Diterbitkan pada 20 Julai 2026, 18:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pontian – Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) mencipta sejarah dengan menghidupkan semula Malam Puisi Malaysia bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan ke-25 di Citra Sri Pinang, Benut, baru-baru ini.

PPJ dan DBPWS selaku penganjur mengetengahkan kelainan dalam acara ini dengan menampilkan persembahan daripada penggiat sastera yang terdiri daripada pelbagai profesion dari seluruh Malaysia.

Kumpulan peguam dan guru agama,  Atika Puspha,  Afiah Saini dan Nurul Izzah Andah menyampaikan sajak berjudul “Jangan Biarkan Air Mata Mengalir Pedih”  karya Amiruddin Ali dan “Kita Kibarkan Panji Peradaban’” karya Mohd Rosli Bakir.

Sementara itu, Abd Karim Gulam, Zarir Ali dan Hj. Johari Jonet mendeklamasikan sajak pilihan masing-masing manakala Yusnosyazana Mohd Yunos menyampaikan syair dan Halimaton Zaharah Ali pula menyampaikan gurindam.

Selain itu, malam yang dihadiri oleh lebih 150 penggiat sastera itu turut dimeriahkan dengan persembahan lagu puisi yang disampaikan oleh pemuzik jalanan dan pengasas kumpulan Ohmygais Buskers, Yuslisham dan penyanyi lagu nasyid, Muhammad Amirulhakim.

Turut hadir termasuklah Pengarah DBPWS, YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin; Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, YBhg. Dato’ Mohd Sumali Reduan;  Ahli Lembaga Penasihat Perpustakaan Negara Malaysia, YBhg. Datuk Jasni Matlani; dan Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Abd. Halim Ali.

Untuk rekod, Malam Puisi Malaysia pertama kali diadakan di Pusat Islam, Kuala Lumpur pada tahun 1991 anjuran Kelab Sastera DBP dengan menampilkan seniman legenda, Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi