Diterbitkan pada 22 Januari 2022, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Norsamila Samsudin membawa kita mengharungi perjalanan roh ala The Divine Comedy kita yang tersendiri, ditulis oleh Sasterawan Negara Arena Wati pada tahun 1993.

Buanglah segala logik realiti, tetapi fokus pada ilmu al-Quran dan janji Tuhan, kerana pengembaraan ke alam roh oleh Arena Wati ini ada menyentuh tentang apa-apa yang diceritakan juga dalam al-Quran, walaupun bentuk tulisnya sudah diubah kepada bentuk naskhah sastera naratif.

Panrita (DBP, 1993) merupakan karya Sasterawan Negara Arena Wati yang dikategorikan sebagai sebuah novel absurd. Kisah pengembaraan ke alam roh merupakan suatu bentuk penulisan fiksyen yang berani daripada Sasterawan Negara kelima ini. Pada awal prakatanya, sudah dimaklumkan bahawa novel ini hanyalah sebuah cereka yang sumber ideanya menerawang daripada punca akal yang penuh persoalan tentang alam yang tidak kelihatan, malah tidak mampu diceritakan. Jangan dipertikaikan akan logik akal, apatah lagi perkara yang berkait dengan kefahaman terhadap kesyirikan.

Buanglah segala logik realiti, tetapi fokus pada ilmu al-Quran dan janji Tuhan, kerana pengembaraan ke alam roh oleh Arena Wati ini ada menyentuh tentang apa-apa yang diceritakan juga dalam al-Quran, walaupun bentuk tulisnya sudah diubah kepada bentuk naskhah sastera naratif.

Watak utamanya (dikenali sebagai Omba) berada di alam roh. Alam di antara hidup dan mati atau lebih tepat, watak utama ini di bumi sedang dalam keadaan koma di sebuah hospital. Ketika hidupnya, dia merupakan seorang tuan besar. Namanya gah dan masyhur, malah dimuliakan di negaranya. Akan tetapi, di alam “jabarut”, nama yang gah yang telah dibinanya itu tiada erti lagi kecuali gelaran akronim bagi memudahkan watak ini dipanggil. Omba – Orang Model Baharu.

Perjalanan Omba di alam jabarut bersama Sukma – Saudara Kembar Manusia. Sukma sebenarnya merupakan serpihan diri Omba. Sukma sebenarnya jelas menjadi refleksi diri tentang amal dan dosa Omba ketika hidup di bumi.

Perjalanan Omba di alam jabarut atau alam transit ini boleh dianggap sebagai peluang kedua untuk watak ini melihat dirinya yang penuh dosa dan perlu digantikan anggota tubuhnya agar lebih suci. Akan tetapi, pencarian anggota tubuh baharu di alam roh yang dilaluinya sering kali menemui ujian dan kegagalan.

Kegagalan itu bukan sahaja mengajar Omba sesuatu tetapi juga kita sebagai pembaca, bahawa pencarian itu ada waktunya bukan apa-apa, sebaliknya merupakan suatu pengalaman pengajaran (yang lebih dititik beratkan) sewaktu proses pencarian itu dilalui.

Arena Wati juga membawa kita mengenali watak-watak agung yang berada di alam roh ini. Ditampilkan, mereka amat hebat (dan menempa sejarah) di bumi, tetapi apabila diteliti di alam jabarut – keji. Anggota tubuh badan mereka yang hendak diambil oleh Omba juga banyak dosanya. Watak seperti Zeus, Oedipus, Hedes, dan Hamzah Fansuri; disingkap sejarah hidup mereka oleh Arena Wati dalam bentuk fiksyen, yang dasarnya dikutip daripada mitos, sumber sejarah dan kisah benar.

Watak suci seperti Eros dan Aphrodite (daripada sumber mitos Yunani Purba) dijelmakan semula. Diceritakan yang Eros dan Aphrodite ini pasangan seniman beriman, tetamu kesayangan Saddam di Iraq. Mereka syahid ketika pihak Amerika Syarikat melancarkan sistem carpet bombing. Beginilah kreatifnya sasterawan hebat ini menyelit dan menjalinkan cebisan watak yang dikenali di dunia menjadi watak-watak garapan seni dalam naratif novel ini.

Sinis Arena Wati jelas dalam perkara yang melibatkan kuasa besar dunia. Malah, beliau turut menyindir beberapa watak pemimpin yang korup dan mengambil kesempatan ketika memegang jawatan.

Penceritaan yang diselang-selikan dengan watak-watak yang terlibat dengan sejarah dunia membuka mata dan minda pembaca untuk menyelam lebih dalam kisah mereka. Banyak lagi watak lain yang dimunculkan oleh Arena Wati, termasuklah Ibnu Sina, Harun al-Rasyid, Hay ben Yakzan (putera Ja’afar Barmaki, Perdana Menteri Baghdad), Abu Nawas, Puteri Gunung Ledang, dan beberapa watak lagi. Sejarah mereka dijelmakan semula. Watak yang memiliki karya juga, karyanya diangkat agar kita yang membaca sedar akan kewujudannya.

Di alam roh ini juga, Arena Wati menyedarkan kita bahawa setiap anggota tubuh kita ialah amanah. Setiapnya perlu dijaga dan diguna sebaik-baiknya agar tidak menyesal sebagaimana Omba. Mencari yang baharu dan sepadan memang sukar, yang akhirnya terpaksa memasang semula anggota asal.

Satu-satunya cara sebelum watak ini disedarkan daripada koma untuk peluang kedua, adalah dengan penyucian seluruh tubuh mereka. Penyucian yang dilakukan dengan zikir yang panjang, yang pelbagai. Yang memuji nama dan sifat Pencipta tanpa mengingat dunia, hatta sepicing pun.

Arena Wati juga bijak mencipta dialog yang bercerita tentang fungsi setiap anggota tubuh, yang mana jika tiada salah satu, akan menyukarkan hidup insan. Besarnya dosa setiap anggota tubuh manusia dinilai di alam mizan. Alam pertimbangan. Daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besar perkara.

Watak seperti Panrita Tua, Patriarch, Shih Huang Ti, dan Hamzah Fansuri pula diwujudkan sebagai watak-watak yang menyedarkan dan menginsafkan Omba dan beberapa lagi watak yang terperangkap di dunia roh. Perjalanan di alam asing ini amat panjang. Dengan pelbagai kekeliruan, kekesalan dan seribu pertanyaan. Hal ini bertujuan untuk membantu manusia insaf dan mentadbir dunia dengan akal dan iman. Bukan dengan nafsu semata-mata. Buku yang sangat baik dibaca apabila kita mampu mencerna isinya.

_________________________

Norsamila Samsudin ialah penulis kelahiran Selangor yang menghasilkan novel Cantik (2019), Dia Bukan Mahsuri (2020), Maaf (2020), dan Lastik Kayu (2021). Beliau kini tinggal di Petaling Jaya, Selangor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi