Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Tuah berganda buat penulis kelahiran Chemor, Perak, Hafizah Iszahanid apabila dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Perak 2026 selepas beliau dianugerahkan SEA Write Award pada tahun 2025.
Kejayaan manis dan berharga dalam karier penulisannya ini membolehkan beliau membawa hadiah wang tunai sebanyak RM30 ribu dan watikah penghormatan yang disampaikan oleh Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad pada majlis Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-9 (HSDR-9) yang berlangsung di Galasa Caldwell, Ipoh, semalam.

Penulis 10 buah novel dan empat buku kumpulan cerpen ini diakui oleh para panel penilai HSDR-9 sebagai penulis yang terus tumbuh dan berkembang dengan menebarkan harum pemikirannya kepada taman sastera tanah air. Setiap karyanya mempunyai kekuatan tersendiri termasuklah aspek pemikiran mahupun kaedah penyampaian sehingga sebahagian besar karyanya memenangi pelbagai hadiah sastera negara.
Karya-karyanya juga memperlihatkan teknik persembahan yang relevan serta mengesankan, ditambah dengan penggunaan bahasa yang imaginatif dan komunikatif. Antara karya novel nukilannya termasuklah Deru Angin (2012), Lelaki Januari (2014), Nanyang (2014), Bukan Orang-orang (2015), Kuala Lumpur di Sebalik Bulan (2021) dan Tabula Rasa (2021).

Bermula sebagai penerima Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (1993 dan 1995), Hafizah Iszahanid tidak menoleh ke belakang lagi apabila terus mencipta kejayaan demi kejayaan dengan memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam, Sayembara Fiksyen Sains UTM Utusan, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Sayembara Novel Futuristik Malaysia GAPENA-DBP dan Sayembara Penulisan Novel KLWBC.
Tidak hanya menjadi seorang penulis, beliau turut menyumbang baktinya dalam pembangunan dan pengembangan sastera melalui pelibatannya sebagai pembimbing dan penceramah menerusi pelbagai program termasuklah bengkel penulisan rencana serta bengkel penulisan novel dan cerpen. Selain itu, beliau juga aktif menjadi ahli panel dalam pelbagai forum sastera.
Ketika ditemui oleh wartawan JendelaDBP, beliau menyatakan bahawa penganugerahan ini didekasikan kepada ibu, bapa, suami dan anak-anaknya yang sangat memahami dan sabar dengan rutin penulisannya. Tambahnya lagi,
terutamanya buat suami yang okey saat saya mengurung diri untuk menyelesaikan penulisan.
Beliau yang juga merupakan wartawan akhbar Berita Harian menyifatkan bahawa penulisan merupakan terapi hasil daripada bacaan dan sebagai menyatakan pendiriannya terhadap hal-hal yang berlegar dalam kehidupan seharian masyarakat.
Segala kejayaan dan pencapaian beliau ini juga turut boleh menjadi contoh yang baik dan berguna buat para penulis, terutamanya penulis muda. Memberi titipan nasihat kepada penulis muda, beliau menyatakan bahawa mereka perlu sabar dan harus menikmati proses penulisan kerana “Rom tidak dibina dalam masa sehari.”
Lanjutnya, beliau kini sedang berusaha gigih untuk menyiapkan sebuah novel yang diminta oleh penerbit.