Oleh Zulkifli Salleh
3 Jun 2021, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang sedang berlangsung, Zulkifli Salleh membawa kita kembali pada era purba Barat dan deretan karya yang mencatat dan menghidupkan realiti gerun wabak penyakit dan impaknya terhadap manusiawi.

Pada zaman-zaman itu, apabila wabak merebak, tiada ubat yang dapat membantu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menghentikannya daripada menyerang.

Kepurbaan atau lamanya kewujudan wabak dapat dikesan dalam karya sastera. Bukti yang tertua terdapat dalam The Iliad Homer (sekitar 701 hingga 900 Sebelum Masihi/SM). Dalam Buku Satu The Iliad, diriwayatkan bahawa wabak telah memusnahkan segerombolan askar Yunani di Troy kerana kemurkaan Dewa Apollo. Anak perempuan salah seorang pendetanya telah dicolek sebagai tebusan perang oleh pemimpin tentera Yunani, iaitu Agamemnon. Apabila bapa gadis itu datang ke kem askar Yunani untuk menebusnya, Agamemnon bukan sahaja enggan melepaskan anak perempuan itu, tetapi secara terbuka turut mengaibkan pendeta Apollo itu. Pendeta itu memohon hukuman daripada Apollo yang menunaikan permohonan itu dengan menurunkan wabak.

Dalam The Iliad, wabak datang secara langsung daripada Dewa Apollo, yang menimpai orang Yunani sebagai hukuman Tuhan. “Dewa Apollo menurunkan kesengsaraan kepada orang Yunani dengan wabak kerana mereka enggan patuh kepada paderinya,” tulis Frank M. Snowden dalam bukunya, Epidemics and Society: From the Black Death to the Present. Wabak diatasi bukannya oleh sains atau penjarakan sosial, tetapi oleh pengorbanan dan beberapa amalan kebersihan yang lebih baik. Wabak lain yang muncul dalam The Iliad turut berlaku ketika kepungan terakhir Troy. Penyakit itu bermula dengan jangkatan antara haiwan, iaitu keldai dan anjing, kemudian ia merebak kepada para pahlawan Yunani.

Selain The Iliad, tragedi Sang Raja Oedipus atau Oedipus Rex nukilan Sophocles dan The History of the Peloponnesian War karya Thucydides turut mengimbau kejahatan wabak terhadap manusia pada era purba dahulu. Sophocles (496–406 SM) dilahirkan di Colonus, berdekatan Athens, merupakan salah seorang daripada tiga pengarang drama tragedi teragung era Yunani purba (dua lagi ialah Aeschylus dan Euripides). Karya tragedi yang paling terkenal nukilan beliau ialah Sang Raja Oedipus. Drama ini bermula dengan kota Thebes diserang oleh wabak dan warganya merayu kepada Raja Oedipus untuk mencari ubat. Baginda mendapatkan nasihat nujum Delphi, yang mengisytiharkan bahawa wabak akan reda hanya apabila pembunuh suami pertama Jocasta, Raja Laius, ditemui dan dihukum. Oedipus memutuskan untuk mencari pembunuh Laius.

Thucydides, sejarawan agung Yunani klasik ini pula dilahirkan pada tahun 460 SM (atau beberapa tahun lebih awal). Beliau merupakan generasi yang lebih muda daripada sejarawan Yunani terkenal, Herodotus. Beliau menunjukkan bahawa gempa bumi, kemarau, kebuluran, dan juga pestilens yang menjangkiti orang ramai turut menyebabkan kemusnahan pada zaman beliau. Dalam hal ini, wabak penyakit dianggap sebagai suatu bencana besar, dan fenomenanya disebut-sebut dan dipercayai.

Dalam karya sejarah purba Thucydides itu, terkandung kisah Wabak Athens (Plague of Athens) yang merupakan epidemik yang amat menggerunkan, menyerang kota itu pada tahun 430 SM. Wabak itu muncul semula pada tahun 425 SM. Wabak Athens dipercayai berasal dari Etiopia (Afrika), dan kemudian merebak ke seluruh persisiran Mediterranean. Namun begitu, peristiwa ini tidak dapat memastikan setakat mana wabak itu mungkin menyumbang kepada kemenangan mutlak orang Sparta terhadap orang Athens dalam Perang Peloponesia atau menyumbang kepada kemerosotan empayar Athens akhirnya.

Thucydides menunjukkan pemerhatian langsungnya tentang penyakit yang melanda Athens, dan dengan itu, beliau merupakan penyumbang sumber maklumat utama tentang wabak dalam sejarah purba Barat. Beliau merujuk pestilens sebagai wabak, tetapi penamaan ini digunakan pada zaman purba untuk mana-mana kerebakan penyakit yang berlaku secara meluas. Ramai sarjana tidak mempercayai kemungkinan bahawa peristiwa ini merupakan hawar bubonik kerana Thucydides tidak pernah menyebut tentang ketumbuhan yang kelihatan di lipatan peha (groin), ketiak dan di keliling telinga, simptom yang standard dalam hawar bubonik kerana penyakit ini menyerang sistem limfa dan menghasilkan bengkak sebegitu rupa.

Malah, sebelum dogma kepercayaan Kristian tersebar di serata Eropah, hubungan sebab-musabab antara wabak dengan dosa manusia sudah wujud dalam teks sastera Yunani pada era purba bersama-sama dengan kitab agama, seperti yang dinyatakan dalam The Iliad dan Oedipus. Namun begitu, The History of the Peloponnesian War Thucydides dan puisi didaktik Latin De rerum natura oleh penyair Lucretius (kira-kira 99–55 SM) menolak perhubungan “bencana” penyakit dengan perlakuan dosa manusia dan memberikan tumpuan perihalan mereka terhadap ketakutan massa yang tidak boleh dikawal apabila berlakunya penularan wabak yang berleluasa. Menurut kedua-dua pengarang purba ini, wabak tidak mendiskriminasikan antara baik dengan jahat, tetapi menimbulkan kehilangan dalam semua konvensyen sosial, sambil meningkatkan sikap mementingkan diri masyarakat awam dan keserakahan.

Meskipun diterbitkan lebih seabad lalu, terasa The Scarlet Plague seperti sezaman kerana novel ini membolehkan pembaca moden untuk membayangkan  ketakutan di seluruh dunia tentang pandemik, malah ketakutannya masih tekal dirasai.

Pada Zaman Pertengahan akhir, karya seperti The Decameron oleh Giovanni Boccaccio (1313–1375) dan The Canterbury Tales oleh Geoffrey Chaucer (1343–1400) pula menekankan nirnilai murni manusia dan kaitannya dengan penurunan wabak: rasa ketakutan terhadap penularan wabak yang berlaku atas peningkatan maksiat dalam kalangan manusia, seperti keserakahan, ketamakan dan rasuah. Bagi mereka, maksiat membawa kepada jangkitan, dan dengan itu, membawa bencana kepada kedua-duanya, iaitu kematian moral dan fizikal. Reaksi manusia terhadap wabak juga merupakan tema utama sastera sejarah A Journal of the Plague Year oleh pengarang Inggeris Daniel Defoe (1659–1731). A Journal of the Plague Year ialah sebuah naratif panjang dan terperinci tentang peristiwa, anekdot dan statistik yang berhubung dengan Wabak Besar London pada tahun 1665.

Lama sebelum kemunculan novel The Plague Albert Camus, Jack London (1876–1916) menerbitkan novel pascaapokalips The Scarlet Plague (1915), yang berlangsung pada tahun 2073. Jack London ialah penulis dan wartawan Amerika Syarikat dan pengarang novel klasik, termasuk The Call of the Wild (1903) dan White Fang (1906). Dalam bab tiga novel itu, seorang lelaki tua memberitahu bahawa “pada musim panas tahun 2013, wabak datang. Saya ketika itu berusia 27 tahun, dan saya masih ingat dengan baik.” Lelaki tua ialah James Howard Smith atau “Granser”, salah seorang daripada segelintir orang yang terselamat daripada serangan wabak tahun 2013. Dia memberitahu cucu lelakinya yang seolah-olah tidak percaya bagaimana pandemik merebak di dunia dan reaksi orang ramai terhadap penularan kematian. James menceritakan asal usul wabak yang dipanggil sebagai Maut Merah kepada cucunya, iaitu 60 tahun sebelumnya. Epidemik yang tidak dapat dikawal itu telah mengurangkan hampir separuh penduduk dunia dan hampir memusnahkan kehidupan dunia pada tahun 2013.

Novel Jack London ini mendapat perhatian Michele Augusto Riva, Marta Benedetti, dan Giancarlo Cesana, apabila mereka menulis “Pandemic Fear and Literature: Observations from Jack London’s The Scarlet Plague” dalam Emerging Infectious Diseases pada tahun 2014, beberapa tahun sebelum meletusnya pandemik COVID-19. “Meskipun diterbitkan lebih seabad lalu, terasa The Scarlet Plague seperti sezaman kerana novel ini membolehkan pembaca moden untuk membayangkan  ketakutan di seluruh dunia tentang pandemik, malah ketakutannya masih tekal dirasai.”

Dengan meneroka motif wabak, topos (tema tradisi atau formula dalam sastera) dalam novel London ini merupakan sebahagian daripada tradisi sastera Barat yang panjang, yang menjemput para pembaca untuk membayangkan ketakutan manusia zaman-berzaman terhadap penyakit berjangkit. Pada era purba, wabak dan pestilens merupakan bencana yang agak kerap, dan orang biasa berkemungkinan menyaksikan atau mendengar laporan yang jelas dan menakutkan tentang kepunahan teruk mereka dek bencana ini. Pada zaman-zaman itu, apabila wabak merebak, tiada ubat yang dapat membantu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menghentikannya daripada menyerang; satu-satunya cara untuk menyelamatkan diri adalah dengan mengelakkan kontak dengan orang yang dijangkiti dan objek yang dicemari. Ketakutan yang amat sangat ini juga dirangsang oleh kepercayaan dalam asal usul kuasa ghaib (supernatural) pandemik, yang sering dipercayai dibangkitkan oleh salah laku terhadap Tuhan.

Dalam novel Jack London, pada permulaan epidemik Maut Marak (Scarlet Death), orang ramai kelihatan tidak berasa cemas kerana mereka “pasti bahawa ahli bakterialogi akan menemui cara untuk mengatasi kuman baharu ini, sebagaimana mereka mengatasi kuman lain pada masa lalu.” London menjelaskan, kepercayaan orang awam terhadap sains adalah tinggi dalam masyarakat pada abad ke-21. Walau bagaimanapun, orang ramai tidak lama kemudian ditakutkan oleh kepantasan yang sangat memelikkan apabila “kuman baharu” itu memusnahkan populasi manusia dengan meluas. Sememangnya, kuman itu membunuh tubuh manusia yang dimasukinya serta-merta. Orang akan mati dalam tempoh sejam. Sesetengahnya bertahan untuk beberapa jam. Malah, banyak orang mati dalam masa 10 atau 15 minit apabila munculnya “tanda pertama” penyakit itu. Menerusi perincian sebab-akibat penyakit, London menjadikan penularan wabak dalam novel ini lebih realistik, bahkan sangat mengerikan.

Dalam The Scarlet Plague, London menyiasat banyak isu topos kesusasteraan tentang wabak. Hal ini merangkumi cerminan tentang isu moral dan keadilan terhadap kesan penularan dan ciri-ciri klinikal tentang penyakit. Secara khusus, pengarang menumpukan perhatiannya pada respons kelakuan terhadap pandemik, menunjukkan kemunculan rasa takut, sikap hilang pertimbangan diri, dan sikap mementingkan diri dalam masyarakat yang sebelum ini dianggap berbudaya dan moden. Novel ini sangat berbeza daripada karya awal di Barat yang berkait dengan wabak kerana mencerminkan secara mendalam penemuan saintifik sezaman tentang patogen yang dikaji oleh ahli sains, seperti Louis Pasteur (1822–1895) dan Robert Koch (1843–1910). Pada awal abad ke-20, epidemik tidak lagi dianggap sebagai hukuman Tuhan atau peristiwa kuasa ghaib. Pada abad ke-19, ahli bakteria sudah menunjukkan penularan epidemik berlaku disebabkan oleh “kuman” yang menjangkiti manusia, dan ahli epidemiologi dan pakar kesihatan awal mula menampilkan fakta mekanisme penyakit berpindah tubuh, termasuk cadangan langkah pencegahan umum untuk mengehadkan pandemik. Walau bagaimanapun, sebalik kemajuan saintifik ini pada masa Jack London, ketakutan orang awam terhadap dunia serba seni mikroorganisma masih tinggi.

Kisah wabak dalam karya sastera kontemporari Barat turut mendapat perhatian para penulis sebaik-baik sahaja pandemik COVID-19 melanda dunia. Dalam sebuah artikel The New Yorker, Jill Lepore memberikan rangkuman yang luas tentang wabak dalam karya sastera, iaitu sejak zaman purba (seperti yang terkandung dalam Sang Raja Oedipus) sehinggalah Wabak Besar London pada tahun 1665 dalam karya Daniel Defoe, A Journal of the Plague Year. Bagi Lepore, “sastera penularan amat menggerunkan. Wabak berlangsung seperti lobotomi”. Beliau kemudiannya mengulas wabak dalam novel The Last Man (1826) Mary Shelley, cerpen “The Masque of the Red Death” Edgar Allan Poe, novel The Scarlet Plague Jack London, The Plague Albert Camus, dan Blindness (1995) Jose Saramago.

Kadang kala, orang ramai beralih kepada novel untuk memberikan makna pada dunia sekitar mereka, dan ada kalanya untuk melarikan diri daripada realiti itu. Namun begitu, dalam masa yang sukar (seperti sekarang), orang ramai selalunya meminta novel untuk melakukan kedua-duanya serentak: memberikan makna pada dunia mereka, sekali gus melarikan diri daripadanya. Melambungnya jualan buku tentang penyebaran virus korona di serata global mencerminkan, sekurang-kurangnya sebahagian daripada dua keinginan itu dipenuhi. Ketika semua buku baharu dibeli dan dibaca, fiksyen menyaksikan kenaikan jualan yang sangat besar, malah sesetengah genre mendapat jualan laris yang jauh lebih tinggi daripada yang lain. Lebih-lebih lagi genre fiksyen yang berkait rapat dengan detik kini – kisah epidemik, malapetaka dan dunia yang hampir kiamat. Sebuah buku menjadi terkenal dengan sendirinya kerana menghidupkan cahaya pandemik.

“Daripada Iliad Homer dan Decameron Boccaccio kepada The Stand Stephen King dan Severance Ling Ma, cerita tentang pandemik yang berlaku sepanjang sejarah kesusasteraan Barat menawarkan banyak katarsis, cara kita memproses emosi yang kuat, dan komentar politik tentang cara manusia bertindak terhadap krisis kesihatan awam. Sastera mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam membingkaikan respons kita terhadap pandemik COVID-19,” tegas Chelsea Haith dalam makalahnya, “Pandemics from Homer to Stephen King: What We Can Learn from Literary History”.

Haith yang membincangkan beberapa sastera moden dan kontemporari tentang wabak telah merujuk karya abad ke-20, iaitu novel The Plague Albert Camus dan novel seram The Stand Stephen King. Kedua-dua novel ini membawa perhatian pembaca pada implikasi sosial wabak (pandemik), terutamanya isu pengasingan dan kegagalan negara, sama ada dalam usaha membendung penularan penyakit ataupun meredakan panik awam yang bertambah buruk. Awas, realiti dan imaginasi sudah mula bercelaru dan memasuki akal sedar kita sekarang! Kegusaran hati pengarang era dahulu dan semasa sudah mula menjadi kegusaran hati kita tentang kehidupan sekarang dan masa hadapan.

_________________________

Zulkifli Salleh ialah mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menjawat tugas sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, Ketua Editor Buku Sastera dan Ketua Editor Majalah di DBP. Antara hasil karyanya termasuk Idea-idea Besar Ekonomi Politik Dunia (DBP, 2019) dan Krisis Tidak Berhujung (DBP, 2018).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.