Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-9 (HSDR9) bakal diumumkan pada 25 Julai 2026 di Galasa Caldwell, Ipoh, Perak, sekali gus menamatkan debaran para penulis dan peminat sastera tanah air, khususnya di negeri Perak.
Antara kategori utama HSDR9 yang menjadi perhatian termasuklah Sasterawan Negeri Perak dengan hadiah bernilai RM30,000, Ilmuwan Negeri Perak dengan hadiah bernilai RM20,000, Karyawan Sepanjang Hayat Negeri Perak dengan hadiah bernilai RM20,000, dan Pejuang Muda Sastera Negeri Perak yang menawarkan hadiah sebanyak RM10,000.
Kategori lain yang tidak kurang menarik adalah Buku/Kumpulan dengan hadiah RM3,000 bagi Puisi, Cerpen dan Novel Dewasa, serta RM2,000 untuk Novel Remaja/Kanak-kanak dan Esei/Kritikan Sastera.
Begitu juga dengan kategori Karya Eceran yang merangkumi Puisi, Cerpen, Esei/Kritikan/Rencana Sastera, dan Skrip Drama yang kesemuanya menawarkan hadiah bernilai RM1,500.
Sementara itu, kategori Karya Ilmiah, iaitu Karya Citra Perak (Buku) menawarkan hadiah sebanyak RM3,000 dan akhir sekali kategori Karya Citra Perak (Eceran) pula menawarkan hadiah berjumlah RM1,500.
Semua penerima hadiah HSDR9 akan turut menerima plak penghargaan dan watikah penghormatan daripada Kerajaan Negeri Perak.
HSDR9 dianjurkan oleh People of Remarkable Talents (PORT), Ipoh bagi pihak Kerajaan Negeri Perak bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dalam memastikan karya kreatif mutakhir di Perak bukan sahaja menang anugerah, tetapi terus diterbitkan dan diwacanakan pada peringkat kebangsaan.
Pengumuman HSDR9 juga menjadi medan kesinambungan kegemilangan sastera Perak, yang baru-baru ini telah melahirkan Sasterawan Negara (SN) ke-16, Allahyarham Mana Sikana, atau nama sebenarnya Abdul Rahman Napiah.
Bersempena dengan majlis penyampaian HSDR9, turut diadakan sesi Bicara Sasterawan Negara ke-16 berjudul “Pena Kreatif Mana Sikana” yang akan disampaikan oleh SN ke-15, YBhg. Dato’ Rahman Shaari, pada pukul 2.00 petang.
Sesi wacana ini akan menumpukan pada pemikiran kritikal dan teori sastera seperti Teksdekonstruksi atau Sastera Islam yang dipelopori Mana Sikana.
