6 Julai 2022, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penulisan artikel atau rencana di media, sama ada bercetak mahupun secara dalam talian menuntut kemahiran dan disiplin-disiplin tertentu. Hal ini kerana konsep penulisan artikel adalah separa ilmiah, popular dan bukan penulisan akademik. Penulisan sebegini tidak perlu mukadimah yang panjang tetapi terus kepada topik perbincangan. Penggunaan bahasanya harus mudah, iaitu dengan meninggalkan laras bahasa bidang profesional (tanpa merendahkan subjek utama yang mahu ditulis) dan menarik, yakni menepati falsafah dan editorial majalah.

Menyedari kepentingan ini, satu Bengkel Penulisan Artikel Berkesan 2 (lanjutan) anjuran Studio Nisah Haron telah pun diadakan pada Sabtu, 2 Julai 2022 dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang. Bengkel ini memanfaatkan pelantar Google Meet dan menampilkan Puan Nisah Haron dan Puan Rozninah Abd. Azib sebagai pembimbing.

Bengkel ini juga merupakan kesinambungan pada bengkel penulisan artikel berkesan (asas) yang pernah dianjurkan sebelum ini. Selain pengisian yang lebih terperinci, peserta didedahkan dengan kaedah dan pendekatan penyampaian menukang sebuah artikel yang baik, berkesan dan magnetik.

Terdapat tujuh kaedah pendekatan penyampaian dalam penulisan artikel:
• pendedahan/pemerihalan;
• penerangan, penceritaan;
• pemujukan;
• pelaporan;
• pengulasan; dan
• penghujahan.

Dalam bengkel ini, Nisah Haron telah menghuraikan secara terperinci contoh-contoh artikel yang menggunakan kaedah pendedahan, penerangan dan penceritaan. Jelas Nisah, pendekatan pendedahan adalah bertujuan untuk menyampaikan maklumat tentang benda/tempat/seseorang atau proses, iaitu matlamatnya ialah pemberitahuan semata-mata tanpa menginginkan tindak balas daripada pembaca. Kaedah ini diguna pakai untuk meningkatkan kesedaran awal.

Kaedah penerangan pula bertujuan untuk menerangkan sesuatu subjek atau peristiwa secara terperinci supaya pembaca dapat melihat visual subjek secara jelas. Oleh sebab itu, artikel sebegini harus dimasukkan data, maklumat dan fakta yang diperoleh melalui penyelidikan, pengamatan dan pemerhatian.

Nisah menggunakan contoh penulisan artikel tentang COVID-19 oleh pengamal perubatan pada awal tahun 2020. Pada masa itu, virus COVID-19 masih baharu dan tidak diketahui umum. Namun begitu, kesedaran tentang bahayanya virus ini perlu disebarluaskan dan ditingkatkan. Maka, kaedah penyampaian yang terbaik adalah melalui pendekatan pendedahan.

Rozninah menyampaikan tip menulis rencana yang magnetik.

Berlainan pula untuk tahun 2021, pengetahuan tentang virus ini semakin luas dan mendalam. Hasilnya, semakin banyak data, maklumat dan fakta diperoleh. Oleh hal yang demikian, kaedah penyampaian yang bersesuaian apabila menulis artikel sebegini adalah dengan menggunakan kaedah penerangan, iaitu artikel ditulis lengkap dengan data kematian dan data sembuh serta segala yang berkaitan dengan virus COVID-19. Jelasnya, sebelum memulakan penulisan, penulis harus jelas tentang tujuan artikel itu ditulis, supaya kaedah penyampaian yang digunakan bersesuaian, lantas dapat difahami oleh khalayak sasaran.

Hal ini turut disokong oleh Rozninah. Katanya, “Adakalanya, penulisan itu sangat bagus dan sarat dengan maklumat baharu tentang satu-satu tempat atau organisasi. Namun begitu, disebabkan oleh kegagalan mengenal pasti kaedah penyampaian pendekatan yang sesuai, artikel jadi tidak menarik dan tidak meyakinkan editor untuk menerbitkannya.”

Dalam satu sesi, Nisah menerangkan ciri-ciri penting dalam penulisan artikel berkesan.

Rozninah turut “membedah” dua artikel daripada alumni bengkel penulisan artikel, menghuraikan secara terperinci kaedah pendekatan yang bersesuaian dan menstrukturkan artikel tersebut supaya lebih mudah dibaca dan difahami. Tambahnya, untuk menghasilkan penulisan artikel yang bersifat “magnetik”, yakni menarik seperti sifat magnet, penulis seharusnya sudah sedia maklum tentang ruangan apakah yang mahu diisi dalam satu-satu majalah, barulah tulisan itu berfokus dan menepati kehendak editorial majalah.

Rata-rata, peserta berasa teruja dan bersemangat untuk mencuba menulis artikel menerusi medium majalah yang tersedia seperti majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Peserta bengkel terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan; pegawai penyelidik, pegawai pertanian, editor, pegawai kewangan, dan juga usahawan makanan. Adalah diharapkan dengan kesungguhan para peserta ini, media tanah air akan terisi dengan penulisan artikel yang berkesan dan “magnetik”, menarik dan memancing editor,  selain dapat dimanfaatkan oleh khalayak sasaran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.