Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – “Kecerdasan buatan (AI) tidak perlu ditolak sepenuhnya dari dunia kesusasteraan, namun pengunaannya perlu disertai dengan kejujuran dan rasa tanggungjawab”
Demikian inti ucapan oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad semasa merasmikan Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-9 (HSDR) di Galasa Caldwell, petang tadi.
Beliau berkata, kemunculan AI pada masa kini boleh membantu kerja pengkarya untuk menulis mahupun mengarang.
Walau bagaimanapun, pemikiran, pendirian dan pengalaman yang memberikan identiti kepada sesebuah karya masih perlu datang daripada manusia.
Pada masa sama beliau berkata, sastera mempunyai hubungan yang rapat dengan ekonomi kreatif dan oleh sebab itu pembangunan tidak boleh hanya dilihat melalui pelaburan, infrastruktur, sains dan teknologi semata-mata.
Beliau berkata, sebuah karya seni seperti novel boleh diadaptasi menjadi filem atau drama, manakala cerpen boleh dibawa ke pentas, dan begitu juga dengan puisi yang boleh dikembangkan melalui muzik, animasi serta kandungan digital.
Tambah beliau, perkembangan itu kemudian membuka ruang kepada penulis, penerbit, pengarah, pelakon, serta penggiat kandungan untuk bekerjasama.

Selain itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan bidang sastera sebagai wahana membina jati diri, memperkasakan budaya ilmu serta melahirkan masyarakat yang berfikiran kritis dan berbudaya tinggi.
Melalui penganjuran (HSDR) Ke-9, perkara tersebut telah membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam mengiktiraf sumbangan penulis, ilmuwan dan karyawan yang telah memperkayakan khazanah persuratan negeri dan negara.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memartabatkan sastera agar terus berkembang sebagai khazanah intelektual yang mampu membina generasi berilmu, berfikiran matang dan beridentiti,” jelas Dato’ Seri Saarani Mohamad.
Beliau menambah bahawa pengiktirafan melalui HSDR diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai penulis, khususnya generasi muda, untuk terus menghasilkan karya bermutu tinggi yang mencerminkan aspirasi masyarakat dan negeri Perak.
Negeri Perak memiliki sejarah panjang dalam perkembangan kesusasteraan negara dengan melahirkan ramai tokoh serta penulis berwibawa, oleh itu usaha memperkukuh ekosistem sastera perlu diteruskan secara konsisten melalui kerjasama pelbagai pihak.
Antara tokoh yang diangkat termasuklah Sasterawan Negara, Dato’ Baha Zain; novelis dan penulis cerpen, Baharuddin Kahar serta Sasterawan Negeri Perak 2024, Siti Zaleha Bee Mohd. Hashim.
“Tahun ini, dunia persuratan Perak menerima satu lagi penghormatan apabila Allahyarham Profesor Emeritus Dr. Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana dinobatkan sebagai Sasterawan Negara Ke-16 secara anumerta.
“Pengiktirafan itu sudah tentu mengangkat sumbangan beliau sebagai pengarang, sarjana, pengkritik dan pemikir sastera.”
Terdahulu, HSDR menyaksikan penyampaian pengiktirafan kepada penerima pelbagai kategori termasuklah Sasterawan Negeri Perak, Ilmuwan Negeri Perak, Karyawan Sepanjang Hayat Negeri Perak, Pejuang Muda Sastera Negeri Perak serta kategori buku, karya eceran dan karya ilmiah.
Pada edisi kali ini, Hafizah Iszahanid telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri, sekali gus dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Perak. Bagi Karyawan Sepanjang Hayat diberikan kepada Siti Zaleha Bee Mohd Hashim, manakala Mohamad Saleeh Rahamad diumumkan sebagai Ilmuwan Negeri Perak dan terakhir, Mohammad Hafiz Abdul Latiff diangkat sebagai Pejuang Muda Sastera Negeri Perak
Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-9 dianjurkan oleh People of Remarkable Talents (PORT) bagi pihak Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara sebagai usaha berterusan mengangkat martabat persuratan negeri serta menghargai sumbangan penggiat sastera kepada pembangunan budaya dan ilmu di Malaysia.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Salahuddin Dato Paduka Mohamed; Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Prof. Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim; Pengurus Besar People of Remarkable Talents (PORT), Puan Nur Hanim Dato’ Mohamed Khairuddin; Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Mohd Zaki Mahyudin dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Encik Mohamad Hamidi Baharuddin.