Oleh Fadli al-Akiti
12 Mac 2021, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

sejaSempena 50 tahun Dewan Sastera (DS), sidang editorial menziarahi Sasterawan Negara Dato’ Baharuddin Zainal atau Baha Zain di rumahnya. Baha Zain pernah menakhodai majalah sastera nasional ini sewaktu era kemuncaknya. Ikuti kisah lalu serta perhitungan masa hadapan tentang majalah ini, dan perbincangan beliau tentang gerakan pembangunan sastera yang perlu mendepani realiti masyarakat semasa.

Namun begitu, Dewan Sastera yang memaparkan hal sastera tetap ada unsur kebudayaan, falsafah, kritikan, perdebatan dan nasionalisme. Komuniti sastera merupakan komuniti intelektual, dan para nasionalis banyak terdiri daripada orang sastera, seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Semangat nasionalisme awal Melayu banyak terpancar daripada golongan penulis kreatif yang berlatar belakang guru atau wartawan. Muhammad Yasin Maamor (Pungguk), perintis puisi moden juga seorang guru dan pejuang nasionalisme Melayu.

DS: Cerpen Dato’, “Malam yang Melemparkan” tersiar dalam edisi pertama DS Januari 1971.

Baha: Sebenarnya ada latar belakang menarik yang boleh saya ceritakan tentang penerbitan cerpen itu. Saya pergi ke Indonesia sekitar tahun 1970, tetapi sebelum berangkat ke sana, memang sudah ada gagasan untuk menerbitkan majalah sastera yang khas. Oleh itu, saya, Keris Mas (Kamaluddin Muhamad) dan Tongkat Warrant (Usman Awang) berbincang tentang perkara ini. Sebelum tercetusnya idea penerbitan majalah ini, pada tahun 1969, berlaku peristiwa 13 Mei 1969, yang memberikan kesan yang buruk terhadap negara, terutama di ibu kota Kuala Lumpur. Tetapi di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) senarionya berbeza masa itu, terdapat banyak rakan intelektual bukan Melayu yang berkerumun di DBP, seperti Krishen Jit, Lloyd Fernando, Lim Chee Seng dan Edwin Thumboo dari Universiti Malaya. Antara kami penulis dan ilmuwan, tidak timbul konflik perkauman, malah masih terdapat hubungan yang baik antara kami. Sumber kekuatan kami hanyalah melalui penulisan, penerbitan dan pergaulan dalam kalangan orang kreatif dan ilmuwan. Kami masih berjumpa dan berbincang, tetapi masa itu perbincangan lebih terarah kepada perkara penyatuan bangsa. Hubungan kami menimbulkan keinginan intelektual untuk memikirkan cara menjalinkan hubungan dan penyatuan yang lebih akrab. Di sinilah tercetusnya idea supaya ada suatu penerbitan dalam bahasa Melayu yang boleh merapatkan pemikiran dalam kalangan intelektual. Oleh sebab itu, pada awal penerbitan Dewan Sastera, ada beberapa penulis bukan Melayu yang menulis untuk DS.

Oleh sebab saya perlu berangkat ke Indonesia dan tidak dapat bersama-sama menangani penerbitan majalah ini di Malaysia, saya berjanji kepada Keris dan Tongkat untuk menyumbangkan penulisan kepada DS dari Indonesia. Sepanjang masa di Indonesia, saya mempunyai ruang waktu yang lebih banyak untuk menulis. Oleh sebab itu, “Malam yang Melemparkan” tersiar pada halaman awal edisi sulung DS. Kalau dikaji, cerpen itu merupakan satu eksperimen buat saya tentang hakikat kesedaran diri, yang walaupun kita duduk di satu tempat seorang diri, fikiran kita melayang ke belakang, ingat ke depan, kiri dan kanan. Ada satu pendulum diri yang membuai-buai tidak duduk pada satu tempat tetapi bermula pada titik tengah, iaitu diri fizikal kita. Satu “eksposisi sentris” dalam kajian psikologi.

DS: Lebih menariknya bagi penerbitan awal DS, seorang tokoh agamawan modenis, iaitu Keris Mas boleh sebumbung dengan seorang universal sosialis, iaitu Usman Awang untuk sama-sama membangunkan penerbitan DS.

Baha: Ini sebenarnya cerita yang menarik. Keris Mas merupakan seorang intelektual dan pejuang bahasa dan sastera yang berbeza dengan orang lain kerana beliau mempunyai latar asas agama dari maktab agama di Sumatera. Walaupun begitu, beliau tidak kolot, boleh bertoleran dengan pelbagai perangai dan pemikiran karyawan, seperti kebaratan dan sebagainya. Keris boleh bergaul dengan semua orang tetapi kekal berpendirian teguh. Keris amat rapat dengan A. Samad Ismail, yang juga seorang pemikir tetapi dari dunia yang berbeza daripada Keris. Tongkat seperti adik dengan Keris. Orangnya romantik, sedikit segan dengan Samad dan Keris kerana menganggap mereka berdua sebagai mentor dan abang. Malah, yang kahwinkan Tongkat ialah Keris dan Samad juga! Tongkat pula tidak suka berhujah dengan kita, walau beliau tidak bersetuju beliau hanya akan mengangguk kepalanya. Ketiga-tiganya sudah saling kenal-mengenal di Singapura lagi, malah dipanggil The Three Musketeers! Kedua-dua Samad dan Keris pejuang yang juga terlibat dalam politik. Setelah berpindah dari Singapura, mereka berhimpun di Petaling Jaya. Termasuklah Awam-il Sarkam, Wijaya Mala dan lain-lain, semuanya daripada ASAS 50. Para intelektual seperti Syed Husin Ali dan Kassim Ahmad turut berlegar mengelilingi Samad dan Keris. Terdapat kantung-kantung intelektual di sekitar ibu kota yang mengelilingi mereka.

Keris selalu menghadapi kesulitan di DBP kerana orang lain tidak mahu berdebat dengannya, lebih-lebih lagi Tongkat. Tongkat sentiasa menghormatinya, tidak akan membangkangnya. Cuma dengan Samad dan saya Keris dapat berdialog. Keris selalu berjalan ke bilik ofis saya untuk berdialog atau membincangkan sesuatu kepada saya. Sewaktu saya mula menjadi Timbalan Ketua Pengarah, setiap pagi sebelum ke pejabat, Keris akan menghubungi saya, menguji saya, lalu berjam-jamlah saya di telefon sehingga telinga saya sakit. Keris sememangnya seorang pemikir dan pencetus inovasi. Beliau mempunyai gagasan-gagasan. Keris sebagai ketua, bukan sekadar seorang ketua bahagian, tetapi berpemikiran ke hadapan.

DS: Antara ungkapan Keris Mas dahulu ialah “Wajah DBP itu Dewan Sastera.” Namun begitu, bukankah majalah Dewan Bahasa dan Dewan Masyarakat hadir lebih awal?

Baha: Memang jurnal (sebelum berubah menjadi majalah) Dewan Bahasa merupakan penerbitan paling lama DBP yang memaparkan perihal bahasa. Dewan Masyarakat pula memaparkan hal masyarakat umum. Namun begitu, DS yang memaparkan hal sastera tetap ada unsur kebudayaan, falsafah, kritikan, perdebatan dan nasionalisme. Komuniti sastera merupakan komuniti intelektual, dan para nasionalis banyak terdiri daripada orang sastera, seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Semangat nasionalisme awal Melayu banyak terpancar daripada golongan penulis kreatif yang berlatar belakang guru atau wartawan. Muhammad Yasin Maamor (Pungguk), perintis puisi moden juga seorang guru dan pejuang nasionalisme Melayu. Pada zaman dahulu, guru, penulis, pemikir, ahli politik, sasterawan, wartawan, editor bercampur, bukan seperti sekarang, terlalu mengkhusus pada satu bidang, jarang-jarang berlaku silang kepakaran. PENA pun dahulu satu wadah perjuangan nasionalisme Melayu, bukan seperti sekarang yang amat intelektual.

DS: Boleh Dato’ ceritakan budaya kerja sidang editorial DS dahulu di DBP?

Baha: Secara peribadinya, saya tidak menghadapi apa-apa masalah dengan budaya kerja para editorial waktu dahulu, kecuali, biasalah, ada seorang dua hero. Tongkat sendiri seorang editor yang tekun kerjanya. Hanya beliau selalu mengadu kepada saya kerana terlalu ramai yang datang menemuinya sebagai konsultan. Beliau akan bekerja sampai lewat petang menyiapkan artikel. Sememangnya, Tongkat seorang yang pemurah dan tidak pandai memarahi orang. Duitnya pun orang pinjam.

DS: Sekarang di sekolah, para pendidik kurang memberikan perhatian pada kesusasteraan. Banyak kelas sastera yang ditutup. Bukan seperti era 1970-an dan 1980-an. Mungkinkah sebab itu orang sudah tidak memandang DS?

Baha: Saya berpandangan ada beberapa faktor. Antaranya, faktor sosial budaya dan persekitaran yang melalui perubahan zaman. Pada zaman selepas merdeka, pejuang nasionalis sebenarnya digerakkan oleh kelompok sasterawan bersama-sama orang politik. Waktu itu sastera dengan semangat perjuangan kebangsaan semacam sinonim. Begitu juga para wartawan dan sasterawan. Imej sastera dulu bukan memfokuskan sastera semata-mata tetapi sastera yang fungsional, iaitu sastera yang memberikan makna pada masyarakat. Pejuang massa. Karya mereka memancarkan perjuangan menentang penjajah dan kemudian kelas elit, seperti protes politik Teluk Gong dan Keranda 152 yang melibatkan bukan sahaja penulis, tetapi aktivis politik dan rakyat biasa. Penulis dahulu ialah penulis yang mempunyai fungsi sosial, ada kecenderungan politik terutamanya berhaluan kiri. Antara nama penulis yang menyertai politik termasuklah Shahnon Ahmad, M. Noor Azam, Kassim Ahmad dan Syed Husin Ali. Noor Azam contohnya, orang UMNO, tetapi apabila ada perjuangan bahasa dan sastera, beliau memihak pada perjuangan sebegitu. Samalah seperti PENA dahulu, memang anti golongan berkuasa. Oleh itu, sastera, politik, kekuasaan dan anti golongan berkuasa berbaur pada masa itu. Perkara ini berlarutan sehingga akhir 1980-an.

Namun apabila zaman semakin canggih, pemodenan membawa pengkhususan, lalu sastera sudah menjadi bidang yang khusus, sasterawan bukan lagi orang politik tetapi sasterawan murni, baik cerpenis mahupun penyair. Penulis hanya menjalankan tugas semata-mata sebagai penulis sastera. Hanya orang sastera dan peminat sastera yang melihat imej sastera sekarang. Jika ada penulis yang anti golongan berkuasa kini, mereka lebih anti golongan berkuasa yang individualistik. Penulis sekarang tidak mempunyai sikap seperti penulis dahulu. Contohnya demonstrasi PPSMI, berapa ramai sahaja golongan penulis yang bersama-sama memprotesnya? Berapa ramai yang sanggup berarak di jalan raya? Sekarang pun saya tidak fikir ada satu kebangkitan yang besar. Adakah GAPENA atau PENA sanggup buat?

DS: Kini terdapat kelesuan kritikan sastera dalam kalangan akademik. Mana Sikana menyatakan, sudah tiba masanya kritikan sastera diambil alih oleh penulis umum.

Baha: Saya bahagikan para pengkritik pada dua kelompok, iaitu para akademik dan para pemikir yang bukan ahli akademik. Bagi saya, tidak semestinya pengkritik terdiri hanya daripada ahli akademik. Pengkritik sastera, eseis dan pembicara sastera perlu terdiri daripada golongan pemikir, yang tidak perlu hadir daripada kalangan sarjana universiti. Seperti di Indonesia, pemikir sastera dari luar kampus jauh lebih hebat dari dalam kampus. Kadang-kadang ahli akademik terlalu patuh pada disiplin ilmu, sehingga menghasilkan perbicaraan yang kurang menarik. Saya juga risau dengan pendidikan sastera di universiti sekarang. Adakah sudah mula tidak dinamik? Sudah tidak mampu melahirkan sarjana yang multi disiplin ilmu? Hal ini berbeza dengan zaman dahulu apabila ahli akademik menguasai pelbagai disiplin ilmu kerana universiti membuka penawaran disiplin ilmu yang pelbagai. Adakah sekarang di universiti, masuk tahun kedua sudah perlu menduduki bidang khusus?

Bagi saya, pengkritik sastera yang baik bukan sekadar mempunyai disiplin sastera dan linguistik tetapi multidisiplin. Dia mungkin sosiologis, sejarawan, atau ahli ekonomi. Mana-mana intelektual pun tidak boleh memikirkan satu bidang sains sahaja, mereka perlu suka seni, budaya, sastera, sosiologi, sejarah dan lain-lain. Dahulu, Syed Husin Ali daripada pengajian Melayu tetapi arif dengan pelbagai disiplin yang kemudian menjadi sarjana sosiologi dan ekonomi. Ismail Hussein dan Kassim Ahmad, mereka arif dalam pelbagai disiplin. Di Indonesia pula, pengkritik sastera yang bagus seperti Umar Kayam datang daripada bidang sosiologi. Goenawan Mohamad daripada bidang psikologi. Bagi saya, pengkritik sastera yang bagus mestilah seorang yang sudah tersedia multidisiplin, yang boleh menghubungkan sastera dengan perubahan masyarakat, permasalahan sejarah dan nilai-nilai budaya. Jika sebaliknya, pengkritik hanya akan bercakap tentang bahasa, plot, terlalu berstruktur, dan bukan kandungannya. Bagi orang awam, mereka mahu melihat sastera dibincangkan dalam konteks kehidupan masyarakat yang mereka sendiri lalui.

DS: Sekarang, penulis menulis kerana suka-suka, tak ramai yang serius dengan tulisannya.

Baha: Kita harus melihat generasi penulis sekarang dalam konteks masyarakat kita. Jika dilihat orang politik pun, dahulu diwakili orang kampung yang berjuang, bersemangat kebangsaan. Kini, amanah mereka dipersoalkan. Objektif hidup dan persekitaran sudah berubah. Oleh sebab itu, saya tidak hairan, penulis sekarang menulis semacam hobi yang hanya menulis untuk ekspresi diri, suatu aspirasi peribadi, bukan menulis untuk satu proses memperkayakan bahasa dan kesusasteraan nasional, apatah lagi sebagai alat perjuangan. Berbeza dengan zaman dahulu, penulis seperti Tongkat dan Keris, mereka berjuang melalui media massa, walaupun Keris boleh dianggap sebagai elit, tetapi beliau tidak mengasingkan dirinya daripada isu masyarakat.

Tetapi kita tidak boleh menyalahkan penulis sekarang kerana keperluan hidup sudah mencukupi, dan penulisan hanya sebagai hobi untuk mengisi ruang lapang, bukan lagi sebagai satu perjuangan. Faktor sosial budaya menjadikan sastera sebagai ekspresi diri individual, ibarat melukis untuk hiasan semata-mata. Seperti pelukis sekarang pun, jika dahulu lebih banyak lukisan figuratif dan orang miskin, kini lebih banyak lukisan abstrak dan ekspresionis. Alam pun sudah tidak dilukis. Saya rasa hal ini merupakan perubahan psiko-emosi yang turut menyebabkan masyarakat disusun secara fragmented. Hal ini sama seperti yang berlaku dalam persatuan penulis kita. Saya pun tidak pernah mengkaji sejauh mana penulis sekarang berjuang untuk rakyat. Bentuk penulisan individualistik sekarang mungkin baik dari segi nilai sasteranya, tetapi saya tidak tahu jika ada yang memberikan makna kepada masyarakatnya.

DS: Dengan fenomena COVID-19 ini, cara kerja sudah berubah. Bahagian Majalah DBP pun mengamalkan budaya bekerja di rumah. Adakah ini evolusi pekerjaan yang baik?

Baha: Ketika saya bersendirian, saya suka berfikir tentang hal-hal seperti ini. Saya rasa PENA perlu ada penilaian semula yang kritikal ke arah mana mereka hendak tuju, juga bahagian penerbitan DBP, terutamanya Bahagian Majalah. Bahagian Majalah mempunyai ruang untuk mengubah minda masyarakat secara kolektif. Ruang yang ada ini sangat berkuasa untuk menentukan hala tuju yang diingini. Dulunya, Bahagian Majalah mempunyai aspirasi sedemikian, iaitu memperjuangkan bahasa Melayu dan keadilan sosial. Secara peribadi, saya amat bimbang terhadap bangsa Melayu, kerana sudah tidak ada lagi perjuangan yang jelas. Mungkin sebagai seorang individu mereka ada, tetapi bukan sebagai sebuah komuniti. Sidang editorial penerbitan perlu mencari jalan untuk menanamkan nilai baharu serta nilai mutu kerja yang serius.

DS: Kini diskusi tentang sastera siber dan sastera komunikatif sedang popular. Pandangan Dato’?

Baha: Saya berpandangan, kita tidak boleh berundur balik terhadap kepantasan dunia sekarang, namun cara dan budaya menikmati sastera sebegini lebih pantas, informatif dan artifisial, menyebabkan kita terpaksa menjadi penerima maklumat tanpa sempat berfikir panjang. Hal ini berbeza dengan karya yang bercetak, seperti majalah atau jurnal dengan teks yang panjang, yang kita dapat duduk baca, cerna dan memberikan buah fikiran, malah boleh diletak sebentar sebelum disambung baca. Pengguna media sosial sekarang terpaksa cepat-cepat menatap pos dan tulisan, lebih cenderung menjadi pemikir yang superfisial tetapi kaya dengan maklumat. Jika mereka hendak berdialog, wacananya kurang jelas kerana mereka tidak mampu menstrukturkan subjek itu dalam minda.

DS: Kini sudah ada kecerdikan buatan yang bukan sahaja pandai menulis novel tetapi sudah boleh menjadi penyair. Apakah masa hadapan penulis sekarang?

Baha: Saya percaya satu perkara, yakni kita perlu faham dan pegang nilai-nilai Melayu Islam. Berkenaan teknologi baharu ini, mungkin dari segi bahan bacaan, kita boleh baca, tetapi adakah teknologi sebegini mampu memahami dan menyampaikan persoalan tentang nilai dan pengalaman kebaikan? Kecualilah jika mereka “pemikir”.

DS: Pada pembentangan belanjawan baru-baru ini, ramai agak kecewa apabila inisiatif terhadap industri pembukuan dan sastera kurang diberikan perhatian.

Baha: PENA dan GAPENA perlu menjadi pemikir tentang bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu. Mereka perlu mencari penyelesaian yang praktikal, konkrit dan mampu dilaksanakan. Mereka perlu perjelas dahulu permasalahan budaya, pendidikan dan intelektual yang mutakhir. Mereka perlu berjumpa pemimpin untuk menyatakan hasrat mereka. Dalam hal ini, DBP sendiri perlu membina penulis yang berwibawa. DBP harus menyatakan hala tuju yang jelas kepada penulis tentang matlamat DBP. Pelbagai cara boleh dijalankan, contohnya dahulu DBP ada perkampungan penulis atau writers residency. Penulis-penulis ini bukan sahaja menghasilkan karya, beri ceramah, tetapi perlu berdialog dengan pelbagai editor dan karyawan di DBP. Oleh itu juga, peranan, tugas dan tanggungjawab editor di DBP perlu dinilai semula. DBP perlu menyusun semula perancangan dan pemetaan yang merangkumi hal-hal ini. Pembinaan bakat misalnya, bukan sahaja untuk berkarya tetapi untuk berfikir. DBP mempunyai ruang dan cara untuk melakukan pelbagai perkara untuk membangunkan bangsa Melayu.

DS: Apakah detik yang menyeronokkan Dato’ sewaktu mengetuai DS dahulu?

Baha: Saya sebenarnya seronok dengan kerjaya saya ketika itu. “Keseronokan” itu sebenarnya kerana saya dapat memperjuangkan perkara yang besar, iaitu nasib bahasa Melayu dan penerbitan dalam bahasa Melayu. Saya rasa komitmen dan tumpuan saya terhadap perjuangan bahasa dan sastera menggembirakan saya. Bahasa dan sastera sudah menjadi darah daging saya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.