Diterbitkan pada 13 Julai 2026, 14:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Victor A. Pogadaev melaporkan lawatan mesra Dewan Bahasa dan Pustaka ke Rusia baru-baru ini.

Betapa pentingnya mengkaji sastera Timur dan menarik perhatian minat penyelidik Rusia yang semakin meningkat terhadap budaya dan sastera dunia Melayu …

Pada 7 Mei 2026, delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pengarah, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari melawat A.M Gorky Institute of World Literature of the Russian Academy of Sciences (IWL RAS) di A.M Gorky Institute, Moscow, Rusia. Lawatan tersebut merangkumi pertemuan rasmi dengan Pengarah IWL RAS, V.V. Polonsky dan Pengarah Saintifik IWL RAS yang juga Ahli Akademi Sains, A.B. Kudelin.

Seminar Bahasa dan Sastera Melayu sebagai Simbol dan Objek Penyelidikan Negara yang dianjurkan oleh Bahagian Kesusasteraan Asia dan Afrika IWL RAS merupakan acara bersama pertama dalam rangka perjanjian yang ditandatangani oleh pihak IWL RAS dengan DBP pada bulan November 2025 sewaktu sela Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal, dan Kebudayaan di Langkawi, Malaysia.

Seminar itu sangat simbolik kerana bertepatan dengan lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar ke Moscow, Rusia, selaku Ketua Negara Malaysia pertama yang diundang sebagai Tetamu Kehormat untuk meraikan Sambutan Ulang Tahun ke-81 Hari Kemenangan.

Pada waktu perasmian seminar, V.V. Polonsky menyatakan betapa pentingnya mengkaji sastera Timur dan menarik perhatian minat penyelidik Rusia yang semakin meningkat terhadap budaya dan sastera dunia Melayu. A.B. Kudelin pula menjelaskan beberapa tradisi lama mengkaji sastera Melayu dan tamadun Islam secara am di Rusia.

Datuk Dr. Hazami Jahari dan pimpinan Institut Sastera Dunia tukar-menukar cenderamata sambil disaksikan oleh Dr. Eugenia Kukushkina.

Dalam seminar itu, delegasi DBP membentangkan kertas kerja, iaitu Ketua Pengarah, dengan kertas kerja bertajuk “Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pembinaan Bahasa dan Sastera Kebangsaan di Malaysia dan Antarabangsa”; Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, Encik Saifullizan Yahaya dengan kertas kerja bertajuk “Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pembinaan Sastera Melayu di Malaysia dan Luar Negara”; dan Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik DBP, Encik Abdul Ghani Abu dengan kertas kerja bertajuk “Bahasa Melayu Bahasa Utama Dunia: Menggapai Visi Memperkukuh Strategi”.

Para pembentang kertas kerja Seminar Bahasa dan Sastera Melayu sebagai Simbol dan Objek Penyelidikan Negara dalam sesi meja bulat.

Barisan pembentang yang lain termasuklah:

  • Ketua Bahagian Kesusasteraan Asia dan Afrika, YBrs. Dr. Evgeniya S. Kukushkina (kertas kerja “Dr. Boris B. Parnickel sebagai Pengkaji Kesusasteraan Melayu”);
  • Pensyarah Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) Kementerian Luar Negara Rusia, YBrs. Dr. Victor A. Pogadaev (kertas kerja “Terjemahan Karya Sastera Klasik Rusia ke dalam Bahasa Melayu”);
  • Penyelidik Kanan Bahagian Sastera Negara-negara Asia dan Afrika IWL RAS, YBrs. Dr. Mark Yu. Ulyanov (kertas kerja “Penyelidikan Sejarah dan Sumber-sumber Sejarah Nusantara di Rusia”);
  • Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Timur Akademi Sains Rusia, YBrs. Dr. Lyubov V. Goriaeva (kertas kerja “Pengalaman Terjemahan Prosa Naratif Melayu Abad ke-14 – Abad ke-19 ke dalam Bahasa Rusia”); dan
  • Penyelidik Institut Kajian Timur Akademi Sains Rusia, YBrs. Dr. Svetlana V. Tkhor (kertas kerja “Hukum Kanun dan Hukum Laut Melaka: Terjemahan ke dalam Bahasa Rusia”).

Pertemuan dan perjanjian kerjasama ini mempunyai potensi yang besar. Para pembentang mengambil kesempatan untuk berkongsi pendapat mereka tentang bidang kerjasama yang akan diterokai bersama.

Pada hari berikutnya, delegasi DBP disambut mesra di Pusat Sastera Timur, Perpustakaan Negara Rusia. Ucapan alu-aluan diberikan oleh Pengarah Pusat Sastera Timur, Marina V. Melanyina dan Timbalan Presiden Persatuan Nusantara, Dr. Victor A. Pogadaev.

Para peserta Malaysia-Rusia di Pusat Sastera Timur, Perpustakaan Negara Rusia.
Datuk Dr. Hazami bersedia memberikan ucapan dengan Puan Alexandra S. Chernykh di sebelahnya di Pusat Sastera Timur.

Datuk Dr. Hazami Jahari berkongsi tentang sejarah DBP dan komitmen agensinya untuk mempersembahkan sastera negaranya kepada golongan akademik dan orang awam di Rusia.

Pensyarah kanan Institut Penyelidikan Asia dan Afrika Lomonosov Universiti Negara Moscow (IAAS MSU), Puan Alexandra S. Chernykh tampil dengan ceramah tentang sejarah dan tradisi pembelajaran bahasa Melayu di institut itu dengan menekankan peranan Dr. Tatiana V. Dorofeeva sebagai salah seorang penganjurnya.

Mahasiswa peringkat sarjana, Sergei Kolomeits berkongsi pandangannya tentang kuliah bahasa Melayu di IAAS MSU dan dalam masa yang sama mahasiswi institut tersebut, iaitu Polina Kivileva membacakan sebuah puisi Latiff Mohidin.

Delegasi yang hadir sempat juga menyaksikan beberapa kamus Melayu abad ke-18 yang menjadi khazanah berharga Perpustakaan Negara Rusia.

_________________________

Victor A. Pogadaev (Prof. Madya Dr.) merupakan Timbalan Presiden Nusantara Society, Lomonosov Moscow State University.

Kredit Foto: Victor A. Pogadaev
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi