Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLokman Hakim dalam proses menterjemahkan karya agung Barat, The Odyssey yang diterjemahkannya sebagai Kembara Agung. Beliau membincangkan perwatakan dan citra watak Telemachus, anak lelaki Ulysses dalam ilusi pembentukan lelaki dalam dunia neoliberal.
Apabila bapa tiada, dunia harus mencipta pengganti …
Bayangkan seorang anak lelaki yang membesar tanpa pernah benar-benar mengetahui bagaimana seorang lelaki itu menjadi lelaki. Bukan sekadar tidak mengenal wajah bapanya, tetapi tidak pernah menyaksikan bagaimana seorang lelaki berfikir, bertindak dan menegakkan autoriti dalam dunia yang menuntutnya menjadi qawwam. Dalam Kembara Agung (The Odyssey), Homer tidak mengolah ketiadaan ini sebagai kehilangan sentimental semata-mata, tetapi sebagai suatu keretakan struktur—suatu kegagalan dalam pewarisan hukum yang sepatutnya membentuk subjek lelaki.
Telemachus sendiri mengungkapkan krisis ini dengan nada yang jujur tetapi rapuh: “Ibuku memang mengatakan bahawa aku ini anaknya, tetapi aku sendiri tidak pasti; tiada seorang pun benar-benar tahu siapa bapanya.” (Kembara Agung, Buku I).
Pengakuan ini tidak harus dibaca sebagai keraguan remaja semata-mata. Pengakuan ini ialah kegagalan genealogi—putusnya kesinambungan simbolik antara bapa dengan anak. Dalam kerangka Lacanian, inilah ketiadaan Name-of-the-Father, prinsip simbolik yang mengatur hukum, batas dan struktur makna dalam kehidupan anak. Tanpa prinsip ini, dunia Telemachus tidak runtuh secara dramatik, tetapi perlahan-lahan menjadi longgar—tidak bertulang, tidak bertiang.
Kelonggaran ini jelas terpancar dalam keadaan rumahnya sendiri. Rumah, yang seharusnya menjadi locus autoriti kebapaan, bertukar menjadi medan penjarahan yang tidak terkawal: “Mereka menghabiskan hartaku tanpa sebarang bayaran dan tiada siapa yang mampu menghalang mereka.” (Kembara Agung, Buku I).
Di sini, Homer bukan sekadar menggambarkan pelanggaran sosial, tetapi kehancuran struktur. Para pelamar bukan sahaja makan dan minum; mereka “menghabiskan” (consume)—suatu kata kerja yang sarat dengan implikasi ekonomi. Dalam kerangka Marxis, hal ini merupakan bentuk pemerahan nilai lebihan: masa, harta dan ruang domestik dieksploitasi tanpa keabsahan. Namun yang lebih penting, hal ini juga merupakan metafora pada dunia tanpa hukum kebapaan—apabila yang gagah membaham mereka yang lemah dan yang punya hak yang sah kehilangan makna.
Telemachus menyedari kerosakan ini. Dia tidak buta. Namun kesedarannya tidak diiringi oleh kemampuan bertindak. Dalam satu percubaannya untuk menegur para pelamar, dia berkata: “Kamu semua harus meninggalkan rumah ini. Pergilah menjamu selera di tempat lain secara bergilir-gilir, tetapi jangan terus membazirkan hartaku begini.” (Kembara Agung, Buku II).

Ucapannya ini sarat dengan moraliti, tetapi nihil dari segi kuasa dan juga karisma. Ungkapannya ilah bahasa seseorang yang belum melalui peralihan ke alam kedewasaan—yang memahami norma, tetapi tidak memiliki keabsahan untuk menegakkannya. Dalam istilah Connell, Telemachus berada dalam keadaan “maskuliniti tergantung”: dia seorang lelaki secara biologi dan warisan, tetapi bukan secara performatif.
Ketiadaan bapa dalam hidupnya tidak sekadar mencipta kekosongan emosi, tetapi menghalang proses internalisasi autoriti. Dalam teori perkembangan psikologi, hal ini mencerminkan insecure attachment—suatu hubungan yang tidak pernah terbentuk, tetapi dirindui. Telemachus tidak merindui bapanya sebagai individu yang dikenalinya, tetapi sebagai konsep yang diceritakan kepadanya. Kerinduannya bersifat abstrak, bahkan metafizik lahiriahnya.
Hal ini menjelaskan kecenderungan melankoliknya. Dia sering termenung, membayangkan kepulangan bapanya, seolah-olah masa hadapan hanya boleh bermula apabila masa lalu kembali. Dalam keadaan ini, dia tidak bertindak, tetapi menunggu—dan penantian itu sendiri menjadi simptom ketiadaan struktur.
Namun, dalam naratif Homer, kekosongan ini tidak dibiarkan tanpa intervensi. Dewi Minerva (Athena) muncul sebagai suatu kehadiran yang ganjil tetapi signifikan—seorang dewi wanita yang mengambil alih fungsi kebapaan. Dalam penyamarannya sebagai Mentes, dia menegur Telemachus dengan tegas: “Engkau bukan lagi kanak-kanak; tinggalkanlah sikap kebudak-budakan dan bertindaklah seperti seorang lelaki.” (Kembara Agung, Buku I).
Ayat tersebut merupakan momen perinjakan ke alam kedewasaan—suatu peralihan simbolik dari dunia kanak-kanak ke dunia lelaki. Dalam struktur tradisional, pendewasaan ini biasanya dilakukan oleh si bapa. Namun dalam kes Telemachus, fungsi ini diambil alih oleh Minerva. Hal ini bukan sekadar deus ex machina, tetapi suatu penggantian struktur: apabila bapa tiada, dunia harus mencipta pengganti.
Lebih daripada sekadar dorongan, Minerva memberikan strategi—suatu bentuk logos kebapaan: “Panggillah orang-orang Ithaca berhimpun, bentangkan halmu di hadapan mereka dan arahkan para pelamar supaya bersurai.” (Kembara Agung, Buku I).
Di sini, kita melihat peralihan penting: daripada keluhan kepada tindakan. Minerva bukan sekadar memberi semangat, tetapi mengajarkan struktur tindakan—bagaimana mengartikulasikan ketidakadilan dalam ruang sosial. Inilah fungsi bapa sebagai pembimbing intelektual dan taktikal.
Namun begitu, penggantian ini tidak sempurna. Minerva tidak menggantikan Ulysses secara ontologi; dia hanya memulakan prosesnya. Struktur patriarki dalam teks masih menunggu kepulangan bapa sebenar sebagai penyempurna hukum. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun fungsi kebapaan boleh diambil alih hanya sementara, keabsahan akhirnya tetap bergantung pada kehadiran asal.
Ketiadaan bapa ialah kekurangan, tetapi juga prasyarat terhadap transformasi …
Di sinilah terletaknya paradoks terbesar Kembara Agung: ketiadaan bapa ialah kekurangan, tetapi juga prasyarat terhadap transformasi. Tanpa Ulysses, Telemachus tidak boleh sekadar mewarisi identiti; dia harus mencarinya. Pencarian ini—yang bermula dengan dorongan Minerva—menjadi proses pembentukan diri.

Dalam konteks ini, perjalanan Telemachus bukan sekadar mencari bapanya, tetapi mencari struktur yang hilang. Setiap pertemuan, setiap naratif tentang Ulysses yang didengarnya, ialah usaha untuk membina semula figura bapa dalam imaginasinya—dan melalui itu, membina dirinya sendiri.
Namun begitu, relevansi naratif ini tidak terhenti pada dunia epik Yunani. Dalam masyarakat neoliberal hari ini, kita menyaksikan fenomena yang serupa—bukan dalam bentuk ketiadaan fizikal semata-mata, tetapi ketiadaan fungsional (dalam keluarga disfungsi atau dysfunctional family). Bapa hadir, tetapi tidak berfungsi sebagai struktur. Masa bersama-sama anak ditukar menjadi produktiviti ekonomi; hubungan digantikan dengan penyediaan material.
Seperti yang dihujahkan dalam tradisi Marxis, masa kerja menjadi komoditi yang diekstrak untuk nilai lebihan. Dalam proses ini, masa untuk pembinaan keluarga—yang tidak menghasilkan keuntungan langsung—dianggap tidak produktif. Maka, ibu bapa meninggalkan anak-anak di bawah jagaan sistem: pengasuh, sekolah, media, dan sebagainya. Struktur keluarga tidak runtuh secara dramatik, tetapi perlahan-lahan menjadi longgar—seperti rumah Telemachus.
Dan seperti Telemachus, anak-anak ini membesar dalam dunia yang mereka sedari tidak stabil, tetapi tidak tahu cara untuk menstabilkannya. Mereka tahu ada sesuatu yang hilang, tetapi tidak tahu apa—atau bagaimana untuk mengembalikannya.
Dalam konteks ini, Dewi Minerva menjadi metafora yang kuat. Dia melambangkan intervensi luar—guru, mentor, sistem pendidikan, bahkan teknologi—yang cuba mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh si bapa. Namun, seperti dalam Kembara Agung, penggantian ini tidak pernah sepenuhnya mencukupi. Ia hanya menyediakan struktur sementara, bukan keabsahan akhir.
Maka, persoalan yang harus kita hadapi bukan sekadar bagaimana menggantikan fungsi bapa, tetapi bagaimana memahami ketiadaannya sebagai fenomena struktural. Dalam dunia yang masa ialah wang dan hubungan ialah kos peluang, ketiadaan ini bukan lagi pengecualian, tetapi norma.
Namun begitu, seperti yang ditunjukkan oleh Homer, norma ini bukanlah berlangsung tanpa akibat. Ketiadaan bapa menghasilkan subjek yang sarat keraguan, autoriti yang lemah dan struktur sosial yang mudah diganggu. Para “pelamar” dalam dunia moden mungkin tidak duduk makan di ruang tamu, tetapi mereka hadir dalam bentuk lain—tekanan ekonomi, budaya konsumsi dan sistem yang menelan masa kualiti manusia, sedikit demi sedikit.
Telemachus, dalam hal ini, menjadi figura universal—bukan sekadar watak epik, tetapi cerminan generasi yang membesar dalam dunia tanpa struktur yang jelas. Dan seperti Telemachus, mereka terpaksa membina diri daripada kekurangan—dengan bantuan yang sering kali datang dari luar, bukan dari dalam keluarga.
Akhirnya, Kembara Agung bukan sekadar kisah kepulangan seorang pahlawan, tetapi kisah tentang seorang anak yang terpaksa menjadi lelaki tanpa pernah benar-benar diajar oleh seorang lelaki. Kisah ini merupakan sebuah naratif tentang bagaimana identiti dibina bukan melalui warisan semata-mata, tetapi melalui kekurangan—melalui pencarian, keraguan dan intervensi yang tidak konvensional.
Dan, dalam dunia kita hari ini, persoalannya menjadi lebih mendesak: jika semakin ramai Telemachus dilahirkan tanpa Ulysses, siapakah Minerva yang akan membimbing mereka—dan adakah bimbingan itu mencukupi?
Nota: Filem The Odyssey (2026), arahan Christopher Nolan yang mengadaptasi karya agung Yunani yang dibicarakan ini, watak Telemachus dilakonkan oleh Tom Holland.
_________________________
Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.