Oleh Zaidi Saad
10 Mei 2021, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – Lima orang penulis ulung Melayu Singapura diiktiraf dalam Majlis Anugerah Persuratan (AP) ke-14 anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) pada 10 April 2021 yang lalu. Hamed Ismail dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tun Seri Lanang untuk edisi AP 2020/2021.

Beliau juga merupakan sasterawan persuratan yang paling mapan untuk menerima anugerah tersebut. Berusia 73 tahun, beliau telah berkecimpung dalam bidang penulisan selama lebih 30 tahun, dan karya beliau termasuk drama pentas, puisi dan cerpen. Hamed merupakan mantan penyelia kanan skrip sewaktu berkhidmat di TV Eaglevision, Mediacorp, Singapura.

Sementara itu, Allahyarham Zaidy Nandir yang dikenali ramai sebagai seorang aktivis seni, penggubah lagu dan penulis lirik yang prolifik, dipilih menjadi penerima Anumerta Tun Seri Lanang tahun ini. Beliau ialah penerima termuda anugerah itu sejauh ini. Allahyarham juga telah menerima banyak anugerah untuk lagu dan lirik terbaik dalam pertandingan-pertandingan Dikir Barat tempatan. Allahyarham meninggal pada tahun 2018 sewaktu berusia 45 tahun.

Kemenangan besar bagi seorang lagi tokoh persuratan mapan, Jamal Ismail, yang memenangi Hadiah Persuratan untuk dua kategori, Cerpen dan Novel, iaitu kumpulan cerpen GOD(A) dan novel Tunjuk Langit. Pada tahun 2016, 32 tahun selepas buku terbitan beliau yang terakhir, Jamal kembali dengan karya Yang Kekucingan, sebuah kumpulan cerpen yang menghimpunkan 20 buah cerpen berbentuk surreal dan di luar kotak rasional akal. Beliau kemudian menghasilkan GOD(A) pada tahun 2018 dan Tunjuk Langit pada tahun 2019. Hal ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan bagi seorang penulis yang kembali muncul pada tahun 2016, setelah berehat daripada dunia penerbitan sejak tahun 1984.

Dua pemenang Hadiah Persuratan lain yang juga diiktiraf untuk edisi AP 2020/2021 ialah Farihan Bahron bagi kumpulan puisi Tukang Tunjuk Telunjuk untuk kategori Sajak, dan Rilla Melati Bahri bagi judul siri buku cerita Si Pencuri Ketawa – Kisah di Dalam Taman di Persisiran untuk kategori Sastera Kanak-kanak, sebuah kategori baharu yang diperkenalkan dalam Hadiah Persuratan. Bagi kategori buku Drama (untuk Pentas) dan Kajian pula, tidak ada pemenang bagi tahun 2020/2021.

Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, mengatakan, “Pengiktirafan penting untuk terus membakar semangat penulis-penulis watan. Kecemerlangan yang dipaparkan oleh penerima Anugerah Persuratan boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi penulis-penulis lain, khususnya bagi penulis-penulis muda yang ingin berkecimpung dalam bidang persuratan. Kepakaran penerima anugerah ini juga boleh dimanfaatkan untuk terus menyemarakkan bidang persuratan setempat.”

Suratman Markasan, sasterawan terkenal Singapura dan penerima Anugerah Tun Seri Lanang (1999) pula menambah, “Penerima Anugerah Persuratan elok merasakan bahawa dirinya istimewa kerana dinobatkan sebagai penulis yang ulung. Di samping itu, dia harus terus mencari nilai-nilai baharu untuk tetap istimewa. Mereka yang tidak dinobatkan harus menilai kelemahan mereka dan menggantikannya dengan yang luar biasa. Usaha akan menuju kejayaan.”

Bermula sejak 1993, acara dwitahunan ini merupakan usaha berterusan MBMS untuk mengiktiraf para penulis tempatan dalam bidang persuratan Melayu. Anugerah ini juga bertujuan untuk menggalakkan penerbitan karya bermutu, serta memasyarakatkan bidang persuratan. Anugerah Persuratan 2020/2021 dianjurkan oleh MBMS dan diuruskan Majlis Buku Singapura (SBC), dengan sokongan daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Warisan Kebangsaan (NHB), dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Singapura.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.