Oleh Rosmani Omar
30 Mac 2021, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Penulis mencorakkan pemikiran masyarakat dan menulis ialah ibadah sekiranya perkara yang ditulis membawa kebaikan kepada khalayak. Oleh itu, peranan penulis sangat penting kepada agama, bangsa dan negara. Dalam berkarya, penulis perlu mempunyai wawasan, matlamat, ikhlas dan mengikut perkara yang dituntut oleh agama.

Pandangan berikut merupakan antara inti pati yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Hassan Mahmood, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, merangkap Timbalan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) semasa merasmikan Program Bicara Editor, Pelancaran Antologi Terbitan GEMA dan Majlis Penutupan Bengkel Penulisan dalam Talian 2021 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur pada 27 Mac 2021.

Majlis pelancaran tersebut turut disaksikan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, Yang Berbahagia Dato’ Haji A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Kelantan, Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur, Encik Zainal Abidin Muhamad, Ketua Satu GEMA, dan para peserta Bengkel Penulisan dalam Talian 2021. Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin turut menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta kursus yang hadir di majlis tersebut.

Kumpulan Cerpen Dalam Lebat Hujan.

 

Sebelum berlangsungnya majlis perasmian, DBP Wilayah Timur dengan kerjasama MKNK dan GEMA telah menampilkan lima orang ahli panel dalam Program Bicara Editor untuk berkongsi maklumat tentang ruang dan peluang penulis menerbitkan karya. Ahli panel yang diundang ialah Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Penerbitan DBP, Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Puan Julia Alani Henry, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, Encik Mohd Nazmi Yaakub, Pengarang Berita dan Kandungan Berita Harian, dan Puan Norzana Razaly (Zanazanzaly), Pengarang Qiadah.

Tiga buah buku antologi puisi dan cerpen yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Hassan Mahmood dalam majlis tersebut ialah antologi pantun Kelantan dalam Pantun yang diselenggarakan oleh Zainal Abidin Muhammad, kumpulan cerpen Dalam Lebat Hujan karya Noor Anita Salleh, dan kumpulan puisi Bayang-bayang di Air tulisan Ezani Haji Daud. Karya tersebut diterbitkan oleh GEMA.

 

Kumpulan Puisi Bayang-bayang di Air.

Sebelum mengakhiri ucapan perasmian, Yang Berhormat Dato’ Haji Hassan Mahmood berharap agar kerjasama yang baik dengan pelbagai agensi dapat diteruskan untuk meningkatkan minat masyarakat dalam penghasilan karya. Beliau juga mencadangkan bengkel penulisan seperti itu dapat diadakan kepada agamawan untuk menggilap bakat dan meningkatkan bilangan karya dalam bidang agama.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.