mayat juga dilakukan “dengan cepat, yang tidak bernyawa dilemparkan terus ke dalam lubang … Dan lubang yang semakin lama digali semakin dalam itu, mayat-mayat tidak lagi dapat dibeza-bezakan antara satu sama lain. Namun begitu, tidak lama kemudian, harus digali tempat baharu dan dicari akal lain. Pegawai keselamatan mengeluarkan keputusan darurat untuk menarik hak milik perkuburan, sehingga mayat-mayat yang telah dikebumikan digali kembali, lalu sisa-sisanya dibawa ke tempat pembakaran.”

Huru-hara penguburan dan mayat makin mengancam keadaan. Seorang wanita menyuarakan kerisauannya yang berbaur ketakutan: “Itu! Lihat itu! Orang itu menyembunyikan mayat. Hal ini tidak boleh dibiarkan. Kita semua akan dijangkiti. Mengapa mereka tidak pergi menguburkannya?”

Wabak yang menimpa kota Cadiz juga bukanlah sesuatu fenomena yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Warga kota Cadiz sendiri tahu tentang malapetaka wabak yang dahsyat dalam sejarah. Bagaimana selama “ribuan tahun wabak telah menaburi ladang-ladang dan kota-kota mereka dengan mayat-mayat. Korban wabak telah menyuburkan pasir-pasir di Libya dan Etiopia menjadi hitam, daratan Parsi masih subur dengan keringat mangsa wabak. Kuil Athens dengan api pemurnian, menyala di pantai-pantainya dengan ribuan longgokan kayu api pemakaman, dan wabak menaburi lautan Yunani dengan abu tebal sehingga warna biru laut berubah menjadi abu. Para dewa, bahkan para dewa yang malang memberontak melihat tindakan wabak. Kemudian, ketika kuil-kuil berubah menjadi katedral, pasukan wabak berkuda hitam mengisi tempat-tempat itu dengan massa yang meraung-raung. Selama bertahun-tahun sampai tidak terhingga, di lima benua, wabak membunuh tanpa henti, tanpa penyesalan.”

Seakan-akan suatu kelaziman sejak Wabak Athens, Wabak Besar London, wabak yang berlaku dalam dua karya Camus, dan kini, pandemik COVID-19, keterukan wabak ditunjukkan melalui jumlah kematian. Mayat bertimbun-timbun kerana pengebumian tidak diuruskan, atau upacara pengebumian hanya secara ala kadar. Perkuburan massa merupakan gambaran lazim setiap kali wabak melanda, termasuk COVID-19. Di Brazil, negara yang menduduki tempat ketiga tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat dan Rusia, dilaporkan beratus-ratus kubur massa digali kerana negara itu mencatatkan 21 116 kes kematian akibat virus korona pada 22 Mei. Di Sao Paulo, antara kota Brazil yang dilanda dengan teruk, video aerial menunjukkan deretan plot terbuka di Perkuburan Formosa, setiap satunya perlu tergesa-gesa untuk memenuhi permintaan penguburan.

Wilayah yang paling banyak penduduk di Afrika Selatan, termasuk kota Johannesburg dan Pretoria, menyiapkan kira-kira 1.5 tapak perkuburan untuk kemungkinan perkuburan massa kerana kes virus corona di negara itu mula meningkat. Seperti pada 16 Julai, Afrika Selatan menduduki tangga ketujuh tertinggi di dunia dari segi bilangan kes yang disahkan, iaitu 311 049 kes, dengan 4453 kes kematian. Pada 4 Julai, CGTN melaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan menggali kubur besar-besaran di perkuburan di seluruh Bolivia untuk menerima gelombang baharu mangsa COVID-19. Ketika itu, Bolivia mencatatkan 35 500 kes virus dan 1200 kes kematian. Meskipun jumlah itu rendah jika dibandingkan dengan negara jirannya, Peru, Chile, dan Brazil, kes baharu terus meningkat dalam beberapa minggu terakhir, membebankan sistem penjagaan kesihatan yang rapuh di sesetengah kawasan negara itu.

Sementara itu, National Geographic keluaran Ogos 2020 menegaskan bagaimana pandemik telah mengubah kita dengan menunjukkan gambar mayat yang disyaki mangsa COVID-19 terbaring di sebuah hospital di Indonesia. Selepas pesakit itu meninggal dunia, jururawat membalut mayat dalam lapisan plastik dan menggunakan penyahjangkitan untuk mencegah merebaknya virus. Majalah itu juga menunjukkan mayat warga asing yang meninggal ketika pandemik COVID-19 disimpan di dalam rumah mayat di Milan sehingga mayat itu boleh dikirimkan ke negara si mati. Rumah mayat di wilayah Lombardy, Itali pula penuh dengan mayat sehingga menyebabkan mayat perlu dihantar ke wilayah lain untuk pembakaran. Pihak berkuasa Itali melarang upacara pengebumian di seluruh negara, memaksa kaum keluarga berkabung sahaja di rumah.

Seram wabak dalam The State of Siege menjadi lumrah dunia sekarang. Apabila wabak semakin mengganas, hanya sebuah pintu gerbang sahaja yang belum ditutup. Penduduk kota Cadiz bercadang untuk keluar meninggalkan kota itu. Melalui panduan suara, kedengaran “Wabak bergerak lebih cepat daripada kita. Wabak membenci laut dan angin, memisahkan kita dari laut. Di luar sana, malam-malam masih tenang, bintang-bintang meluncur di atas puncak-puncak tiang kapal, bayangnya memantul di laut biru. Apa yang dicari oleh wabak di kota ini? Wabak ingin mencengkeram kita, kerana wabak mencintai kita menurut caranya. Wabak menginginkan kita bahagia, bukan menurut cara kita, tetapi menurut caranya.”

Untuk membendung penularan melalui udara (kerana percakapan membawa jangkitan), maka penduduk Cadiz dikehendaki untuk memakai “pelitup muka”. Seperti yang diumumkan oleh petugas, “kalian semua diperintahkan untuk menyumpal mulut dengan kain lap yang sudah direndam dengan cuka. Hal ini bukan hanya akan melindungi kalian daripada penyakit itu, juga mengajarkan kebijaksanaan dan seni berdiam.”

Selain hakikat jangkitan yang menyeramkan, drama ini turut menampilkan keseraman kuasa yang menuju pada peringkat autoritarian. Sebalik cara yang keras dan perlu patuh arahan pihak penguasa, timbul kritikan terhadap cengkaman kuasa, lalu kita menyoal hal kemanusiaan yang makin menipis dalam keadaan serba menurut dan huru-hara kematian massa dan jangkitan yang terus-menerus merebak. Berbanding dengan novel Camus, naskhah drama ini agak nipis dan kurang mendapat perhatian. Para penulis dan pembaca lebih berminat membaca, merujuk dan meninjau semula The Plague yang dianggap sebagai karya agung Albert Camus daripada karya drama ini. Namun begitu, melalui drama The State of Siege, kita tetap juga dapat memahami penularan wabak marabahaya, akibatnya, seram yang dibawanya, dan kemungkinan cara kita menghadapinya ketika musibahnya menghampiri kita.

Beli The State of Siege di sini.

Nota: Terjemahan petikan The State of Siege oleh penulis dalam makalah ini mengguna pakai teks terjemahan dari Indonesia, Sampar (Mata Angin, 2001) sebagai rujukan.

_________________________

Zulkifli Salleh ialah mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menjawat tugas sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, Ketua Editor Buku Sastera dan Ketua Editor Majalah di DBP. Antara hasil karyanya termasuk Idea-idea Besar Ekonomi Politik Dunia (DBP, 2019) dan Krisis Tidak Berhujung (DBP, 2018).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi