Oleh Adib MN
6 Januari 2025, 07:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Adib MN memuji inisiatif pelaksanaan Baucar Buku MADANI yang dilancarkan tahun lepas, menampakkan impak positif dengan pencapaian penebusan 100 peratus untuk sekolah. Beliau juga mencadangkan beberapa program iringan untuk dilaksanakan demi memperkasa pembinaan masyarakat membaca dan berilmu.

Sebahagian besar daripada jumlah itu akan masuk ke kantung syarikat penerbitan, yang tentunya akan menjadi modal pusingan untuk menerbitkan judul baharu atau mengulang cetak, secara tidak langsung akan turut memanfaatkan rantaian pasaran yang lain termasuk percetakan, pembekal dan kedai buku.

Tahun 2025 dibuka dengan sejalur sinar menerangi budaya membaca di negara ini apabila inisiatif Baucar Buku MADANI diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 tahun lalu, mencapai sasaran penebusan 100 peratus untuk sekolah.

Hal ini bermakna, lebih 3.5 juta murid dan pelajar sekolah rendah serta sekolah menengah memiliki bahan bacaan selain buku teks dan buku rujukan yang diharapkan dapat juga dimanfaatkan oleh ahli keluarga mereka.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam hantaran di media sosialnya, memaklumkan bahawa RM286 juta digunakan untuk menebus lebih 7.8 juta naskhah bahan bacaan.

Sebahagian besar daripada jumlah itu akan masuk ke kantung syarikat penerbitan, yang tentunya akan menjadi modal pusingan untuk menerbitkan judul baharu atau mengulang cetak, secara tidak langsung akan turut memanfaatkan rantaian pasaran yang lain termasuk percetakan, pembekal dan kedai buku.

Dengan mekanisme sebegini, nampaknya penyakit dahulu, iaitu lebih separuh baucar buku digunakan bukan untuk buku sudah tidak berlaku lagi dengan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada harga buku bergerak masuk ke dalam industri.

Pujian wajar diberikan kepada Perbadanan Kota Buku (PKB) yang berdasarkan media sosial mereka dan cakap-cakap dengan penggeraknya, bertungkus-lumus memastikan baucar berkenaan ditebus, termasuk mereka dan syarikat penerbit masuk ke kawasan pedalaman.

Hal Ini kerana, jika mereka tidak berbuat demikian, berkemungkinan kawasan rumah panjang di Sabah dan Sarawak atau desa di hulu Kelantan, FELDA di Pahang dan perkampungan Orang Asli di Perak umpamanya, penebusan di setiap negeri tidak akan mencecah sasaran yang ditetapkan.

Kita dapat saksikan bagaimana gembiranya birokrat di PKB ketika sebahagian rakyat Malaysia bersiap-siap untuk menyambut kedatangan tahun baharu tetapi mereka bersengkang mata dan memerah kudrat “jari” untuk menguruskan penebusan baucar tersebut.

Walau bagaimanapun, pengenalan baucar buku baru memang memberikan kesan langsung yang memang jelas kelihatan kepada industri buku, tetapi hal ini baru menjadi langkah pertama dalam pembudayaan membaca, terutamanya kepada murid dan pelajar di sekolah.

Justeru, inisiatif penting dalam pembinaan masyarakat membaca dan berilmu memerlukan program dan aktiviti lanjutan yang dapat memastikan benih yang ditaburkan oleh kerajaan akan menghasilkan padi berisi, bukan hampa.

Antara inisiatif yang difikirkan perlu dilaksanakan di seluruh Malaysia:

  1. Program Membaca 10 Minit Sehari

Setiap hari persekolahan sepatutnya dibuka dengan membaca buku selama 10 minit, yang bukan sahaja dilakukan oleh murid dan pelajar, bahkan guru serta pentadbir dan kakitangan sekolah. Buku dipilih mestilah yang tidak termasuk dalam sukatan pelajaran, yang boleh dibawa dari rumah dan diletakkan di rak buku khas di setiap kelas. Amalan ini dapat memupuk minat membaca secara kolektif dan konsisten, selain membentuk persekitaran yang baik dan mewujudkan teladan daripada pendidik dan pengaruh rakan sebaya.

  1. Acara Bicara Buku Berkala

Sekolah boleh menganjurkan sesi ulasan buku secara berkala, sama ada setiap tiga atau empat bulan, malah paling baik diadakan sebulan sekali. Sebenarnya, sekolah tidak perlu menjemput tokoh dari luar, sebaliknya guru dan pelajar sendiri boleh berkongsi pandangan mengenai buku yang dibaca, apatah lagi memang sudah ada program ulasan NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca di sekolah-sekolah. Hal ini sebenarnya dapat mencetuskan bibit-bibit diskusi dan wacana intelektual yang sihat, sekali gus mendedahkan warga sekolah kepada kemahiran mengolah idea sehingga dapat bercakap dengan fasih dan berkesinambungan. Hal ini juga dapat memperkenalkan buku terutamanya karya agung terdahulu dan terkini kepada seluruh murid serta pelajar. Sekurang-kurangnya, mereka mengetahuinya secara umum.

  1. Program Literasi Bersama Syarikat Korporat

Saya mencadangkan agar KPM bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat besar untuk menganjurkan program literasi berskala besar. Aktiviti seperti bicara buku, wacana, rancangan bual bicara, dan podcast (audio siar atau “siniar”) mengenai satu karya penting boleh diadakan dengan dana yang disalurkan oleh pihak korporat.

Acara tahunan ini boleh diadakan sempena Hari Buku Sedunia yang jatuh pada 23 April, atau sekiranya dirasakan terlalu singkat untuk membuat perancangan, manfaatkan Hari Celik Huruf Antarabangsa pada 8 September. Bagi acara sebesar ini, pihak sekolah dengan dana yang diberikan oleh KPM dan ditampung juga oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan alumni masing-masing atau tajaan syarikat luar, patut menampilkan sasterawan, pengarang, penulis, wartawan, budayawan, dan sarjana (tempatan atau antarabangsa), serta disiarkan secara langsung di media sosial dengan tanda pagar seperti #MalaysiaMembaca #GenerasiMembaca #BacaGayaKita #SekolahMalaysiaMembaca, dan sebagainya.

  1. Sayembara Ulasan Buku

Pihak sekolah juga boleh menganjurkan pertandingan ulasan buku yang menilai bukan pada kuantiti data buku yang dimasukkan (misalnya dalam program NILAM), sebaliknya cukup sekurang-kurangnya satu ulasan, tetapi ditulis daripada semangat membaca dan berkongsi pandangan mengenai pembacaannya. Hal ini sebenarnya dapat menggalakkan murid dan pelajar untuk menzahirkan pemahaman dan apresiasi mereka.

  1. Perluas Baucar Buku MADANI kepada Guru

Sebenarnya, budaya membaca sama pentingnya dipupuk kepada guru dan pentadbir sekolah, sekali gus wajar sekali untuk mereka turut diberikan baucar buku. Hal ini kerana, seperti kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya, bagaimana contoh begitulah gubahannya. Hakikat yang pedih untuk kita terima ialah budaya membaca juga tidak subur dalam kalangan guru sendiri.

Ini hanyalah sebahagian daripada cadangan dan syor yang boleh dilakukan di sekolah, di bawah payung KPM yang bertindak sebagai penyelaras pada agenda menjadikan budaya membaca sebagai persekitaran sihat di sekolah. Tentu banyak lagi idea yang boleh dipukat sekiranya KPM mengadakan libat urus dengan pelbagai pemegang taruh di negara ini.

Hakikatnya, inisiatif Baucar Buku MADANI menjadi isyarat penting bahawa budaya membaca di negara ini boleh dikembangkan dan ditambah baik melalui kerjasama semua daripada sektor awam kepada swasta, dan dari dalam sekolah hingga keluarga dan masyarakat di luar pagar institusi pendidikan tersebut. Apa yang penting, inisiatif baucar buku tidak terhenti dengan wujudnya pusat sehenti buku, sebaliknya pancaran sinar itu berpencaran ke seluruh negara apabila dibawa oleh murid, pelajar, guru, dan pentadbiran, bahkan kakitangan am sekolah itu sendiri.

______________________________

Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif yang mengamati sastera dari jarak dekat.

Kredit Foto: Sean Kong/Unsplash
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.