Oleh Zulkifli Salleh
4 Mei 2021, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena musim COVID-19 masih melanda Malaysia dan dunia, Zulkifli Salleh membaca kembali novel penting Albert Camus, The Plague, dan mencungkil pengajaran daripadanya.

Sejak akhir bulan Januari 2020, The Plague menjadi sensasi global. Dalam beberapa minggu kebelakangan, jualan edisi terjemahan bahasa Inggeris di United Kingdom meningkat lebih 1000 peratus. Di Jepun, naskhah ini terjual dengan hebat sekali berbanding jumlah jualannya selama 31 tahun sebelumnya …

Dalam perkongsian media sosial, warganet mendakwa bahawa Dean Koontz telah lebih awal meramalkan wabak virus korona akan merebak di serata dunia, iaitu pada tahun 2019 hingga 2020. Ramalan ini dikatakan tertulis dalam novelnya terbitan tahun 1981, Eyes of Darkness. Namun begitu, dakwaan itu dikatakan sebahagiannya palsu. Pada hakikatnya, Koontz sendiri menyangkal kerelevanan novel itu dengan wabak COVID-19 (memanggil virus senjata biologi dalam novelnya sebagai “Wuhan-400”, namun ciri-ciri virus fiksyen ini tidak sama dengan COVID-19). Sebaliknya, Koontz lebih minat merujuk novel Albert Camus, La Peste, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai The Plague, yang dianggap berpengaruh dan mencapai tahap klasik. Melalui The Plague, Camus, penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, dikenali oleh berjuta-juta orang pembaca.

Sejak akhir bulan Januari 2020, The Plague menjadi sensasi global. Dalam beberapa minggu kebelakangan, jualan edisi terjemahan bahasa Inggeris di United Kingdom meningkat lebih 1000 peratus. Di Jepun, naskhah ini terjual dengan hebat sekali berbanding jumlah jualannya selama 31 tahun sebelumnya, dan sekurang-kurangnya sebuah kedai buku terpaksa mencatukan sebuah naskhah untuk satu orang. Ya, di seluruh dunia orang ramai membeli panik The Plague! Penerbit yang mampu melihat keuntungan dalam situasi tergesa-gesa membuat ulang cetak.

Kota Oran, Algeria, negara kelahiran Albert Camus pernah beberapa kali dilanda oleh wabak. Pandemik wabak ketiga kota itu berasal usul dari Yunan, yang kemudian merebak ke Hong Kong dan Canton, dan seterusnya ke seluruh kota dan kota pelabuhan di seluruh dunia. Mark Honigsbau dalam The Pandemic Century: A History of Global Contagion from the Spanish Flu to COVID-19 menyatakan, “Disyaki punca wabak ini merebak daripada Atlanticos, kapal wap batu arang yang tiba di Kota Crescent pada akhir Oktober 1924, selepas belayar dari Oran, Algeria, kota pelabuhan wabak yang terkenal dan diabadikan dalam novel tahun 1947 Camus.”

Dalam The Plague, Camus memulakan naratifnya tentang wabak yang melanda kota Oran. Bagi mengisahkan penularan wabak, Camus memulakan novelnya dengan memerihalkan latar kota itu dan kehidupan sosial penduduknya. Digambarkan sebuah kota yang boleh dikatakan mengalami kemerosotan alam sekitar: keindahan latar dan tumbuh-tumbuhannya mula menghilang. Camus memerihalkan, “Harus diakui bahawa kotanya sendiri tidaklah elok, tetapi kelihatan tenang. Oleh sebab itu, waktu yang cukup lama diperlukan untuk menyedari apa yang membezakannya daripada begitu banyak kota perniagaan di mana-mana pun.”

Pemilihan Oran sebagai “kota wabak” membuatkan Camus cuba menunjukkan yang kota merupakan tapak subur untuk wabak lahir dan membiak. Di kotalah wabak selalu berlaku, seperti Wabak Athens, Maut Hitam (The Black Death) di serata kota Eropah, Eurasia dan Afrika Utara, Wabak Besar London, Marseille, dan terkini, kota Wuhan. Sememangnya, Camus mempunyai pengetahuan tentang wabak yang pernah berlaku di kota-kota, yang dapat diperhatikan melalui pemeriannya:

Bayangan luar biasa yang tidak cocok dengan kota kuning kelabu yang agak ramai pada jam itu, lebih mendengung daripada gaduh. Pendeknya, kota yang bahagia, sekiranya bahagia bisa disertai kemuraman. Ketenangan yang damai dan tidak peduli itu hampir tanpa susah payah mengingkari gambaran dan bayangan lama yang diceritakan tentang bencana tersebut. Misalnya, kota Athens yang terkena epidemik wabak ditinggalkan burung-burung, kota-kota di negara China penuh orang sekarat yang membisu, para narapidana di Marseille menimbun mayat-mayat basah kuyup ke dalam lubang-lubang, pembangunan dinding tinggi di Provence guna menghentikan angin wabak yang dahsyat, Jaffa dengan pengemis-pengemisnya yang menjijikkan; katil-katil lembap busuk yang melekat di tanah Konstantaniah (kini, Istanbul), orang sakit yang dipegang dengan jepitan, barisan doktor yang mengenakan pelitup muka ketika Maut Hitam, persetubuhan orang yang masih hidup di kuburan Milan, gerobak-gerobak orang mati di kota London yang ketakutan. Di mana-mana di semua tempat itu, tanpa henti malam dan siang selalu padat dengan teriakan manusia yang tidak berkeputusan.

(Sampar/The Plague, diterjemah oleh NH Dini, 1985)

Bagi Camus, “tiada tikus, tiada wabak”. Beberapa wabak yang berlaku sepanjang zaman, dipercayai berpunca daripada tikus atau pinjal, seperti Wabak Justinian, Maut Hitam dan pandemik wabak ketiga. Tikus, seperti yang dicatatkan oleh William H. McNeill dalam Plagues and Peoples, ialah haiwan perosak yang licik. Meskipun kapal sudah diarahkan berlabuh di tengah laut untuk mencegah wabak merebak, haiwan ini masih dapat mendarat. Tikus (dan pinjal) kadangkala boleh datang ke pantai, walaupun manusia dicegah berbuat demikian. Frank M. Snowden dalam Epidemics and Society: From the Black Death to the Present menjelaskan, apabila tikus membawa pinjal yang dijangkiti di dalam bulunya, ia akan jatuh sakit dan mati, maka pinjal akan melompat pula ke badan hangat haiwan yang lain, sama ada roden ataupun manusia. Beliau seterusnya merujuk novel Camus, yang “tidak memeranjatkan, petunjuk pertama wabak yang kerap membawa kematian secara dramatik berlaku di atas jalan.”

Camus membayangkan musibah yang akan melanda kota Oran dengan kematian tikus-tikus yang luar biasa. Bermula pada 16 April, ketika Dr. Bernard Rieux keluar dari tempat kerjanya, kakinya terpijak seekor tikus mati di ruang tunggu depan pintu. Pada waktu itu, tanpa perhatian, dia singkirkan binatang tersebut lalu menuruni tangga. Akan tetapi, ketika sampai di kaki lima, dia berfikir bahawa tidak mungkin seekor tikus berlegar di situ. Dia berpatah balik untuk memberitahu penjaga gedung, M. Michel. Malam itu juga, sebelum naik ke tempat tinggalnya, sewaktu Rieux berdiri di lorong gedung, dia melihat seekor tikus besar, bulunya basah, muncul dari hujung yang gelap dan berjalan sempoyongan. Binatang itu berhenti seolah-olah mencari keseimbangan, lalu berlari ke arahnya, berhenti lagi, kemudian berputar-putar sambil mengeluarkan suara seperti menjerit. Akhirnya binatang itu tergeletak, darah tersembur dari muncungnya yang setengah terbuka. Kematian tikus secara aneh itu terus menimbulkan kecurigaan Dr. Rieux.

Bagi menunjukkan wabak sedang melanda kota Oran, Camus menunjukkan jumlah tikus mati yang dikumpulkan semakin bertambah, hasil pengumpulan setiap pagi yang semakin banyak. Sejak hari keempat, tikus-tikus mulai keluar untuk mati secara gerombolan. Dari tingkat bawah tanah dan ruang sempit. Dari bilik bawah dan longkang. Tikus-tikus itu naik berurutan memanjang, berjalan terhuyung-huyung dan sempoyongan di tempat terang, kemudian tubuh mereka terbalik dan mati di hadapan manusia. Waktu malam, di koridor-koridor atau di tepi jalan, kedengaran jelas teriakan keriut tikus-tikus itu.

Tatkala jumlah tikus mati semakin meningkat, orang mula dijangkiti penyakit dan ada yang melibatkan kematian. Apabila pesakit dan kematian meningkat berlipat ganda, maka dipercayai bahawa epidemik sedang melanda. Demikianlah keyakinan Dr. Rieux. Daripada perbincangannya dengan Dr. Castel yang pernah berkhidmat lama di China dan meneliti beberapa kes di Paris, Rieux berpendapat, sememangnya yang sedang melanda Oran ialah penyakit wabak, meskipun penyakit itu sudah hilang di dunia Barat (malah Castel sendiri tidak bersetuju). Namun begitu, setelah Castel pula menelaah buku lamanya dan menghabiskan masa berjam-jam di perpustakaan, Castel membuat kesimpulan dan memberitahu Rieux: “Tikus-tikus mati kerana wabak atau kerana sesuatu yang mirip sekali dengan wabak. Tikus menyebarkan puluhan ribu kutu yang akan meneruskan jangkitan secara eksponen kalau tidak dicegah tepat waktunya.”

Camus tidak mengambil masa yang lama untuk memberitahu bahawa wabak sedang melanda kota Oran. Perkataan ‘wabak’ baru diucapkan untuk pertama kalinya dalam novel ini. Beliau memerihalkan, walaupun bencana ialah sesuatu yang lumrah, manusia selalu tidak bersedia untuk menghadapinya: “Dalam sejarah dunia telah terjadi epidemik wabak yang sama banyaknya dengan jumlah perang. Padahal wabak dan perang selalu menyergap manusia tanpa persiapan. Rieux juga tidak bersiap-siap, seperti halnya penduduk kota kami. Sebab itu, harus dimengerti kebimbangannya. Begitu pula harus dimengerti betapa dirinya terbelah antara kekhuatiran dan kepercayaan.”

Prefect atau Gabenor Wilayah akhirnya mengumumkan “situasi darurat sampar. Tutup kota!” Penutupan kota boleh dikatakan sama seperti pelaksanaan kawalan keluar masuk (lockdown) di banyak negara atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita. Pihak berkuasa melaksanakan langkah penutupan kota yang ketat, iaitu tidak membenarkan penduduk kota itu keluar masuk sesuka hati. “Setelah beberapa hari mempertimbangkan kemungkinan mereka yang telah pergi sebelum epidemik, pihak berkuasa memberi izin. Namun begitu, Prefecture juga menekankan bahawa mereka yang kembali itu sama sekali tidak akan bisa keluar lagi dari Oran. Mereka bebas datang, namun mereka tidak bebas pergi lagi.” Pihak berkuasa juga mengawal kota dengan ketat dan tidak memungkinkan penduduknya melarikan diri.

Sikap orang ramai yang tidak memandang berat akan bencana yang sedang dan akan menimpa mereka, dicatatkan oleh Camus, “Mulai saat ini, dapat dikatakan wabak menjadi masalah yang melibatkan kami semua. Hingga waktu itu, meskipun timbul kejutan dan kekhuatiran kerana kejadian aneh tersebut, masing-masing penduduk kota masih melanjutkan sebisanya kegiatan di tempat biasanya. Dan pastilah hal itu akan berlangsung demikian.” Bahkan, pertunjukan opera tetap diadakan seminggu sekali. Panggung wayang pula tetap terus mengadakan tayangan.

Penduduk kota Oran meneruskan kehidupan harian mereka seperti lazim, dengan memenuhi jalan-jalan atau duduk-duduk di teres kafe. Pada umumnya, mereka bukan pengecut, lebih saling berseloroh daripada mengeluh, dan kelihatan senang hati menerima ketidaknyamanan yang tentunya tidak akan berlangsung lama. Jadi, kehidupan lahiriah dapat diselamatkan.

Banyak kajian yang menunjukkan bahawa pelaksanaan kawalan keluar masuk ketika penularan COVID-19, sehingga orang terpaksa “duduk rumah” dan hanya dibenarkan keluar rumah untuk urusan penting, seperti membeli barang keperluan harian dan tujuan perubatan, menyebabkan orang ramai yang terlibat hidup dalam kesepian. Kehidupan yang sedemikian rupa akibat serangan pandemik COVID-19, telah pun dialami oleh penduduk Oran yang dilanda oleh wabak bubonik. Hidup dalam keterasingan itu jelas diperihalkan oleh Camus seperti petikan yang berikut:

Memang, salah satu akibat yang paling menonjol daripada penutupan pintu kota adalah perpisahan secara tiba-tiba yang dialami orang tanpa persiapan untuk itu. Misalnya, ibu-ibu dan anak-anak, suami-suami, kekasih-kekasih yang beberapa hari sebelumnya mengira akan berpisah untuk sementara. Mereka berdakapan di platform stesen kota kami sambil hanya mengucapkan dua atau tiga nasihat, kerana yakin akan bertemu kembali beberapa hari atau beberapa pekan kemudian. Mereka terbawa oleh kepercayaan manusia yang bodoh, hampir tidak bisa memalingkan perhatian daripada kesusahan mereka yang rutin untuk sedikit memusatkan fikiran pada keberangkatan itu. Kini dengan penutupan pintu kota, mendadak mereka terpisah, tidak bisa saling berjumpa atau saling berhubungan, mereka tidak berdaya berbuat sesuatu pun.

(Sampar/The Plague, diterjemah oleh NH Dini, 1985)

Bagi kebanyakan penduduk kota Oran, perpisahan itu hanya akan berakhir bersama-sama epidemik. Untuk meredakan penderitaan akibat perpisahan dan penderitaan kerana membayangkan mereka yang tidak dapat bersama-sama anak-anak, isteri atau kekasih, mereka menumpukan kegiatan dalam kehidupan yang lebih aktif di luar rumah mereka. Namun begitu, wabak menyebabkan hidup pasif, sekadar berpusing-pusing di dalam sebuah kota yang murung.

Terkurung di kota yang terpisah dari dunia luar menyebabkan amalan hidup kejiranan seakan-akan tidak wujud lagi. Masing-masing hidup sendiri-sendiri dengan dirasuk oleh kebimbangan dan ketakutan. Seperti yang diberitahu oleh Camus, “lebih-lebih di puncak kesendirian itu, tidak seorang pun bisa mengharapkan bantuan tetangga, lalu masing-masing memikul kesusahan sendiri. Secara baik atau bermusuhan, jawapan selalu tidak memuaskan ini; jadi lebih baik menghentikan usaha berhubungan untuk meringankan beban di hati.”

Apabila berlaku wabak, termasuk pandemik COVID-19, kaedah konvensional biasanya digunakan, iaitu kuarantin. Bagi orang yang pernah dikenakan kuarantin, seperti yang berlaku di Oran, terpahat kisah duka dan derita mereka, “yang semuanya tampak curiga.” Hal ini demikian kerana, mereka dipisahkan daripada penduduk lain yang pasti ada sebabnya. “Dan muka mereka adalah muka orang yang mencari sebab-sebab itu, muka orang yang kecemasan. Semua orang memiliki pandangan mata hampa. Mereka tampak menderita kerana sama sekali dipisahkan daripada apa yang membuat mereka hidup sebelumnya. Dan kerana mereka tidak bisa selalu berfikir kepada kematian, mereka tidak memikirkan sesuatu pun.”

Mereka mengalami perasaan patah hati kerana kuarantin dan disebabkan seakan-akan diabaikan oleh sanak saudara mereka. Orang yang dikenakan kuarantin seakan-akan hilang akal kerana kesedihan dan kemalangan, malah berkelakuan aneh. Oleh itu, “sepulang daripada kuarantin lalu membakar rumah mereka dengan maksud memusnahkan kuman-kuman wabak. Sukar sekali untuk memberantas perbuatan itu yang membahayakan seluruh daerah kerana angin keras, maka kebakaran mudah merebak.”

Marshall Cohen yang menulis “‘Broken Heart Syndrome’ Has Increased During the COVID-19 Pandemic, Small Study Suggests” merujuk kajian yang baru sahaja diterbitkan. Kajian yang melibatkan dua buah hospital di Ohio mendapati peningkatan signifikan dalam “sindrom patah hati” dalam kalangan sesetengah pesakit. Kajian itu memerhatikan 1914 orang pesakit dari tempoh dua bulan yang berbeza, termasuk sampel lebih 250 orang pesakit yang dimasukkan ke hospital pada bulan Mac dan April, iaitu ketika puncak awal pandemik. Kajian itu merumuskan bahawa peningkatan berkemungkinan berkait dengan “psikologi, sosial, dan stres ekonomi” yang disebabkan oleh pandemik, yang termasuk “kuarantin yang dikenakan, kurang interaksi sosial, peraturan penjarakan fizikal yang ketat, dan kesan ekonomi terhadap kehidupan orang ramai”.

Albert Camus mengingatkan, wabak tidak mudah lenyap dari muka bumi ini, dan pastinya, sentiasa bersiap sedia untuk menyarang manusia yang sering lalai:

Once more it was devising ways of foiling the strategies adopted against it, appearing where it was least expected and disappering just where it seemed already well settled. Once more, it was making effort to astound.

(The Plague, 2002:219)

Pada suatu subuh cerah bulan Februari, akhirnya pintu-pintu kota Oran dibuka semula, disambut meriah oleh penduduk yang beberapa bulan sebelum itu masih ragu-ragu bahawa wabak telah pun berakhir. Namun begitu, di sebalik segala kemeriahan di kota itu, Rieux teringat bahawa kegembiraan itu masih tetap terancam, kerana dia sedar, meskipun khalayak yang bersuka ria itu tidak menyedari, kita akan belajar daripada buku-buku bahawa basil (kuman) wabak tidak pernah mati atau menghilang buat selama-lamanya. Bahawa basil dapat menetap berpuluh-puluh tahun tertidur di perabot rumah dan pakaian. Basil menunggu dengan sabar di dalam bilik tidur, di dalam bilik bawah tanah, di dalam peti-peti, di sapu tangan, atau segala alat tulis serta kertasnya. Dan barangkali, pada suatu hari, sebagai pelajaran bagi manusia, wabak akan membangunkan tikus-tikus kembali, kemudian menyuruh tikus mati di tempat-tempat terbuka di sebuah kota yang bahagia.

 

RUJUKAN

Camus, Albert, 1985. Sampar. Diterjemah oleh NH Dini. Jakarta: Yayasan Pustaka Obor. (Teks asal dalam bahasa Perancis).

Camus, Albert, 2002. The Plague. Diterjemah oleh Buss, Robin. London: Penguin. (Teks asal dalam bahasa Perancis).

_________________________

Zulkifli Salleh ialah mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menjawat tugas sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, Ketua Editor Buku Sastera dan Ketua Editor Majalah di DBP. Antara hasil karyanya termasuk Idea-idea Besar Ekonomi Politik Dunia (DBP, 2019) dan Krisis Tidak Berhujung (DBP, 2018).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi