Oleh Adib MN
27 Jun 2021, 19:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melbourne – Bagaimana Australia memanjangkan kitaran hayat buku di negara itu, yang selama ini mungkin melalui carta alir daripada penerbit, kedai buku dan pembaca, dan kemudian hilang ditelan masa, yang ada kalanya sekitar dua tiga minggu hingga mungkin lima tahun?

Bagi karya sastera yang bernasib baik, mungkin dipancing oleh industri filem tempatan mahupun antarabangsa, tetapi lebih banyak karya Australia mengalami nasib seperti sebahagian besar buku yang memenangi pengiktirafan sastera tertinggi dan berprestij di negara itu, Anugerah Miles Franklin.

Mengikut rekod, daripada 62 karya yang berjaya mengungguli anugerah itu yang berlangsung antara tahun 1957 hingga tahun 2019, sebanyak 23 karya daripadanya belum dipindahkan ke dalam bentuk digital atau e-buku. Malah, 10 daripada karya terbaik sepanjang penganugerahan itu sudah tidak diterbitkan lagi.

Justeru, pengarang, penyelidik dan perpustakaan di Australia melancarkan projek Untapped: The Australian Literary Heritage Project (Untapped) untuk memastikan karya penting di negara itu tidak hilang di tengah-tengah realiti industri buku konvensional yang kini menghadapi cabaran gelombang digital tanpa menggadaikan hak cipta pengarang.

Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Melbourne, Profesor Madya Rebecca Giblin yang mengetuai projek Untapped menegaskan, usaha itu dilakukan kerana kebanyakan warisan sastera Australia sudah tidak dicetak lagi.

“Sekiranya banyak karya pemenang Miles Franklin sudah tidak diterbitkan lagi, bayangkan pula bagaimana kebolehcapaian buku seperti memoir, sejarah serta karya sastera tempatan,” katanya, seperti yang dipetik dalam The Guardian.

Buat permulaan, projek Untapped menyasarkan usaha mendigitalkan 200 karya paling penting Australia, termasuk I’m Not Racist, But … (2007) karya Anita Heiss dan The Unlucky Australians (1968) tulisan Frank Hardy. Malah, turut disenaraikan ialah karya seawal tahun 1926 lagi, iaitu Working Bullocks karya Katherine Susannah Pritchard.

Giblin berkata, buku-buku itu merangkumi karya daripada sastera kanak-kanak sehingga buku sejarah dan juga fiksyen sastera.

“Setiap satu menelan belanja $700 (RM2200) termasuk pembacaan pruf untuk memastikan standard perpustakaan dicapai,” katanya.

Mengikut laman web Untapped, buku terpilih yang diterbitkan dalam bentuk digital itu, akan dilesenkan oleh perpustakaan awam di seluruh Australia, manakala perpustakaan yang menjadi rakan projek berkenaan akan mempromosikannya. E-buku berkenaan turut dijual kepada pembaca.

Proses itu bermula dengan usaha mengesan naskhah penting dengan kerjasama pakar koleksi perpustakaan, Persatuan Pengarang Australia, ejen sastera dan orang perseorangan.

Selepas karya itu dikesan dan dipilih, proses selanjutnya membabitkan perbincangan dengan pengarang untuk mengetahui status hak cipta atau mendapatkan izin terbit dalam bentuk digital.

Kitaran buku terbabit tidak terhenti begitu sahaja, sebaliknya berdasarkan laman web Untapped juga, kitaran turut melibatkan analisis jualan dan pinjaman tajuk berkenaan untuk memahami kedudukan karya dalam persuratan negara, dan menilai sejauh mana promosi dilakukan serta hubungan antara jualan dengan pinjaman buku.

Projek itu juga terbuka kepada sumbangan dana awam yang diberikan potongan cukai kepada penyumbang. Menariknya, orang awam boleh memilih sesuatu judul untuk ditaja untuk keseluruhan proses, iaitu merangkumi imbasan, pembacaan pruf, letak huruf dan reka bentuk kulit depan sebagai hadiah atau dedikasi kepada seseorang.

Mungkin Malaysia boleh mempelajari bagaimana usaha mendigitalkan karya sastera penting itu dibuat, apatah lagi isu hak cipta yang berlaku di Australia rupa-rupanya lebih teruk.

Hal ini kerana, kontrak penerbitan di Australia biasanya mengambil tempoh sepanjang hayat pengarang, tidak termasuk dengan tambahan 70 tahun meskipun penerbit tidak semestinya mengulang cetak dalam jangka masa itu.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, kebanyakan karya sastera diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri, manakala sebahagian kecil pula oleh penerbit yang tidak lagi wujud.

Apa yang penting ialah, kesungguhan kita untuk memelihara khazanah kesusasteraan dan persuratan tanah air, yang bukan sahaja perlu dibuat secara terancang, bahkan memanfaatkan teknologi terkini tanpa meminggirkan soal hak cipta pengarang, seperti yang diusahakan dalam projek Untapped.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.