30 Mei 2023, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Mata pelajaran sastera perlu diperkenalkan seawal peringkat sekolah rendah lagi supaya dapat melahirkan murid yang mengenali dan membaca bahan sastera.

Saranan tersebut dikemukakan oleh Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah ketika sesi pergulungan dan rumusan Simposium Sastera Malaysia di Hotel GoodHope, Skudai, Johor.

Beliau telah merumuskan beberapa perkara yang perlu diangkat dan diketengahkan kepada pihak yang berautoriti bagi merealisasikan cadangan dan percambahan fikiran para sarjana dan pembentang kertas. Ujarnya,

Satu mata pelajaran khusus yang berkaitan dengan kesusasteraan Melayu perlu dilaksanakan seawal peringkat sekolah rendah bagi membiasakan dan melatih pemikiran murid terhadap bahan bacaan yang bersifat sastera.

Selain itu, hal ini juga memerlukan kesinambungan dengan tambahan subjek Penulisan Kreatif pada peringkat sekolah menengah sehingga dilanjutkan ke peringkat universiti di semua Institut Pengajian Tinggi Awam. Jika usaha ini berjaya dilaksanakan secara konsisten, negara dapat membina penulis yang berwibawa sekali gus melahirkan rakyat yang berfikiran kreatif dan kritis.

Jelasnya lagi, murid juga haruslah dihidangkan dengan bahan bacaan karya-karya Sasterawan Negara dan penulis mapan bermula pada peringkat sekolah rendah dalam usaha menghasilkan murid yang berfikiran matang dan kreatif.

Selain itu, Encik Haji Hamzah Hamdani yang merupakan Naib Presiden Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) menyarankan agar pengiktirafan, penghargaan dan penganugerahan kepada para penulis sastera juga perlu diperhebat supaya dunia sastera tidak dipandang sepi dan diletakkan pada kelas kedua. Katanya lagi,

Kerajaan negeri disarankan supaya menganjurkan dan memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh sastera yang layak diangkat sebagai sasterawan negeri sebelum dicalonkan pada peringkat kebangsaan dalam Anugerah Sastera Negara.

Simposium yang berlangsung selama dua hari bermula pada 26 hingga 27 Mei lepas mengangkat tema “Sastera dalam Jalur Madani”. Simposium ini merupakan hasil kerjasama secara bersama Persatuan Penulis Johor (PPJ), Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Majlis Permuafakatan Penulis Malaysia (MPPM).

Simposium ini berfokuskan kepada tiga teras utama, iaitu pendidikan sastera, pengiktirafan sastera dan perekonomian sastera.

Simposium telah telah disempurnakan oleh YB Suhaizan Kaiat, Setiausaha Politik kepada YB Datuk Seri Haji Salahuddin Ayub, merangkap wakil rasmi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Turut hadir dalam simposium tersebut ialah Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP dan Encik Mohd. Riduwan Wahab, Pengarah DBP Wilayah Selatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.