13 April 2021, 09:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dengan kemunculan pelbagai cabaran pada alaf baharu, adakah bentuk sastera mampu duduk selesa tanpa perubahan? Mohd Fadzil Yusof cuba merungkaikan peranan dan fitrah sastera dan cabaran-cabaran masa kini yang dihadapinya.

Sastera begitu mudah mendekati, meramahi, mematutkan dan membijaksanakan. Namun terus tinggal persoalan, lebih-lebih lagi akhir-akhir ini – apakah hala tuju sastera yang makin disisih perlahan-lahan daripada lingkungan perdana?

Selepas beberapa ketika, sastera merupakan bidang paling “eksklusif” bukan kerana sifat ketulenannya dan membeza-bezakan khalayak, namun yang tampak lagi ialah garisan-garisan cabaran yang kian menebal pada setiap petanda di sempadan masa, faktor teknologi siber, dan seterusnya perubahan zaman yang tidak mudah dibaca. Tindakan menangani perubahan-perubahan ini dalam wadah sastera sebenarnya menarik. Seeloknya hal ini ditelaah agar dapat membaca fitrah sastera itu sendiri dengan penuh nyata dan kesedaran.

Dalam makna yang lebih langsung, sastera merupakan bidang yang mempunyai cabaran terbesar dalam usaha mengharungi perubahan yang berlaku dalam dunia globalisasi. Cabarannya bukan lagi cabaran perdana, malah sejagat. Dalam hal lain, sastera sudah dianggap ranah yang paling “kental” kerana banyak mengambil peranan falsafah. Betapa sastera bukanlah suatu bidang “lembut” tetapi juga dianggap “keras” bagi pelbagai era dan perkembangan ilmu manusia.

Sekarang selepas COVID-19 dan runtunan lain yang pasti datang selepas ini, apakah bekalan dan persediaan sastera untuk manusia?

Sastera telah bermula sejak manusia mula mengenal bahasa itu sendiri. Sastera kemudian berkembang seiring dengan pemikiran manusia, menurut isi hati dan budi manusia juga. Manusia tetap mendapatkan sentuhan sastera, menjalinkan hubungan akrabnya dengan sastera sepanjang masa, sehingga manusia dapat menjadi lebih manusia dan terus berjuang demi kemanusiaannya. Sastera tetap bersahabat dengan manusia, memberikan kemampuannya. Sastera sentiasa hadir di hadapan manusia, menempatkan makna daripada seminimumnya kepada semaksimal mungkin, sehingga manusia dapat bertindak balas untuk melangsungkan pemikirannya dalam pelbagai pengertian dan renungan.

Kebijaksanaan dapat dizahirkan daripada sastera hasil melalui hubungan yang cukup erat tadi. Datanglah pencerita, pengarang, pendeta, penyair, penulis, novelis, sehinggalah agamawan, politikus, doktor, dan pemikir. Untuk kalangan yang terkebawah (mungkin pembaca yang pasif), sastera tetap menzahirkan diri dengan segala kemungkinan dan menjadi wadah pemancar selain mungkin hanya “menghiburkan hati”.

Manusia terus menjadi pembaca sastera, menekuni, membelah isinya, merasai nikmatnya dan segala-gala yang mungkin dijuadahkan oleh sastera dapat dirasai dengan sebaik mungkin. Sastera juga sentiasa membuka ruang untuk luahan dan pandangan, mempersilakan pengarangnya menggalurkan makna-makna, yang kadangkala patut dan indah atau bijaksana apabila kena dengan gaya dan seninya. Tidak sesempit yang lain, sastera meluaskan ruang tamunya, dan peranannya mulai meluas dan membesar mengikut latar bangsa, budaya, adat, sosiopolitik, geografi, sejarah, falsafah, malah agama. Sastera tetap mengikut peredaran zaman, mengadun dengan baik, berasimilasi dengan segala kematangannya, melahirkan ciri-ciri unik baharu, wawasan fikir yang unik dan berbeza, bertransformasi dari semasa ke semasa. Apabila khalayaknya semakin berubah, sastera juga tampak berubah, malah lebih cekal menerima perubahan.

Apabila pengarang menulis subjek baharu, suara-suara ideologi turut sama disambut olehnya. Suara itu sentiasa menampilkan sikap demokrasi dan harmoni kemanusiaan, lebih-lebih lagi apabila diajak dalam persada pentas wacana yang terbuka, malah dikongsi bersama oleh apa-apa bangsa dan ras yang ada. Sastera menjadi penyatu, pendorong, penguat keyakinan dalam wadah perpaduan.

Dalam masa yang singkat juga, sastera segera mengiringi pelbagai usaha. Mungkin secara dominan atau sekadar minima sahaja. Tidak kisah sebenarnya, kerana sastera tidak harus dibaukan dengan satu bau. Tidak harus diwarnakan dengan satu warna sahaja. Tidak harus dicorakkan dengan suatu corak sahaja. Sastera mempunyai nilai sejagatnya yang menjadi pati pada pembentukan fitrah kesusasteraannya, iaitu untuk kedamaian manusia itu sendiri. Lalu bangkitlah suara membebaskan, mendamaikan, meluruskan, mempropagandakan, mengkritik, dan mereaksi sesuatu permasalahan. Semua itu bertolak daripada rencana sastera yang memanusiakan, bukan untuk tujuan tertentu yang dikhilafkan, atau dipecahperintahkan atas apa-apa tujuan yang kabur atau yang tidak dapat dipastikan.

Sastera begitu mudah mendekati, meramahi, mematutkan dan membijaksanakan. Namun terus tinggal persoalan, lebih-lebih lagi akhir-akhir ini – apakah hala tuju sastera yang makin disisih perlahan-lahan daripada lingkungan perdana? Sedikit demi sedikit, kelihatan, diperlahankan gerak kreatifnya, makin dikonsepkan dan dislogankan citranya, atau dikerangkakan kesenjangannya.

Ciri kesusasteraan yang sangat moderat ini, tidak membantu khalayak luar sastera untuk mendapatkan maklum balas yang positif tentang sastera. Mungkin disebabkan oleh Leo Tolstoy bukanlah ahli politik, atau Jorge Luis Borges bukan negarawan, dan Ibn Muqaffa’ bukan agamawan yang terbilang? Ya, mungkin begitulah faktornya.

Dan, pandangan terhadap sastera juga kelihatan menguncup, meredup, sehingga sastera diletakkan di hujung desa permai, tenang dengan sumur, angin, bayu, atau tepian pantai yang sunyi dan terasing, tidak lagi perlu bergabung atau bercanda dengan kota metropolitan, dasar-dasar kenegaraan, hak-hak tertindas dan sebagainya. Sering kali juga dianggap senyap dalam kamarnya, berbicara lewat huruf dan kata, dari pagi sampai malam tanpa memandang keluar jendela dan bertanya, ada apa di bawah sana? Ada apa pada bising dan riuh-rendah yang baru sudah?

Sastera masih sepi dengan segala kesepian gunung, tinggal di tempat yang hanya akan dikunjungi oleh orang yang dekat dengan alam. Mungkin juga kerana hutan belantara yang kian terpupus itu, atau terganggu itu juga sudah tidak lagi sesuai untuk pertapaan (yang sebenarnya suatu tempat yang paling enak untuk bertafakur merenung ciptaan Yang Maha Pencipta), lalu seseorang yang moden merasakan sastera harus didiamkan atau dianggap suatu hal yang polos lagi sia-sia.

Sastera yang dahulunya “bertafahus” manusia, isi hati dan pemikirannya sekarang mulai tidak diendahkan. Sastera yang selalu dibaca hingga lewat malam, sekarang sudah tiada maknanya lagi dengan adanya drama-drama yang kurang tenang berbicara, penuh bumbu populisme sehingga terkadang sukar untuk menjejak kemanusiaannya. Dalam keadaan sebegitu rencam, apakah pilihan yang ada?

Adakah sastera dilihat tidak langsung berperanan? Masih sepi dan “bujang” dengan gayanya. Mungkin semakin kurang gaya sebenarnya, tidak lagi “macho”, kerana seakan-akan kehilangan ciri matangnya. Entah mengapa, sastera semudahnya dianggap sebagai sebuah majalah yang konyol, cerpen yang comot atau lukisan yang tidak mudah difahami. Lalu, sastera tidak punya penghayatnya, tiada pentafsirnya. Tiada pun yang mahu merasainya. Tiada isi yang penting dalamnya, kata mereka.

Justeru, apakah persediaan yang sastera ada, bekalan yang sastera dapat rencanakan kepada generasi muda atau masa depan? Mnifesto apakah yang dapat dijanjikan buat para pengundi di seluruh dunia hari ini atau esok, selain hanya novel, cerpen, sajak atau drama? Tentu “orang atau ahli sastera” perlu memikirkannya, persediaan-persediaannya yang mungkin dapat “mempermuda” sastera dan melestarikannya agar selalu relevan dengan bahasa zamannya, lantas menjadi lebih bermakna pada setiap generasi. Begitulah.

_________________________

Mohd Fadzil Yusof menulis puisi, rencana dan cerpen. Karyanya pernah tersiar dalam akhbar Berita Harian, Mingguan Wasilah, Harian Metro, Mingguan Utusan Melayu, majalah Dewan Sastera, Nur, Siasah, Dewan Budaya, Tunas Cipta, dan Milinea Muslim. Karya bukunya termasuk novel Berahi Sukma (ITBM, 2015), kumpulan cerpen Terbang Layang-layang (DBP, 2016), dan kumpulan puisi Buku Kenangan Kala Pemukiman (DBP, 2019).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi