Diterbitkan pada 25 Julai 2026, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Nerus — Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi dinobatkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-40 Peringkat Negeri Terengganu 2026 yang berlangsung di Dewan Ungku Umar, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Nerus hari ini.

Kemenangan tersebut membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000.

Naib johan disandang oleh Nor Atiekah Hidayah Hussain yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM700, manakala tempat ketiga diraih oleh Muhammad Hisyam Abdul Rahim yang menerima hadiah wang tunai RM500.

Enam pemenang teratas Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-40 Peringkat Negeri Terengganu 2026 bergambar bersama-sama dengan pihak penganjur.

Sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) dengan kerjasama IPG Kampus Dato’ Razali Ismail ini menyaksikan penyertaan sebanyak 20 orang peserta.

Pada edisi kali ini, semua peserta menggunakan teks puisi yang terdapat dalam buku Atma Berdaulat terbitan GAPENA yang dilancarkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 baru-baru ini.

Pengarah DBP Wilayah Timur, Yang Berusaha (YBrs.) Puan Ariza Che Ismail berkata, DBP Wilayah Timur terus komited memperkasakan bahasa Melayu dan kesusasteraan kebangsaan sebagai medium pembinaan jati diri, perpaduan dan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

SDPK merupakan program tradisi anjuran GAPENA sejak tahun 1987 bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan. Bermula pada tahun 2010, penganjurannya diperluas menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuklah DBP Wilayah Timur bagi memastikan kesinambungan pencarian bakat baharu dalam seni deklamasi puisi tanah air.

Penganjuran SDPK Ke-40 ini bertujuan untuk menyemai rasa cinta akan negara, meneguhkan perpaduan masyarakat dan memartabatkan bahasa serta sastera Melayu. Selain itu, program ini menjadi platform penting untuk mengetengahkan bakat baharu dan meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap kesusasteraan kebangsaan.

Kredit Foto: Basirah Arifin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi