Oleh Faisal Tehrani
22 Mac 2021, 10:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena Jubli Emas Dewan Sastera pada tahun ini, kami siarkan kembali esei sorotan khas Faisal Tehrani tentang perjalanan dan perkembangan Dewan Sastera 30 tahun yang dahulu, dari era Keris Mas sebagai Ketua Pengarang pertamanya sehinggalah Rozninah Abd. Azib menduduki kerusi editorialnya. Esei ini pernah tersiar dalam Sisipan Khas Dewan Sastera Januari 2001 sempena sambutan 30 tahun Dewan Sastera (1971-2001).

 

Semasa Usman menjadi pengarang majalah ini pada tahun 1979, mutu karya benar-benar tinggi. Sebahagian besar karya yang tersiar di Dewan Sastera waktu itu kelak akan menjadi semacam ‘karya klasik’ yang unggul dibaca hingga hari ini.

Dewan Sastera sudah menempuh usia 30 tahun. Dalam usia sedewasa ini, wadah sastera yang unggul ini harus diberi peluang untuk melakukan muhasabah diri dan menilai semula bentuk dan acuan yang paling munasabah untuk menempuh cabaran dan ragam sastera mendatang. Bentuk dan hala tuju yang lama perlu difikirkan semula kerana tidak semua dapat dijadikan rujukan oleh sebab kesesuaian untuk zamannya sahaja. Oleh sebab sastera itu bersifat dinamik dan sering bergerak dan kita pula mahu kesusasteraan bangsa Malaysia benar-benar maju seiring dengan pembangunan sains dan teknologi, Dewan Sastera yang sekian lama menampung penat lelah sasterawan tanah air mesti mencetuskan sesuatu yang lain, sesuatu yang besar, dan memberi kesan untuk satu tempoh lagi.

Majalah ini terbit pada bulan Januari 1971 dengan impian untuk mengisi perkembangan sastera negara. Dewan Sastera sudah berfungsi untuk menampung karya kreatif. Kata Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka waktu itu, (Datuk) Hassan Ahmad, “Di masa-masa yang lepas selalu kita dengan sungutan tentang kurangnya kesempatan penampungan karya-karya kreatif, terutama karya yang dihasilkan oleh generasi penulis-penulis muda hari ini. Saya berharap majalah Dewan Sastera ini sedikit sebanyaknya akan dapat mengurangkan kekurangan tersebut. Selain daripada ini Dewan Sastera akan cuba sedapat-dapatnya menggambarkan nilai-nilai sastera Melayu moden hari ini dalam bentuk yang dapat dipertanggungjawabkan” (Dewan Sastera, Januari 1971).

Keris Mas, selaku pengasas dan Ketua Pengarang yang pertama, menjelaskan bahawa “Dewan Sastera ingin memaparkan segala aliran kesusasteraan, baik yang mengusap perasaan mahupun yang menggugat pemikiran”. Selain itu, Keris Mas mengingatkan “kuantiti tidak dapat kami selesaikan dengan hanya penerbitan sekecil ini, tetapi kualiti akan kami cuba mencapai setinggi mungkin …”

Jelas bahawa peranan Dewan Sastera pada awal penubuhannya lebih untuk menjana pertubuhan karya kreatif, mengembangkan bakat kesusasteraan, menanamkan sifat kemanusiaan menerusi alat kesusasteraan sambil mendidik masyarakat supaya dekat dengan sastera kebangsaan. Meskipun sama semua hal itu belum benar-benar dipenuhi, Dewan Sastera harus bergerak pula dengan tujuan dan matlamat yang lebih terkehadapan. Cabaran alaf baharu untuk memperkasa sastera bangsa Malaysia bagi benar-benar sihat dan berdaya juang tinggi menempuh segala mehnah dan tribulasi mesti ditampung oleh Dewan Sastera. Usia 30 tahun bermakna satu tempoh yang begitu kritikal bakal dilanjut dan ditempuh lagi.

Dewan Sastera mesti diperhatikan bukan sahaja pada perubahan harganya, daripada harga 50 sen senaskhah suatu waktu dahulu atau terbitnya pada setiap pertengahan bulan, tetapi dilihat penuh halus pada kematangan yang pernah ada dan biarlah dibaur dengan cambahan idea dan buah fikiran baharu untuk mengayakan majalah ini. Ada beberapa hal yang patut dipelajari semula oleh Dewan Sastera daripada dirinya yang lama itu. Oleh sebab sumpah pertama Keris Mas untuk memastikan kualiti karya yang tersiar begitu bulat, tidak begitu menghairankan editor setelah itu juga begitu cekal mempertahankan mutu dan kredibiliti bahan.

Sewaktu Keris Mas, Baha Zain, dan Usman Awang memimpin Dewan Sastera, pengisian majalah ini amat dipelihara dan pemilihan karya sangat diwaspadai. Hasrat majalah waktu itu juga amat jelas, iaitu menambahkan pendengaran dan penglibatan sasterawan kita. Karya terjemahan yang kuat, termasuk naskhah drama, begitu licik disiarkan. Gunanya supaya karyawan tempatan mendapat manfaat daripada bacaan luar itu dan mampu berkarya segah itu.

Pertikaian tidak pula berlaku tentang sebab penulis yang sama asyik memenuhi Dewan Sastera kerana memang semua akur betapa Dewan Sastera merupakan ‘universiti’ untuk menjadi penulis mapan. Untuk masuk ‘universiti’ tidak semudah itu, harus melalui tangga sekolah rendah dan sekolah menengah yang penuh liku.

Keris Mas menampilkan istilah kesusasteraan pada halaman belakang majalah ini, yang dapat difikirkan semula kewujudannya kerana ilmu yang tersalur di situ begitu besar. Namun, kekurangan majalah ini waktu itu ialah esei seputar seni catan dan seni teater bercampur aduk, mungkin kerana Dewan Budaya belum bertunas lagi. Seperkara lagi, terlalu banyak lambakan karya penulis Indonesia, yang pada waktu itu dapat dikatakan sasterawan Malaysia masih terlalu “mengabangkan” kesusasteraan Indonesia. Fenomena membiarkan karyawan Indonesia bercambah dalam majalah ini bukanlah sesuatu yang agak baik kerana mengecilkan peluang karyawan tanah air. Elok kiranya hasil karya penulis nasional terlebih dahulu diberikan hak siaran kerana kesusasteraan Malaysia sudah dapat berdiri dengan sendirinya. Apatah lagi apabila hanya Dewan Sastera sahaja yang terhegeh-hegeh menyiarkan karya mereka sedang karya penulis kita kurang dipedulikan oleh Horison tanpa mengira apa-apa alasan sekalipun yang diberikan.

Semasa Usman menjadi pengarang majalah ini pada tahun 1979, mutu karya benar-benar tinggi. Sebahagian besar karya yang tersiar di Dewan Sastera waktu itu kelak akan menjadi semacam “karya klasik” yang unggul dibaca hingga hari ini. Cerpen “Sidang Kuching” karya Arena Wati, drama “Mayat” tulisan Hatta Azad Khan dan “Jangan Bunuh Rama-rama” oleh Noordin Hassan, cerpen “Sebuah Pekan Bernama Semporna” hasilan Datuk Abdullah Hussain, telah melalui tangan dan pemerhatian Usman terlebih dahulu. Piawaian Usman terasa amat tinggi, justeru tidak hairan karya yang disaring olehnya menjadi bahan bacaan yang begitu “kuat” hari ini. Bukan itu sahaja, Usman gemar memberikan tumpuan kepada satu-satu karyawan yang dirasakan kukuh dan kejap reputasinya, mereka dijadikan tumpuan dan menghiasi halaman luar majalah. Dan setiap yang terpilih itu hari ini menjadi penulis yang dikenal “kegagahan” mereka. Abdullah, A. Samad Said, Noordin, Latiff Mohidin, Shaharom Hussain, Arena Wati, Adibah Amin, dan Zaharah Nawawi macam telah melalui satu pantauan yang berkesan daripadanya. Dewan Sastera seolah-olah telah menjadi ibu yang mengenal potensi dan membesarkan mereka seperti yang dikenal hari ini.

Dewan Sastera waktu itu sangat bermutu dari segi pengisiannya. Bentuk pimpinan yang sama diteruskan oleh Baha Zain dan jika diperhatikan, penulis yang sama berulang-ulang menghiasi halaman majalah ini mungkin kerana kepentingan mutu karya sangat dijaga. Pertikaian tidak pula berlaku tentang sebab penulis yang sama asyik memenuhi Dewan Sastera kerana memang semua akur betapa Dewan Sastera merupakan “universiti” untuk menjadi penulis mapan. Untuk masuk “universiti” tidak semudah itu, harus melalui tangga sekolah rendah dan sekolah menengah yang penuh liku. Tersiar walau sekali dalam Dewan Sastera merupakan kebanggaan dan memberikan makna bahawa si penulis sudah memasuki elit sastera yang mantap. Penulis tidak merungut jika karya tidak tersiar dalam Dewan Sastera, sebaliknya diajar berusaha untuk tersiar dalam Dewan Sastera.

Apabila S. Jaafar Husin mengemudi Dewan Sastera, haluannya masih di situ, kehebatan karya tetap dikawal, sentuhan Usman masih terasa kerana beliau ketua pengarang. Perhatian terhadap kajian karya klasik bertambah, kehadiran karya deskriptif, esei, dan kajian akademik begitu terasa, malah Dewan Sastera sanggup mengetengahkan wawancara tentang teori dengan Rene Welleck yang diterjemahkan demi membuka mata sasterawan kita (lihat Dewan Sastera, 15 Mac 1983).

Dewan Sastera kala itu juga membuka peluang untuk penulis sastera Inggeris berkarya secara terkawal. Idea bernas mereka sengaja dituang supaya dapat membuka deria karyawan tanah air. Nama Salleh Ben Joned dan KS Maniam terbit dalam Dewan Sastera, memberikan pandangan dan berpolemik. Tumpuan terhadap sastera Tionghua diberikan perhatian oleh editor (Dewan Sastera, Februari 1974) dengan niat supaya sasterawan tempatan akan dapat mempelajari sesuatu daripada mereka. Berbanding dengan Dewan Sastera hari ini (nota: tahun 2001) yang sedikit tertutup, beberapa tokoh muda sastera Inggeris negara, seperti Amir Muhammad, Karim Raslan, Eddin Khoo, atau Rehman Rashid, tidak pernah diberikan peluang untuk muncul menyatakan pandangan. Barangkali ada satu dua maklumat yang dapat dikongsi daripada mereka dan fikiran akan segar berbahas dengan tulisan mereka kerana kiblat mereka yang berlainan itu.

Dewan Sastera mendapat editor wanitanya yang pertama melalui Salmiah Ismail. Beberapa perubahan dibuat pada kandungan dengan usaha untuk melibatkan lebih ramai sasterawan. Ruangan Pita Sastera, Kegiatan, dan Dokumentasi menghiasi majalah ini. Ada juga peruntukan khas untuk GAPENA menerusi Catatan GAPENA. Dan satu halaman dipelawa kartunis terkenal Lat untuk berkarya. Dewan Sastera terkini barangkali dapat menimbangkan ruangan ini (kecuali kartun) supaya khalayak sastera lebih didekatkan.

Abdul dan Sutung juga lebih terbuka dalam menerima karya yang sedikit pedas dan kritis. Maka tidak hairan jika ada satu dua cerpen yang kemudiannya menimbulkan kontroversi hingga dibincangkan dalam Asiaweek dan mendapat perhatian setinggi Istana Negara.

Salmiah membawa sentuhan wanita yang ketara, halaman kulit dan pencorakan muka lebih segar dan menarik. Namun, beliau tidak sahaja menjaga keaslian make-upnya, tetapi masih mempertahankan mutu karya yang tersiar. Dalam satu editorial, Salmiah dengan tegas mengingatkan penulis muda supaya jangan mempertikaikan perulangan kemunculan penulis dan meminta mereka (penulis muda yang gagal tersiar karya mereka dalam majalah ini) supaya segera menguasai ilmu dan memaparkan bakat yang sebenar untuk muncul dalam Dewan Sastera (Dewan Sastera, Mei 1988). Salmiah juga berani menyelar beberapa dasar kerajaan tentang bahasa dan sastera dalam editorialnya tanpa berlapik (lihat Dewan Sastera, Februari 1988). Bahkan jika dikaji editorial setiap editor semenjak Keris Mas, terasa benar isinya dan saranannya, malah kadang-kadang provokatif. Rencana pengarang menjadi tatapan awal dan momentum yang kuat. Buah fikiran editor akan dibincangkan dan paling tidak mencetuskan sesuatu. Hal ini berlaku mungkin kerana bekas editor Dewan Sastera merupakan tokoh sasterawan yang tersohor, seperti Keris Mas, Baha Zain dan Usman. Kenyataan mereka selalu disaring.

Seiring dengan perkembangan teori sastera tempatan yang begitu subur, Dewan Sastera terpaksa pula menampung bukan sahaja karya fiksyen, tetapi kajian dan makalah teori sastera yang serius. Disiplin kajian sastera yang akademik memerlukan halaman untuk bibliografi dan laras bahasanya yang berat dan berbentuk pelajaran perlahan-lahan memenuhi Dewan Sastera. Nama pengkritik, seperti Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Salleh Yaapar, Noriah Taslim dan Umar Junus, muncul secara lebih selalu. Hal ini lebih dirasai apabila Dewan Sastera berada di tangan Sutung Umar RS dan Abdul Ahmad. Esei dalam disiplin kesusasteraan bandingan diberikan peluang muncul secara kerap dan untuk karya kreatif, kemunculan karya Sasterawan Negara, seperti Arena Wati dan Shahnon, menjadi acap. Abdul dan Sutung juga lebih terbuka dalam menerima karya yang sedikit pedas dan kritis. Maka tidak hairan jika ada satu dua cerpen yang kemudiannya menimbulkan kontroversi hingga dibincangkan dalam Asiaweek dan mendapat perhatian setinggi Istana Negara, Dewan Sastera yang saya kenal waktu ini.

Pertama kali mengulit Dewan Sastera pada tahun 1993, saya kurang memberikan perhatian terhadap pemimpin pasukan editorial majalah sastera ulung ini. Sewaktu itu, puisi dan cerpen pertama saya sudah pernah tersiar dalam majalah biasa dan untuk lebih mengenal dunia sastera, saya memberanikan diri membeli naskhah majalah ini dengan harapan dapat menimba ilmu dan pengetahuan sebanyak-banyaknya. Apatah lagi saya bukan daripada disiplin sastera yang tulen, maka saya menaruh harapan supaya menerusi pembacaan, saya akan matang dan terbantu. Sebagai orang asing dari dunia sastera dan masih mentah, saya agak tergamam kerana isinya berat dan penuh dengan teori sastera yang membebankan. Saya hanya mampu menikmati ruang kreatif secara puas.

Apabila Zaen Kasturi memegang kemudi Dewan Sastara, ruangan editorial menjadi panas. Penulis muda yang ada potensi diberikan lebih peluang, kemunculan sasterawan Indonesia sesekali dirasai. Waktu ini Dewan Sastera sering diserang di halaman sastera akhbar perdana. Siti Zaleha Hashim kemudian kembali memimpin Dewan Sastera dan kritikan terhadap majalah ini aman seketika. Namun, mutu karya majalah ini mulai merosot (berdasarkan rungutan beberapa pengkritik dalam kertas kerja atau diskusi sastera misalnya) dan diberikan perhatian serius oleh beberapa orang pengamal sastera yang terkenal. Namun Siti Zaleha berada dalam keadaan tersepit untuk mempertahankan mutu karya atau membuka lebih ruang untuk penulis muda dan kurang mapan berkarya. Begitu juga era Rozninah Abd. Azib, beliau juga menghadapi dilema yang sama.

Ada satu keistimewaan yang dilakukan oleh Siti Zaleha, iaitu menyediakan ruang untuk sastera kembara, dengan peruntukan ruang kepada Ladin Nuawi. Penulisnya tidak penting, tetapi sastera kembara harus disuburkan dengan baik kerana di Barat, sastera kembara sudah menjadi genre yang begitu kuat dan disiplin baharu yang amat diminati dan dikaji. Begitu juga sastera warkah, surat penulis terkenal dikaji dan didokumentasikan dalam majalah. Seingat saya ketika zaman awal Dewan Sastera, ada ruangan seperti ini. Antara surat yang mendapat tempat termasuklah catatan rasa Siti Zainon semasa menuntut di Indonesia dan coretan kembara A. Samad yang kaya itu. Kalaulah dapat dikembalikan ruangan ini baik juga.

Dewan Sastera di bawah pimpinan Rozninah harus diberikan kredit kerana usahanya menyisipkan sorotan sastera untuk pelajar SPM dan STPM, sekurang-kurangnya untuk menarik khalayak sekolah menengah dan IPT. Sisipan MASTERA dan kesederhanaan isi diutamakan supaya tidak menjauhkan pembaca daripada Dewan Sastera. Majalah ini tidak lagi memakai slogan “Peneroka Sastera Kreatif” tetapi “Penjana Sastera Global”. Fokus sastera antarabangsa diberikan ruang. Semuanya untuk mendidik karyawan tempatan dengan lebih luas. Komposisi genre terasa agak adil dan reka bentuk majalah memikat kerana berwarna-warni.

Dewan Sastera di bawah Keris Mas mempunyai falsafah yang berbunyi “Dewan Sastera adalah wahana penulis memaparkan kepada pembaca penerokaannya dalam pengalaman penghidupan yang ditafsirkan sebagai ‘hakikat kebenaran’ yang disalut dengan keindahan”. Sedang majalah Dewan Sastera kini bersandarkan falsafah “Dewan Sastera adalah wahana penulis memaparkan realiti kehidupan yang dijana secara kreatif dan disebarluaskan tanpa sempadan”. Tujuan penerbitan Dewan Sastera kini menjadi lebih rumit dan sofistikated. Majalah ini berperanan untuk membina kesusasteraan berjati diri Malaysia, meluaskan ilmu kesusasteraan terkini sejajar dengan perkembangan teknologi, menampak sifat kemanusiaan yang unggul, memantapkan penerimaan masyarakat terhadap sastera, dan menonjolkan penulis tempatan supaya dapat dilihat dan diiktiraf oleh pihak nasional mahupun antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, ada beberapa saranan yang perlu diambil kira. Saranan ini melibatkan tenaga dan kos yang luar biasa, tetapi penting kerana sebagai “sesuatu” yang berusia 30 tahun, tahap dan proses penjagaannya akan menuntut sesuatu yang lebih. Beberapa saranan ini mungkinnya sedikit radikal, tetapi perlu.

Pertama, betapa perlunya sebuah majalah (atau jurnal) lain yang khusus memberikan tumpuan kepada makalah akademik, esei teori sastera, dan kajian karya yang terpisah daripada Dewan Sastera. Pada awal kelahiran majalah ini, tuntutan terhadap pengisian sebegini kurang mendesak berbanding dengan sekarang kerana pengkritik tanah air telah matang, perbincangan tentang, misalnya, teori takmilah, teori sastera Islam, atau persuratan baru, begitu menyengat dan memerlukan layanan yang saksama. Pertumbuhan bidang kajian sastera ini mesti diberikan perhatian besar. Dengan ini, Dewan Sastera nanti hanya “bekerja” untuk membesarkan karya kreatif dan sesekali diselangselikan dengan wawancara ilmiah atau satu dua esei yang tidak begitu berat. Dewan Sastera akan kembali mendekatkan masyarakat dengan sastera. Apabila terdapatnya satu wahana baharu bagi disiplin akademik dan kajian sastera, sudah tentulah pembinaan kesusasteraan kebangsaan yang benar-benar mantap akan lebih tercapai. Wahana ini juga berguna untuk menampung jumlah sarjana sastera yang semakin banyak dan kajian sastera yang kian bermutu.

Biarlah Dewan Sastera kembali berusaha menggilap kematangan dan pembangunan fiksyen itu sendiri. Dalam Seminar Analisis Majalah DBP pada 24–25 November 1997, Abu Hassan Abdullah dari Universiti Malaya, dalam sorotan kertasnya berjudul “Dewan Sastera: Satu Analisis Kandungan – Tumpuan kepada Pengisian Karya-karya Deskriptif”, menegur kelemahan pembahagian struktur deskriptif yang bertindan, pemakaian frama yang tidak jelas, dan teks yang terlalu akademik yang mengganggu kelicinan pembaca yang belum begitu mesra dengan sastera. Teks deskriptif juga, katanya, kurang polemikal kerana hambar dan kaku serta kurang mencetuskan sesuatu. Kelemahan ini mungkin dapat diatasi dengan meletakkan kajian ilmiah ini dalam satu wadah lain yang bukan niatnya untuk memencilkan tetapi untuk menyuburkannya lagi.

Mutu pengisian bahan kreatif Dewan Sastera mesti diletakkan semula di tempatnya. Dewan Sastera sekadar contoh mesti kembali ke era Usman dan Baha Zain untuk mempertahankan mutu karya. Dewan Sastera mesti menjelaskan bahawa majalah ini merupakan “universiti” dan penulis pula harus akur bahawa untuk menempuhi gerbang menara gading bukannya mudah.

Dewan Sastera mesti menjelaskan bahawa majalah ini merupakan ‘universiti’ dan penulis pula harus akur bahawa untuk menempuhi gerbang menara gading bukannya mudah.

Untuk itu, Dewan Sastera mungkin boleh meletakkan syarat, iaitu kematangan dan perkembangan karya serta bakat penulis mesti jelas sebelum dibenarkan melolosi halaman majalah ini. Paling tidak, katakanlah, Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebagai kelayakan minimum untuk karya seseorang diterbitkan dalam Dewan Sastera. Pasukan editorial mesti kelihatan adil dan dibantu atau disokong dengan sidang editorial yang lebih luas. Ambil bentuk dan prosedur Horison di Indonesia, beberapa orang penulis mapan pelbagai aliran dan generasi menjadi sidang editorial dan bersama-sama dengan editor serta editor bersekutu setiap bulan, saringan karya harus melepasi piawaian mereka terlebih dahulu. Sidang editorial Horison berbincang dengan begitu kritis tentang kerya yang perlu diberikan peluang. Dan Horison tidak pula terlalu dikritik kerana gagal menyediakan ruang kepada sejumlah penulisnya yang banyak di Indonesia itu. Semua sudah akur, Horison merupakan “universiti” dan impian mereka adalah untuk menembusi “universiti” tanpa banyak merungut dan lebih berusaha. Saya diberitahu begitu jugalah bentuk penyaringan karya yang dilakukan oleh Kalam (jurnal sastera/budaya yang baharu tetapi bermutu di Indonesia). Dewan Sastera mesti kembali kepada mutu dan piawaian lamanya. Beban ini nanti tidak akan terletak pada editor semata-mata. Untuk itu, sidang editorial mesti dilantik daripada kalangan yang adil dan dipercayai serta melatari pelbagai mazhab sastera supaya tidak timbul lagi kontroversi.

Di sini nanti timbul pula persoalan tentang “sekolah” untuk penulis muda dan baharu. Satu lagi usaha yang mesti digerakkan ialah menyediakan wadah untuk penulis muda. Majalah ini memberikan tumpuan kepada karya penulis baharu dan akan menjadi “sekolah” untuk mematangkan karya mereka. Perkembangan penulis ini akan diperhatikan oleh editorial Dewan Sastera dan mereka yang berpotensi dan menunjukkan kualiti yang tidak terhad sahaja akan “diuniversitikan” pula kelak. Ada kedengaran bahawa sebuah majalah untuk tujuan ini sudah pun dalam perancangan akhir dan diberi nama GEN (nota: bibit-bibit awal sebelum kemunculan Tunas Cipta). Dengan itu, pasukan editor Dewan Sastera tidak perlu pening kepala memikirkan rungutan karya penulis baharu yang tidak tersiar. Mereka akan hanya menumpukan perhatian untuk menjadi gate keeper kepada karya sastera yang paling berkualiti, seperti disumpahkan oleh Keris Mas suatu ketika dahulu.

Yang paling penting tetapi diidamkan ialah hilangnya penaja untuk karya yang tersiar dalam Dewan Sastera. Memang suatu ketika dahulu Maybank menaja karya yang dirasakan paling baik oleh juri, tetapi kemudian hilang begitu sahaja. Memberikan anugerah kepada karya sastera yang paling bermutu yang terbit dalam Dewan Sastera mesti diteruskan, walaupun yang diberikan sekadar trofi dan bukan wang. Trofi atau anugerah itu pula mesti benar-benar bermakna. Pemberian Oscar kepada pelakon terbaik Hollywood setiap tahun, misalnya, tidak berasaskan wang, tetapi merupakan trofi yang amat bererti dan dikenang. Begitu juga anugerah AIM dalam industri muzik tanah air, material bukan soalnya, tetapi tradisi pengiktirafan yang menjadi kebanggaan itulah yang utama.

Begitulah Dewan Sastera membesar dan perubahan ini dikira perlu untuk membesarkannya lagi supaya bertahan lebih daripada 30 tahun lagi. Dalam dunia moden dengan kegilaan pada teknologi menjadi sembahan aula, Dewan Sastera mesti cekal dan kuat menempuh badai alaf baharu yang menggugah. Jika kita benar-benar berhasrat untuk melihat pembinaan kesusasteraan nasional yang utuh dan dikenal hingga peringkat antarabangsa, Dewan Sastera harus menilai diri, kemudian memilih formula lama yang bererti dan dipatikan bersama-sama dengan unsur baharu yang anjal supaya keunggulan wadah sastera yang diimpikan kemajuannya oleh sejumlah tokoh lama, termasuk Keris Mas, akan terus menjadi reatili.

Dewan Sastera dengan suntikan harapan daripada angkatan baharu akan lebih segar dan terus mantap supaya dapat menjana sastera secara global.

_________________________

Faisal Tehrani atau nama sebenarnya Mohd. Faisal Musa dilahirkan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos 1974. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Dato’ Palembang dan Sekolah Menengah Sultan Muhammad, Melaka. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Kelang. Beliau memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang syariah politik dari Universiti Malaya. Faisal memenangi banyak hadiah sayembara sastera, termasuk Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Drama Berunsur Islam, dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Karya terbaharu beliau ialah novel Profesor (Fixi, 2017), kumpulan esei Sastera adalah Makanan Anjing (Gerakbudaya, 2021), dan penerokaannya dalam dunia novel grafik, Fatah dan Farah, yang disiarkan secara bersiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.