Oleh S.M. Zakir
9 Jun 2021, 13:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kolumins S.M. Zakir mengenal pasti “fakulti ilmu kemanusiaan” yang dimulakan pada Zaman Pencerahan di Eropah dan sisi hikmahnya bagi perkembangan ilmu sejagat, selain memunculkan suatu revolusi baharu dalam seni dan sastera Barat.

Para penulis yang merasakan diri mereka sasterawan tidak haruslah cepat berbangga jika tulisan atau karya mereka gagal membawa apa-apa sarana pemikiran – untuk meletakkan mereka sebagai penyumbang kepada “fakulti ilmu kemanusiaan” ini.

Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment) di Eropah dikatakan muncul dengan gencar di antara tahun 1350 dengan 1650. Rentetan tiga peristiwa perang besar yang melibatkan negara-negara di Eropah, iaitu Perang Seratus Tahun dan Perang 30 Tahun yang membawa kepada Perjanjian Westphalia serta pertembungan Eropah dengan kuasa Islam, iaitu Perang Salib. Peperangan demi peperangan membawa Eropah kepada keadaan kucar-kacir. Keadaan ini diburukkan lagi oleh perlakuan pihak Gereja yang mengambil kesempatan menggunakan agama Kristian untuk kepentingan segelintir golongan pemuka agama Kristian kononnya. Hal ini ditambah pula dengan penindasan puak bangsawan. Penindasan ini akhirnya menimbulkan perasaan tidak puas hati dan ketidakpercayaan kepada institusi-institusi yang memegang “nasib” manusia Eropah ini. Perang Salib juga boleh dikatakan faktor penolak yang penting kepada munculnya Zaman Pencerahan, dalam konteks menyerap kemajuan umat Islam ketika itu.

Suasana ini mendorong kepada usaha untuk melahirkan fikiran-fikiran yang dapat membawa manusia Eropah keluar daripada kegelapan ini. Penelitian Jacob Burckhardt mendapati benih Zaman Pencerahan ini bercambah di Itali dengan munculnya Pencerahan Kaum Itali yang berlaku pada awal dan pertengahan abad ke-14. Pencerahan ini bermula dengan kemunculan tokoh-tokoh seperti Dante Alighieri, Francesco Petrarca, Poggio Bracciolini, Leonardo Bruni, Lorenzo Valla, Leon Battista Alberti, Marsilio Ficino, dan Niccolò Machiavelli. Walaupun era ini banyak menyaksikan perbalahan dan perbahasan tentang agama (Kristian khususnya), namun suasana pergolakan itu sebenarnya khusus pada perbalahan dengan pihak Gereja (oligarki agama) yang bersembunyi di sebalik agama.

Fikiran berkembang kepada persoalan mengorganisasikan kehidupan manusia melalui komuniti bebas yang adil dan saksama. Maka di sini lahir pemikiran tentang ilmu kemanusiaan. Objektif ilmu kemanusiaan melihat hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia dengan manusia, khususnya komunikasi antara manusia. Kedua-dua objektif ini melengkapi antara satu sama lain. Tiga disiplin dalam pengajian ilmu kemanusiaan ini ialah hierarki kewujudan dan berkembangnya manusia sebagai makhluk alamiah melalui kapasitinya untuk berkomunikasi antara mereka dengan menzahirkan potensi untuk berhubung langsung dengan Tuhan tanpa perantaraan. Usaha Pencerahan pada awalnya bukanlah suatu bentuk falsafah atau sistem, tetapi lebih kepada program pembudayaan dan pendidikan yang memupuk dan membangunkan bakat dalam diri setiap manusia, seterusnya meneguhkan keyakinan atas kepercayaan yang dibentuk oleh ilmu yang rasional.

Ilmu kemanusiaan menyangkutkan soal memeriksa diri dan menilai diri, melalui pengajian atau pembelajaran terhadap produk atau hasil kejiwaan manusia, khususnya seni dan sastera. Lalu di sini, seni dan sastera merupakan subjek penting dalam ilmu kemanusiaan. Daripada perkembangan pengajian seni dan sastera inilah lahirnya pemikiran serta falsafah yakni sistem pemikiran yang lebih jitu dan teratur. Hal ini merupakan objektif utama atau prime object pada ilmu pengetahuan. Ilmu kemanusiaan yang dihidupkan oleh seni dan sastera dalam konteks pembudayaan dan pemupukan cara berfikir rasional, meluruskan jalan kehidupan tanpa bergantung pada kekuasaan manusia yang salah.

Kita mungkin terperangkap apabila melihat sisi gelap Pencerahan Eropah oleh pertentangannya dengan agama dan doktrin sekularnya. Namun, terdapat juga sisi cerah dalam Pencerahan Eropah membangunkan rasionalisasi ilmu kemanusiaan, khususnya melihat fungsi seni dan sastera dalam kehidupan manusia. Ilmu kemanusiaan yang menjadi asas penting kepada pencerahan Eropah merupakan antara sumbangan penting Pencerahan Kaum Itali sekitar abad ke-14 dan ke-15. Pada tempoh ini, puitika diangkat menjadi sarana penting menggantikan khutbah yang menyeleweng di gereja, yang selalu menanamkan dogma yang akhirnya menguntungkan pihak gereja dari segi pengaruh, kuasa dan material pada ketika itu – kebalikannya menindas rakyat jelata melalui kepercayaan membabi buta. Puitika bangun mengkritiknya, adakala dengan halus dan adakala dengan sangat sarkastik. Senario atau kes yang berlaku pada abad pertengahan di Eropah, tidaklah boleh dilihat sebagai permusuhan atau penolakan mutlak terhadap agama, sebaliknya hanya kes yang berlaku terhadap agama Kristian yang dipergunakan oleh segelintir kaum Gereja yang berpengaruh ketika itu.

Ilmu kemanusiaan berdiri di atas prinsip sejagat.

Namun begitu, persoalan yang ingin dilihat di sini ialah bagaimana munculnya ilmu kemanusiaan yang bertunjangkan seni dan sastera menjadi sarana Pencerahan. Pada hari ini, muncul Fakulti Ilmu Kemanusiaan yang mengandungi pengajian seni dan sastera di dalamnya. Penggunaan istilah “Pengajian Sosial” menggantikan “Ilmu Kemanusiaan” adakalanya semacam menghilangkan roh pencerahan yang memupuk budaya berfikir rasional dan filosofikal dalam gelombang revolusi ilmu, jika dilihat daripada sejarahnya yang panjang. Dalam pada itu, haruslah jelas bahawa seni dan sastera yang memupuk cara fikir itu tentulah seni dan sastera bermutu tinggi yang membawa pemikiran utuh sekali gus meletakkannya dalam kategori budaya tinggi. Para penulis yang merasakan diri mereka sasterawan tidak haruslah cepat berbangga jika tulisan atau karya mereka gagal membawa apa-apa sarana pemikiran – untuk meletakkan mereka sebagai penyumbang kepada “fakulti ilmu kemanusiaan” ini.

Mempelajari sastera sebagai ilmu tentang kemanusiaan membuka begitu banyak ruang berfikir. Sebagaimana maklum, sastera membiaskan butir-butir kehidupan yang paling rinci, malah paling kecil dalam pencarian maknanya yang besar. Sekali gus menjadi dokumen dan sarana kehidupan yang unik. Sejarah dikatakan sebagai berulang dengan sendirinya, tetapi berulang dalam persekitaran yang memuati sebab-akibatnya yang sama. Maka, kehidupan hari ini harus juga melihat sejarah masa lalu dalam memahami corak sesuatu peristiwa berlaku dan berlaku lagi. Sastera selalunya ditulis mewakili zamannya. Oleh itu, sastera itu merupakan sebahagian daripada dokumentasi sejarah yang membawakan jiwa di dalamnya; dalam kata lain “bahan” untuk memahami corak perubahan kehidupan atau sebab akibat sesuatu itu berlaku. Malah, banyak karya besar sastera mengubah cara fikir manusia melihat sistem kehidupan.

Semua hal ini memperlihatkan betapa pentingnya sastera dalam keberadaannya sebagai ilmu tentang kemanusiaan. Apabila melihat kepada pentingnya sastera sebagai ilmu kemanusiaan, membuatkan banyak negara maju memberikan perhatian besar pada seni dan sastera, termasuk dengan cara menginstitusikan seni dan sastera. Tidak terkecuali, negara maju banyak mencurahkan dana dan memelihara para sasterawan mereka. Namun, sebahagian negara membangun cuba meniru langkah ini, tetapi melakukan kesilapan apabila menghabiskan dana yang besar untuk membayar gaji atau emolumen pengurus dan pentadbir yang banyak dan ramai, tetapi meninggalkan penulis miskin papa kedana; sekali gus sastera menjadi daif.

Sastera sebagai ilmu tentang kemanusiaan pernah mencapai kejayaannya yang gemilang apabila menjadi benih kepada tumbuhnya pemikiran demi pemikiran, dan falsafah demi falsafah. Seterusnya melahirkan Zaman Pencerahan di Eropah yang muncul sebagai kuasa dunia yang tidak tercabar. Ada sesuatu yang menarik tentang asas ilmu kemanusiaan pada zaman awal Pencerahan Eropah, iaitu objektif keilmuannya yang melihat hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Tuhan. Adakah asas keilmuan pencerahan ini diserap daripada prinsip pemikiran Islam tentang habluminannas dan habluminallah, hasil daripada pertembungan Barat dengan Islam dalam Perang Salib?

Kita tidak dapat menjawabnya, tetapi perkara yang paling nyata ialah ilmu kemanusiaan ini berdiri di atas prinsip sejagat.

_________________________

S.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi