Diterbitkan pada 25 Julai 2026, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Sasterawan Negara Ke-16, Mana Sikana atau nama sebenarnya Dr. Abdul Rahman Hanapiah, disifatkan sebagai pemikir dan teoris yang membina pendekatan kritikan serta pengkaryaan berasaskan gagasannya sendiri, sekali gus meletakkan beliau sebagai antara tokoh penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden.

Sasterawan Negara Ke-15, Dato’ Rahman Shaari berkata, keistimewaan Mana Sikana sebagai pengkritik sastera terletak pada keupayaannya menghasilkan karya berpandukan teori yang dibangunkannya sendiri.

Menurut beliau, nama pena “Mana Sikana” diilhamkan daripada Surah al-Baqarah ayat 286 yang membawa maksud “syariat kami”, sekali gus mencerminkan prinsip berkarya berdasarkan pendekatan dan keyakinannya sendiri.

“Mana Sikana bukan hanya mengkritik karya kesusasteraan, tetapi juga ahli teori dan pengarang. Oleh itu, beliau berjaya menjelaskan banyak karya yang bermutu, di samping menghasilkan karya mengikut teorinya sendiri,” katanya ketika menjadi pembicara dalam Wacana Pemikiran dan Kreativiti Sasterawan Negara Ke-16, Mana Sikana di Galasa Caldwell, Ipoh bersempena dengan majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan.

Sasterawan Negara Ke-15, Dato’ Rahman Shaari, dalam Wacana Pemikiran dan Kreativiti Sasterawan Negara Ke-16, Mana Sikana di Galasa Caldwell, Ipoh.

Rahman berkata, karya-karya Mana Sikana memperlihatkan kekuatan pemikiran yang mendalam serta lahir daripada penguasaan ilmu yang tinggi, sekali gus menjadikan beliau antara pengarang yang mengagumkan dalam dunia persuratan Melayu.

Beliau turut menjelaskan bahawa berbeza dengan sebahagian pengkritik yang cenderung melontarkan kritikan pedas terhadap karya orang lain, Mana Sikana lebih menumpukan usaha mentafsir dan memaknakan karya menerusi teori serta pendekatan yang dibangunkannya sendiri.

“Saya menilai beliau sebagai seorang pemikir. Karya-karya beliau ini rumit dan sarat dengan ilmu,” katanya.

Beliau turut berharap agar pemikiran dan pendekatan Mana Sikana menjadi inspirasi kepada lebih banyakpengarang muda untuk menghasilkan karya bermutu secara berterusan.

Wacana itu turut mengetengahkan pemikiran Mana Sikana yang banyak mengangkat persoalan intelektual, falsafah dan kemanusiaan menerusi karya dramatiknya. Eksperimentalis kelahiran Perak itu sering menyelami konflik batin, pencarian makna kehidupan, hubungan manusia dengan Tuhan serta pertembungan antara tradisi dengan perubahan zaman.

Melalui pendekatan estetika yang simbolik dan eksperimental, karya-karya beliau mengajak khalayak berfikir secara kritis tentang nilai, identiti, budaya dan tanggungjawab insan dalam mendepani cabaran masyarakat moden.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi