29 Jun 2021, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Pandemik menyaksikan industri pelancongan sebagai sektor yang begitu terkesan dan menerima implikasi yang sangat mendukacitakan. Hotel-hotel di tutup, tempat-tempat tarikan budaya dan khazanah bangsa juga tidak dapat beroperasi akibat wabah yang menimpa sekarang. Justeru, kumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mawar Safei menjalankan penyelidikan “Pembentukan Model Pelancongan Kesusasteraan di Malaysia”. Penyelidikan ini memerhati cara sastera dapat memainkan peranan penting dalam mempromosikan industri pelancongan di Malaysia, khususnya pada era COVID-19.

Penyelidikan ini dibicarakan dalam webinar Bicara Tokoh Sastera Pelancongan dan Musim Wabah anjuran Kumpulan Penyelidik GGP-2020-022 dengan kerjasama Pusat Kajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA Melayu), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, pada 27 Jun yang lalu.

Menelusuri sejarah pelancongan di seluruh dunia, panel pertama Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Siti Zainon Ismail mengupas catatan beliau tentang asal usul istilah pelancongan yang dahulunya dikenali sebagai merantau, berkunjung dan ziarah. Aktiviti ini telah pun berlaku sejak zaman kerajaan Melayu terdahulu. Misalnya, Hang Tuah merantau ke Turki, Makkah, Kalingga (India), China dan kepulauan Melayu. Hal ini juga dapat dibuktikan melalui hubungan antarabangsa Kerajaan Melayu Melaka dalam Sulalatus Salatin dengan negara-negara luar.

Justeru, melalui aktiviti perdagangan dan pengembaraan, duta-duta terdahulu menyimpulkan bahawa hubungan pelancongan antara satu negara dengan negara lainnya, seperti China, India dan kepulauan Nusantara telah wujud sejak abad ke-13 dengan menggunakan kapal dagang, bahtera, kapal perang, dan pengangkutan laut yang lain. Secara tidak langsung, pengembaraan dilihat daripada faktor alam dan bumi yang mampu memperkenalkan dan mengangkat lokaliti ke mercu dunia.

Misalnya, pada abad ke-19, kitab ataupun naskhah manuskrip di Tanah Melayu telah dibawa masuk ke Rusia. Lagu Negaraku pada ketika itu dimainkan di Rusia yang bertujuan untuk menarik minat orang Rusia untuk datang ke Tanah Melayu. Di Belanda sekitar tahun 1985, aktiviti baca puisi Indonesia telah diadakan menjelang malam kemerdekaan negara tersebut. Hal ini merupakan usaha yang dilakukan oleh para penuntut di Belanda untuk mempromosikan budaya tanah air mereka di negara luar.

Di Malaysia, beberapa tokoh sastera dan seniman negara turut giat menjalankan aktiviti mempromosi negara. Allahyarham Syed Ahmad Jamal (Tokoh Seni Negara) misalnya, menghidupkan tenunan songket menjadi lukisan-lukisan sehingga mendapat pasaran yang amat baik di luar negara. Simbolisme warisan ini secara tidak langsung mendedahkan keindahan budaya dan khazanah negara ke serata dunia.

Kata Siti Zainon, “Penulis hanya ada pena dan perasaan untuk membantu.” Lantaran itu, sasterawan-sasterawan misalnya sering melengkapkan karya-karya mereka dengan pelbagai usaha untuk membuka mata para pelancong terhadap keindahan setempat. Gunung Ledang misalnya, dipilih oleh Kementerian Pelancongan sekitar tahun 1978 untuk menjalinkan penglibatan golongan artis untuk mempromosikan keindahan lokasinya dengan datang melukis di situ.

Langkah-langkah ini juga dapat diikuti meskipun pada era wabah COVID-19. Kebimbangan, ketakutan dan keresahan dapat diungkapkan melalui karya seni, seperti puisi, lukisan, poster dan poskad, yang bukan sahaja dapat dijadikan sebagai pameran, bahkan dapat menjadi tabung sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Kesempatan ini perlu dimanfaatkan demi menjamin kelestarian negara sebagai pusat tumpuan pelancong meskipun secara dalam talian.

Panel kedua Uzaidi Udanis, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia pula berpendapat, sastera pelancongan sangat memainkan peranan penting menjana ekonomi pelancongan negara. Tambahan pula pada era wabah ini, sastera penulisan ialah salah satu medium penyebaran yang mampu melonjakkan keyakinan pelawat terhadap negara Malaysia.

Beliau tidak menafikan, impak musim wabah terhadap industri pelancongan menyumbang kepada kerugian yang amat besar. Sebanyak 36 juta rakyat Malaysia yang berkecimpung dalam bidang pelancongan turut mengalami kesan yang amat mendalam. Namun begitu, dengan penulisan latar dan tempat tumpuan tempatan serta penyebarannya dapat membina keinginan untuk melancong. Penghasilan novel Ombak Rindu misalnya, telah berjaya menarik minat pelancong domestik ke Langkawi. Novel Sandokan: The Pirates of Malaysia (1896) karya Emilio Salgari pula telah menyumbang kemasukan pelancong Itali ke Malaysia. Inilah peranan sastera pelancongan yang tidak dapat dinafikan untuk menjana pendapatan industri pelancongan. Impak sastera pelancongan begitu signifikan kerana pelawat dapat mengenali lokaliti tempat melalui pembacaan.

Tambahan pula pada musim wabah, Perintah Sekatan Pergerakan memberikan peluang masa yang banyak untuk rakyat membaca. Hal ini kerana tatkala sempadan dunia ditutup, permintaan terhadap sastera semakin bertambah. Warga dunia dahagakan buku-buku yang seakan-akan memberikan peluang untuk melarikan diri daripada keadaan realiti.

Bagi Uzaidi, terdapat banyak destinasi menarik di Malaysia yang perlu terus-menerus “diceritakan” oleh golongan penulis. Lembah Lenggong yang berada di Hulu Perak misalnya, yang merupakan lokasi aktiviti manusia tertua di Semenanjung Malaysia perlu didokumentasikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.