Oleh Malique
26 Jun 2023, 19:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Gajah – Majlis penyampaian Anugerah Sayembara Penulisan Sajak Masyarakat Madani 2023 dengan tema “Membangun Masyarakat MADANI’’ telah diadakan di Ruang Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah.

Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Jabatan Undang-Undang, UiTM Cawangan Melaka, Kelab MeDIA, Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Kelab Akademik Mesra Intelek (KAMI) UiTM Cawangan Melaka dan AID Academy.

Terdahulu, pihak penganjur telah menerima sambutan yang cukup menggalakkan, iaitu hampir 100 penyertaan daripada seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya dan bangsa. Pelbagai tema diungkapkan berkaitan dengan masyarakat madani, literasi perundangan, kemanusiaan, modal insan dan kesukarelawanan.

Para pemenang merakamkan gambar kenang-kenangan dengan hadirin majlis.

Kepelbagaian ini menunjukkan bahawa sastera, seni dan budaya itu bersifat universal dan hak milik semua insan tanpa adanya sebarang jurang pemisah. Sayembara ini melibatkan dua kategori, iaitu Kategori A: Pelajar (Sekolah Menengah/ Matrikulasi/ Kolej/ IPT) dan Kategori B: Umum (Terbuka).

Sayembara ini berperanan sebagai suatu platform bagi percambahan pengetahuan dan pemikiran yang dinamik selain dapat menyerlahkan bakat individu dalam bidang penulisan kreatif, khususnya dalam penulisan sajak.

Majlis penganugerahan ini turut diserikan lagi dengan persembahan deklamasi sajak oleh para pemenang, iaitu Cikgu Mohd Rosli Bakir (Mencorak Bangsa Berwajah dan Bermaruah), Encik Noor Izam Samin (Jika Aku Menulis) dan Cikgu Rohana Karno (Mendaki Tangga Madani).

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan bacaan “puiter” (puisi teater) oleh Cik Miey GM bertajuk “Iqrak Pabila Pintu Langit Mulai Terbuka” yang memukau para hadirin. Encik Indra Jokina selaku penerima Pemenang Hadiah Sastera Sabah kategori puisi tahun 2020/2021 serta Johan Sayembara Penulisan Menara 2022 turut mendeklamasikan sajak bertajuk “Pom Para Pom Prak Kutilang Mesikui”.

Berikut adalah senarai keputusan penuh Sayembara Penulisan Sajak Masyarakat MADANI 2023 (pemenang dan tajuk sajak):

Kategori A: Pelajar (Sekolah Menengah / Matrikulasi / Kolej/ IPT)

  • Tempat Pertama: Muhammad Naim Omar (Memorabilia Dunia)
  • Tempat Kedua: Aimie Rifhan Hashim (Merpati Putih)
  • Tempat Ketiga: Muhammad Amirul Aiman (Haruman Madani)
  • Saguhati: Ziedan Naqeeb (Identiti Negaraku)
  • Saguhati: Chang Teck Choon (Masyarakat Madani)
  • Saguhati: Nur Airin Ryanna Abdullah (Masyarakat Madani Hidup Berjiran)

Kategori B: Umum (Terbuka)

  • Tempat Pertama: Ainun Nasibah Johar (Langkah Kita Bangsa Maju)
  • Tempat Kedua: Ku Manis Ku Ismail (Mahabbah Dalam Cinta Madani)
  • Tempat Ketiga: Mohd Rosli Bakir (Mencorak Bangsa Berwajah dan Bermaruah)
  • Saguhati: Rohana Karno (Mendaki Tangga Madani)
  • Saguhati: Noor Izam Samin (Menjulang Masyarakat Madani)
  • Saguhati: Pui Tiong Gee @ Awang bin Abdullah (Bahtera Madani)

Encik Malek, Koordinator Jabatan Undang-Undang selaku pengarah sayembara ini bercadang untuk menganjurkan sayembara tersebut dalam skala yang lebih besar dan meluas kelak menerusi kerjasama dengan persatuan penulis yang bernaung di bawah GAPENA selain turut berhasrat untuk menjalinkan kolaborasi pintar dengan institusi pengajian tinggi awam/ swasta (IPTA/S) serta agensi lain yang turut berminat. Selain itu, pihak penganjur juga mempunyai perancangan untuk menerbitkan semua karya peserta dalam bentuk digital.

Majlis perasmian penutup majlis telah disempurnakan oleh Encik Norhazlan Nordin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, PTAR yang mewakili Rektor UiTM Cawangan Melaka. Turut hadir ialah Puan Azura Mohd. Halid, Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (Sastera) yang mewakili Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.