Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuhamad Syafiq Mohd Salleh dan para pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu (Kepujian), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, datang bertandang dan mewawancara Tuan Haji Mohd. Khairy Haji Halimi, penulis satira yang prolifik dari Johor Darul Ta’zim.
Keistimewaan Mohd. Khairy terletak pada keupayaannya memindahkan realiti sosial ke dalam dunia simbolik …
Kesusasteraan Melayu moden tidak pernah ketandusan pengarang yang berani mengangkat suara masyarakat melalui pelbagai pendekatan kreatif. Dalam tradisi tersebut, satira menjadi salah satu medium penting untuk menyampaikan kritikan terhadap pelbagai kepincangan sosial, politik dan kemanusiaan secara halus tetapi berkesan. Antara tokoh yang konsisten mengembangkan genre ini termasuklah Tuan Haji Mohd. Khairy Haji Halimi atau lebih dikenali dengan nama penanya, Khairy Halimi dan Maya Rimba. Beliau seorang penulis satira prolifik dari wilayah selatan tanah air yang berjaya membina identiti tersendiri melalui penggunaan flora, fauna dan alam semula jadi sebagai medium perlambangan.
Dilahirkan pada 13 Disember 1954 di Kampung Seri Bukit Panjang, Pekan Nenas, Pontian, Johor, Mohd. Khairy membesar dalam persekitaran kampung yang cukup dekat dengan dunia alam semula jadi. Pengalaman tersebut kemudiannya menjadi asas penting dalam pembentukan estetika dan falsafah kepengarangannya. Berbekalkan latar pendidikan pertanian di Institut Pertanian Serdang serta pengalaman lebih tiga dekad berkhidmat di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), beliau membina dunia pengkaryaan satira yang unik apabila haiwan, tumbuhan dan serangga diberikan peranan sebagai watak yang mencerminkan perilaku manusia.
Keistimewaan Mohd. Khairy terletak pada keupayaannya memindahkan realiti sosial ke dalam dunia simbolik. Jika George Orwell menggunakan watak haiwan dalam Animal Farm untuk mengkritik politik totalitarian, Mohd. Khairy pula membina citra “parlimen haiwan”, “komuniti kerbau”, “masyarakat kambing”, dan “wilayah rimba” bagi mengupas pelbagai persoalan yang dekat dengan masyarakat pada hari ini. Pendekatan ini menjadikan karya beliau bukan sahaja menarik dari sudut naratif, malah kaya dengan lapisan makna yang menuntut pembacaan kritis.
Salah satu pemikiran utama yang mendasari karya-karya Mohd. Khairy ialah kecenderungannya menggunakan satira sebagai alat kritikan sosial. Namun menariknya, kritikan yang dibawanya tidak disampaikan secara keras atau menyerang individu tertentu. Sebaliknya, beliau memilih pendekatan yang bersifat lunak, berlapik dan penuh hikmah. Sesungguhnya, satira dapat ditakrifkan sebagai sebuah karya sastera yang bertujuan untuk menyindir atau mempersendakan seseorang atau suatu perkara.
Melalui novel seperti Nabatah, Lang Budi dan Komuniti Aljabar, pelbagai isu seperti ketamakan manusia, pencemaran alam sekitar, keruntuhan nilai moral, dan kelemahan sistem sosial disampaikan melalui perlambangan haiwan dan tumbuhan. Pendekatan ini membolehkan pembaca menilai realiti masyarakat tanpa berasa dihukum atau diserang secara langsung. Kritikan menjadi lebih berkesan kerana hal itu hadir dalam bentuk renungan dan kesedaran.

Kehalusan penulisan satira Mohd. Khairy turut memperlihatkan keyakinannya bahawa sastera bukan sekadar ruang mengkritik, tetapi menjadi wahana pendidikan masyarakat secara berhikmah. Setiap sindiran yang disampaikan sentiasa disertai dengan jalan penyelesaian, nilai moral dan pengajaran yang dapat dijadikan pedoman oleh pembaca.
Pengalaman Hidup sebagai Asas Kepengarangan
Banyak karya beliau menampilkan watak-watak pemimpin yang bertindak sebagai pembimbing masyarakat, bukannya penguasa yang menindas rakyat.
Meneliti keseluruhan karya Mohd. Khairy, jelas bahawa pengalaman hidup memainkan peranan besar dalam pembentukan pemikirannya. Banyak karya beliau lahir daripada pengalaman lapangan, pemerhatian sosial dan interaksi langsung dengan masyarakat.
Novel Medan Estuari misalnya, terhasil daripada pengalaman beliau menjalankan kajian sosioekonomi bersama-sama komuniti nelayan. Novel Aksioma Ain pula ditulis hasil cetusan idea daripada pengalaman mengurus seorang rakan sekerja yang mengalami gangguan kesihatan mental. Pengalaman-pengalaman tersebut kemudiannya diterjemahkan menjadi karya kreatif yang sarat dengan persoalan kemanusiaan yang penting untuk dibicarakan pada hari ini.

Hal ini membuktikan bahawa bagi Mohd. Khairy, penulisan bukan sekadar aktiviti imaginasi, tetapi proses memahami kehidupan dan menterjemahkan realiti ke dalam bentuk yang lebih bermakna.
Selain persoalan sosial, pemikiran politik turut menjadi teras penting dalam karya beliau. Namun politik yang dibicarakan bukanlah politik kepartian semata-mata, sebaliknya politik dalam pengertian yang lebih luas, iaitu soal kepimpinan, amanah dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Novel Nabatah misalnya, memperlihatkan bagaimana perebutan kuasa dan pengaruh boleh merosakkan sistem sosial apabila pemimpin kehilangan integriti. Watak-watak yang tamak kuasa digambarkan sanggup memanipulasi proses pemilihan, mempengaruhi penyokong dan menghapuskan lawan demi kepentingan sendiri. Melalui perlambangan ini, Mohd. Khairy sebenarnya sedang mengkritik budaya politik yang mengabaikan prinsip amanah dan kejujuran.
Dalam kerangka pemikirannya, pemimpin yang baik bukanlah pemimpin yang paling berkuasa, tetapi pemimpin yang berilmu, berintegriti dan memahami bahawa kepimpinan ialah amanah daripada Tuhan. Oleh sebab itu, banyak karya beliau menampilkan watak-watak pemimpin yang bertindak sebagai pembimbing masyarakat, bukannya penguasa yang menindas rakyat.
Unsur Alam sebagai Nilai Estetika dan Kreatif
Satu lagi aspek yang membezakan Mohd. Khairy daripada penulis satira lain ialah kecenderungannya menjadikan alam sebagai sumber utama kreativiti. Penggunaan flora dan fauna dalam karya beliau bukan sekadar hiasan untuk menggerakkan sesuatu cerita semata-semata. Sebaliknya, setiap spesies haiwan yang dipilih berdasarkan pemerhatian saintifik dan kefahaman mendalam terhadap sifat semula jadinya.
Pengalaman beliau sebagai penyelidik pertanian memberikan kelebihan yang jarang-jarang dimiliki oleh pengarang lain. Dalam novel Pahlawan Sang Kumbang Badak, Lang Budi, Tatakrama dan Komuniti Aljabar, pemilihan haiwan dilakukan secara teliti berdasarkan sifat biologi yang bersesuaian dengan mesej yang ingin disampaikan.
Kumbang badak misalnya melambangkan kekuatan dan kewibawaan kepimpinan, manakala kancil dalam Nabatah menjadi simbol kebijaksanaan dan strategi. Kerbau dalam Komuniti Aljabar pula digunakan untuk membincangkan persoalan identiti, budaya dan hubungan antara kelompok masyarakat. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana ilmu sains dapat bergabung secara harmoni dengan dunia sastera untuk menghasilkan karya yang lebih bermakna.
Nilai Perpaduan dan Kemanusiaan
Antara pemikiran yang paling menonjol dalam karya beliau ialah penekanan terhadap nilai perpaduan dan kemanusiaan. Novel Lang Budi merupakan contoh terbaik bagaimana beliau mengangkat isu hubungan antara kaum melalui simbol masyarakat ayam yang mewakili pelbagai kelompok etnik.
Dengan mengambil inspirasi daripada peristiwa 13 Mei 1969, beliau menegaskan bahawa perpaduan tidak dapat dibina melalui dominasi atau kekuasaan sesuatu kelompok. Sebaliknya, perpaduan hanya akan lahir apabila masyarakat mengamalkan nilai kemanusiaan seperti toleransi, empati dan saling menghormati.
Melalui pendekatan satira yang kreatif dan berkesan, beliau mengingatkan pembaca bahawa konflik sosial sering berpunca daripada prasangka, ketidakadilan dan kegagalan memahami perbezaan dalam masyarakat. Oleh itu, penyelesaian kepada konflik tersebut perlu bermula dengan pengukuhan nilai kemanusiaan dalam kehidupan bermasyarakat.

Dalam landskap kesusasteraan Melayu kontemporari, Mohd. Khairy Haji Halimi muncul sebagai seorang penulis satira yang memiliki identiti yang tersendiri. Karya-karyanya membuktikan bahawa satira tidak semestinya hadir dalam bentuk sindiran yang keras dan tajam. Sebaliknya, satira juga boleh disampaikan melalui bahasa yang santun, simbolisme yang kreatif dan perlambangan alam yang kaya dengan makna.
Melalui dunia haiwan, tumbuhan dan serangga yang dibinanya, Mohd. Khairy berjaya mengangkat pelbagai persoalan besar tentang manusia, masyarakat, politik, kepimpinan, dan kemanusiaan. Keupayaan beliau menggabungkan ilmu sains, pengalaman hidup dan kreativiti sastera menjadikan karya-karyanya bukan sahaja menarik untuk dibaca, malah penting sebagai bahan renungan dalam memahami kerancuan realiti kehidupan masyarakat pada hari ini yang wajar dididik dengan pendekatan secara bijaksana.
Penulisan karya satira merupakan satu bentuk penulisan yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam dunia kesusasteraan kerana mampu menyampaikan kritikan, teguran dan pandangan terhadap masyarakat secara kreatif, halus dan berkesan. Melalui penggunaan simbol, perlambangan dan unsur imaginatif, satira bukan sahaja menghiburkan pembaca, malah mendorong mereka untuk berfikir secara kritis terhadap pelbagai isu yang berlaku dalam kehidupan.
Keupayaan genre ini menggabungkan unsur hiburan dengan pemikiran menjadikannya sentiasa relevan sebagai wadah pendidikan, pembentukan jati diri dan pencetus kesedaran sosial kepada pembaca.
Karya satira yang baik bukan sahaja mampu menghiburkan pembaca, malah berupaya membuka ruang renungan terhadap pelbagai persoalan kehidupan, kemasyarakatan dan kemanusiaan. Melalui pendekatan yang kreatif dan berhikmah, satira terus menjadi salah satu wahana penting dalam memperkaya khazanah kesusasteraan Melayu serta membentuk masyarakat yang lebih peka, kritis dan berfikiran terbuka terhadap realiti yang berlaku di sekeliling mereka.
Sesungguhnya, Maya Rimba atau Mohd. Khairy bukan sekadar penulis satira prolifik dari Wilayah Selatan, tetapi juga seorang pemikir sastera yang berjaya membuktikan bahawa alam semula jadi mampu menjadi cermin paling jujur untuk memantulkan wajah sebenar manusia dalam kehidupan nyata pada hari ini.
Beli novel Komuniti Aljabar.
_________________________
Muhamad Syafiq Mohd Salleh tinggal di Teluk Kerang, Pontian, Johor. Beliau siswa Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian, Universiti Putra Malaysia.