Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tokoh ini tidak terbilang dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Tidak seperti Hamzah Fansuri yang mendapat jolokan Penyair Agung dan Tokoh Sufi Alam Melayu. Malah, ramai yang tidak mengetahui peranannya sebagai penulis, pengarang, penggubah dan penyalin cerita lisan atau karya Melayu di Perak. Kehebatan tokoh ini dibicarakan dalam Diskusi Buku Dunia, “Ibarat Nyiur Gading: Raja Haji Yahya dalam Sejarah Kesusasteraan Melayu Abad ke-20” pada 14 Jun 2021 di Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Panel jemputannya, YBhg. Dr. Hasrina Baharum, Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menyifatkan Raja Haji Yahya ialah seorang tokoh kesusasteraan yang hebat. Maka, tidak hairanlah istilah “nyiur gading” dijadikan perumpamaan yang mengangkat judul buku karangan Profesor Dr. Jelani Harun, pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) ini.
Pada perkiraan Dr. Hasrina, nyiur gading ialah sebuah perlambangan yang menyiratkan rahsia latar belakang dan salasilah Raja Haji Yahya yang berasal daripada kerabat diraja Perak dan keturunan Syed Hadramaut. Seperti yang diketahui umum, nyiur gading ialah pohon hiasan yang ditanam di laman istana. Ia melambangkan pohon kelapa yang baik dan berguna untuk masyarakat dan lingkungan bangsanya. Maka, bertepatanlah pemilihan istilah itu sebagai simbolik pada kehebatan tokoh yang dikaji tersebut.
Manakala panel kedua, YBhg. Dr. Noridah Kamari, seorang penerbit dan pemilik bersama syarikat penerbitan Unggun Kreatif, Singapura, berpandangan bahawa Raja Haji Yahya ialah ikon penulis masa silam yang sangat berjasa sewaktu peralihan penulisan sastera tradisional kepada sastera moden. Raja Haji Yahya diumpamakan seperti sepohon pokok kelapa “nyiur gading” dari istana yang turun ke gelanggang masyarakat umum dan menyumbang kepada kesusasteraan Melayu pada awal abad ke-20 (1900-an).
Menurut Dr. Noridah, biodata Raja Haji Yahya sangat menarik untuk dikaji dengan lebih mendalam kerana peranannya merakam dan menyusun kembali karya-karya lisan yang disalinnya daripada Pawang Ana, iaitu tokoh penglipur lara Perak, amat terserlah. Salinan cerita-cerita lisan seperti syair, gurindam, cerita kanak-kanak dan juga rakaman penulisan salasilah dan nasab kesultanan dan bangsawan negeri Perak amat berfungsi sebagai sebuah kesinambungan rantaian penceritaan yang menghubungkan cerita-cerita orang lama dengan generasi hari ini.
Lebih menarik perhatian, kisah hidup Raja Haji Yahya amat misteri kerana kehidupan akhirnya tidak diketahui dengan jelas. Hal ini kerana, pusaranya tidak dijumpai. Oleh itu, tidak diketahui bagaimana beliau meninggal dunia. Foto peribadinya sukar ditemui kecuali pada buku yang diterbitkan oleh Sir Richard Olof Winstedt (R.O. Winstedt). Raja Haji Yahya, meskipun daripada lingkungan “orang-orang istana”, peranannya sebagai penghulu amat besar. Di sinilah beliau berperanan sebagai penutur cerita-cerita lisan dan mempunyai hubungan rapat dengan rakyat dan juga berperanan sebagai perantara antara rakyat dengan raja.
Melalui kajian yang dijalankan oleh Prof. Jelani dalam buku setebal 145 halaman itu, R.O. Winstedt banyak menulis kenangan beliau bersama-sama Raja Haji Yahya serta pengalamannya bekerjasama dengan Raja Haji Yahya dalam penulisan kajian sastera Melayu lama. Sir R.O Winstedt pada ketika itu berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir British di Semenanjung Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Beliau fasih berbahasa Melayu dan menulis Jawi, serta mendapat bimbingan daripada pegawai kanan dan residen British. Pada tahun 1924, sewaktu menjadi Pengarah Pendidikan Negeri-negeri Bersekutu, beliau menggunakan hasil karya Raja Haji Yahya untuk menghasilkan buku ilmiah berkaitan pendidikan dasar di sekolah.
Bual bicara yang dikelolakan oleh Muhd Norizam Jamian ini menjadi semakin rancak apabila kupasan demi kupasan tentang hasil karya Raja Haji Yahya diutarakan oleh dua panel tersebut dengan panjang lebar. Ujar Dr. Hasrina, “Raja Haji Yahya ada menulis salasilah keturunan raja-raja negeri Perak dan ahlil bait di negeri Perak, cerita-cerita jenaka, cerita haiwan, peraturan adat istiadat Melayu di Perak, syair seperti ‘Syair Raja Haji Yahya’, Hikayat Pelanduk (1909), dan kisah teladan seperti ‘Musang Berjanggut’”. Kenyataan ini disokong oleh Dr. Noridah, malah beliau menambah bahawa Raja Haji Yahya menulis cerita-cerita lisan yang diperolehinya daripada Pawang Ana, antaranya termasuk kisah “Pak Pandir”, “Pak Kaduk”, “Lebai Malang”, “Si Luncai”, dan “Pak Belalang”. Raja Haji Yahya juga berjaya menyalin sejumlah 700 halaman hikayat-hikayat sastera Melayu lama, iaitu Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda, Hikayat Anggun Che Tunggal, dan Hikayat Malim Dewa.

“Seterusnya, naskhah manuskrip tersebut diserahkan kepada Sir R.O. Winstedt untuk diterbitkan oleh Methodist Publishing House (MPH) pada tahun 1908 di Singapura. Jelani Harun menyifatkan dalam kajiannya, kemungkinan besar Raja Haji Yahya terbabit dalam urusan penyuntingan atau editorial, dan melakukan penambahan dari sudut tatabahasa semasa menghasilkan penulisan buku itu. Kisah-kisah yang dibukukan ini tebal dengan kritikan sosial daripada masyarakat terhadap golongan feudal dan agama tentang sistem masyarakat pada zaman dahulu kala,” jelas Dr. Noridah.
Sumbangan besar Raja Haji Yahya dalam kesusasteraan Melayu lama seperti syair, gurindam dan seloka telah diterbitkan oleh R.O. Winstedt pada tahun 1934, meskipun selepas Raja Haji Yahya meninggal dunia. Hal ini menunjukkan betapa akrabnya jalinan persahabatan antara Raja Haji Yahya dengan R.O. Winstedt sehingga karya-karyanya masih dikenang.
Perkataan-perkataan dan ayat demi ayat dalam karya Raja Haji Yahya melambangkan diri dan pengalaman hidupnya serta latar kawasan tempat tinggalnya yang kaya dengan hutan, pergunungan, flora dan fauna, dan kesusahan hidup pada zaman awal Tanah Melayu. Langgam bahasa yang ditulis dalam syair-syairnya turut mendedahkan identitinya sebagai salah seorang yang begitu lembut dan berhemah dalam tutur kata. Misalnya, beliau menulis syair tentang perlambangan haiwan seperti pipit dengan helang, harimau dengan kambing, puyuh dengan cenderawasih, dan kucing dengan tikus, yang dilihat sebagai kritikan sosial yang sinis namun berhemah.
Antara petikan syair beliau yang menarik dibaca adalah seperti berikut:
Kepada fikiran sesak dan walang,
Memandang pipit menggonggong helang,
Sa-lama harimau tiada berbelang,
Di-atas tengkok-nya kambing berjulang.
Perlambangan dalam petikan ini tidak dapat dipastikan oleh pengkaji kepada siapa sebenarnya syair ini ditujukan. Namun begitu, petikan syair ini memperlihatkan bayangan kuasa besar yang sudah hilang “taringnya”.
Dr. Noridah menyifatkan sumbangan Raja Haji Yahya amat besar dalam usaha melestarikan karya klasik, malah banyak pedoman yang dapat diambil. Katanya, “Guru-guru pendidikan awal kanak-kanak dan di sekolah rendah khususnya, perlu perkenalkan dan gunakan hasil karya Raja Haji Yahya, seperti cerita kanak-kanak dan jenaka dalam bentuk yang relevan dengan umur mereka, kerana dapat memberikan kecintaan pada bangsa dan agama.”
Peminat karya sastera Melayu tradisional boleh dapatkan naskhah ini di Amazon, Shopee, Kawah Buku dan toko buku lain di seluruh negara. Program Diskusi Buku Dunia ini boleh ditonton di sini.