Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini mengetengahkan sisi kesusasteraan tokoh ilmuwan Islam tersohor, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi secara mendalam.
Pembentangan bertajuk “Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi sebagai Figura Sastera” disampaikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Muhammad Anwar Ahmad dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam sesi pembentangan kertas kerja keempat.
Menurut beliau, meskipun Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi lebih dikenali sebagai tokoh fiqh, dakwah dan pemikir Islam kontemporari, pada hakikatnya tokoh tersebut turut meninggalkan khazanah kesusasteraan yang besar dan signifikan.
Beliau menyatakan bahawa perkara ini dapat dibuktikan melalui ensiklopedia karya lengkap oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, iaitu Mausu‘ah al-A‘mal al-Kamilah li Samahah al-Imam Yusuf al-Qaradhawi yang merangkumi lebih 100 jilid dengan anggaran puluhan ribu halaman.
“Dalam ensiklopedia ini, terdapat satu bahagian khusus bertemakan puisi (al-syi‘r), sastera (al-adab) dan dialog (al-hiwar), merangkumi sekitar lapan jilid yang menghimpunkan karya puisi dan sastera beliau.
“Hal ini menunjukkan dimensi sastera itu memang wujud secara jelas dalam pemikiran dan penulisan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi,” jelasnya.
Dr. Muhammad Anwar turut menegaskan bahawa kekuatan kesusasteraan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi disebabkan oleh penguasaan bahasa Arab baku yang tinggi.
Tambah beliau, perkara ini diiktiraf oleh tokoh ilmuwan, iaitu Dr. Essam Tallema yang memuji gaya penulisan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi sebagai penulisan yang indah, lancar dan hidup bukan seperti penulisan ilmiah biasa, bahkan sarat dengan nilai estetika sastera.
Selain itu, beliau menyatakan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menghasilkan karya khusus berkaitan dengan kesalahan bahasa dalam kalangan pengamal media dan golongan terpelajar.
Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Anwar menjelaskan sumbangan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bidang kesusasteraan merangkumi pelbagai aspek, termasuk penulisan dua buah buku kumpulan puisi atau diwan syi‘r, iaitu Hembusan dan Bisikan (Nafahat wa Lafahat) serta Orang Muslim Maju (al-Muslimun Qadimun).
Selain puisi, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menghasilkan karya drama seperti Orang Berilmu dan Penzalim (‘Alim wa Taghiyah) serta drama puisi Yusuf al-Siddiq.
Turut diketengahkan ialah karya berbentuk autobiografi dan sastera kembara dalam beberapa jilid tertentu, termasuk catatan lawatan beliau ke Malaysia.
Menurutnya, karya-karya tersebut memperlihatkan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi bukan sahaja seorang sarjana agama, malah seorang sasterawan yang menggunakan bahasa sebagai medium dakwah dan pembinaan pemikiran ummah.
“Kesusasteraan yang dibawa oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi ialah sastera yang bersih, berakhlak dan sarat dengan nilai Islam, sekali gus sesuai diketengahkan dalam kerangka pembangunan masyarakat MADANI,” ujarnya.