Oleh Firdaus Mul
10 Ogos 2023, 18:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keberhasilan pengajaran karya kreatif dalam pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu di peringkat sekolah sememangnya ditentukan oleh pendidik yang ditugaskan untuk mengajarkan subjek berkenaan.

Perkara ini turut diterangkan secara terperinci oleh Dr. Shamsuddin Othman yang juga merupakan pensyarah Universiti Putra Malaysia, selaku tetamu undangan dalam rancangan sembang tamu anjuran DBP baru-baru ini.

Menurut beliau, kemahiran kreatif merupakan kemahiran yang berkaitan rapat dengan kurikulum, khususnya dalam aspek kemahiran berbahasa dan mengarang. Bagi beliau, kemahiran mengarang merupakan asas kepada kemahiran menghasilkan karya kreatif. Jelasnya lagi,

Dalam konteks pendidikan, murid sebenarnya telah melalui suatu proses pembelajaran yang berhubungan dengan proses kreatif. Dalam teori penulisan kreatif, penghasilan sesuatu karya itu mestilah bermula dengan pencarian idea, kemudian berlakulah proses pengeraman idea tersebut yang menyebabkan terhasilnya karya.

Selain itu, beliau juga turut mengupas tentang pengajaran karya kreatif yang dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar sekolah.

Menurutnya, pada peringkat sekolah rendah, dalam buku teks subjek bahasa Melayu, murid sudah didedahkan dengan sastera kanak-kanak. Apabila memasuki pendidikan menengah, terdapat teks khusus dikenali sebagai teks KOMSAS (komponen sastera). Di dalan teks komsas ini terkandung puisi, prosa dan drama. Jelasnya lagi,

Bahan bacaan dalam teks KOMSAS memberikan keutamaan dalam membentuk kemahiran lisan, membaca dan mengarang. Apabila murid telah menguasai kemahiran membaca ataupun berkomunikasi dengan nada dan struktur, maka timbullah minat menghasilkan puisi dan cerpen.

Selanjutnya, beliau juga menyatakan harapan agar para guru dapat memastikan kemahiran berbahasa dalam falsafah pendidikan difahami serta sekurang-kurangnya dapat meningkatkan penguasaan bahasa pada peringkat asas.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.