Oleh Marsli N.O
Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sempena Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka yang ke-70, Marsli N.O mengenangi jasa editor sastera yang pernah berkhidmat dalam pelbagai wahana penerbitan susastera, sekali gus menyampaikan titipan penghargaan buat mereka yang berjuang “di sebalik” karya.

Bagi penulis baharu, editor sering menjadi guru pertama yang sebenar.

Di sebalik setiap kesempurnaan sesebuah karya eceran yang tersiar di dada akhbar dan majalah, atau tampil sebagai sebuah buku yang bermaruah di depan khalayak pembaca, kita seolah-olah melupakan hakikat bahawa di sebalik semua itu, hadirnya tangan keramat bernama editor yang penuh dedikasi memberikan khidmatnya.

Mereka tidak berdiri di pentas, tidak disebut namanya dalam ulasan, dan jarang-jarang pula diraikan. Namun tanpa mereka, banyak karya mungkin kekal sebagai draf yang pincang, atau tidak pernah sampai ke tangan pembaca dalam bentuk yang sempurna.

Editor sastera ialah individu yang bekerja dalam diam. Ibaratnya, mereka membaca ketika orang lain tidur, membetulkan ketika orang lain bersorak, dan menolak dengan sopan ketika orang lain memuji.

Tugas mereka bukan sekadar membetulkan ejaan atau tanda baca, tetapi secara langsung (atau tidak) membantu membentuk fikiran penulis, memandu emosi cerita, dan menjaga maruah bahasa serta sastera itu sendiri.

Dalam dunia penerbitan akhbar, majalah dan buku, editor sastera ialah penjaga pintu yang tegas tetapi sering berlaku adil.

Bagi penulis baharu, editor sering menjadi guru pertama yang sebenar. Manuskrip yang dihantar dengan penuh harapan akan kembali dengan catatan, pembetulan dan kadangkala penolakan.

Ada yang kecewa, ada yang berkecil hati. Namun bagi yang sabar dan terus belajar, di situlah bermulanya proses menjadi penulis yang lebih matang.

Editor mengajar bukan melalui syarahan, tetapi melalui coretan merah yang jujur dan teliti.

Dalam sejarah sastera Melayu moden, ramai editor telah memainkan peranan besar membentuk wajah dan arah penulisan. Antara nama yang wajar dikenang dan dijadikan contoh (sekadar menyebut beberapa nama) termasuklah Sutan Shahril Limbang, A. Samad Said, Dino SS, dan Salbiah Ani di Berita Harian, New Straits Times Press (Malaysia) Bhd.; Keris Mas, Abdullah Hussain, Kemala, Sutung Umar RS, Rozninah Abd. Azib, dan Abdul Ahmad di Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka; serta Ku Seman Ku Hussain di Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.

Kalangan generasi kini pula, nama-nama baharu yang wajar disebut serta dijadikan contoh termasuklah Fadli al-Akiti, Sayuti Yusob, Hafizah Iszahanid, Rasul Abd Manan, dan apatah lagi dalam dunia penerbitan buku. Masih ramai editor yang berkerja diam-diam dan penuh dedikasi. Nama seperti Anuar Manshor, Wan Mohd Farid, Zalila Isa, Ahmad Zamani Ishak, atau Rosli Jamaasim memang tidak asing kepada penulis.

Mereka bukan sekadar penyunting, tetapi pendidik, pembimbing dan penggerak sastera.

Dino SS (kiri) bersama-sama Awang Had Salleh. (Sumber: A.F. Yassin)

Dino SS misalnya, dikenali sebagai editor yang berani memberikan ruang kepada suara-suara baharu. Di bawah kendaliannya, halaman sastera menjadi medan latihan yang sebenar. Karya yang diterima bukan semata-mata kerana nama penulis, tetapi kerana mutu dan kejujurannya. Beliau tegas terhadap bahasa, tetapi memahami proses belajar penulis muda. Ramai penulis yang hari ini sudah dikenali pernah “berguru” secara tidak langsung melalui suntingan dan komen beliau.

Sutung Umar RS (Sumber: ITBM)

Sutung Umar RS pula membawa ketelitian dan kehalusan dalam dunia penyuntingan. Dalam Dewan Sastera, beliau dikenali sebagai editor yang sangat menjaga nilai estetika dan pemikiran dalam karya. Setiap cerpen, puisi atau esei yang melalui tangannya akan diuji dari segi idea, struktur dan makna.

Beliau tidak mudah berkompromi dengan karya yang dangkal, tetapi pada masa yang sama, memberikan ruang untuk penulis berkembang. Sutung Umar RS membuktikan bahawa editor juga seorang pemikir sastera.

Abdul Ahmad (Sumber: Kerabat DBP)

Abdul Ahmad yang turut berkhidmat sebagai editor Dewan Sastera, memberikan sumbangan yang tersendiri dan tidak kurang pentingnya. Pendekatan beliau dalam penyuntingan menekankan kesedaran intelektual dan tanggungjawab penulis terhadap pemikiran masyarakat.

Beliau melihat sastera bukan sekadar hiburan atau eksperimen bahasa, tetapi sebagai wadah pemikiran yang membawa makna. Dalam suntingannya, Abdul Ahmad sering menuntut kejelasan idea dan keteguhan hujah, khususnya dalam karya esei dan kritikan. Ramai penulis belajar bahawa menulis dengan baik juga bermakna berfikir dengan jujur dan tersusun.

Rozninah Abd. Azib (Sumber: Rozninah Abd. Azib)

Rozninah Abd. Azib pula sering dikenang sebagai editor yang mempunyai sentuhan keinsanan. Tegasnya tidak melukai, dan nasihatnya tidak menjatuhkan. Beliau memahami bahawa penulis bukan sekadar mesin idea, tetapi manusia yang membawa perasaan, pengalaman dan luka sendiri. Dalam menyunting, beliau tahu bila perlu membetulkan, dan bila perlu membiarkan penulis mencari suaranya sendiri. Sikap ini menjadikan beliau dihormati dan disayangi oleh ramai penulis.

Ku Seman Ku Hussain (Sumber: Ku Seman Ku Hussain)

Ku Seman Ku Hussain yang pernah berkhidmat di Utusan Melayu Bhd. pula memainkan peranan besar dalam mendekatkan sastera kepada pembaca umum. Beliau sedar bahawa sastera dalam akhbar perlu hidup bersama-sama masyarakat, berbicara tentang realiti dan keresahan seharian tanpa mengorbankan mutu. Di bawah penyuntingannya, karya sastera tampil segar, berani dan mengajak pembaca berfikir. Halaman sastera menjadi ruang dialog, bukan sekadar ruang pameran.

Selagi ada editor yang setia membaca dan membimbing, selagi itulah sastera akan terus bernafas.

Sebagai seorang editor, apakah sebenarnya sumbangan utama mereka yang wajar dihuraikan dalam rencana penghargaan seperti ini?

Pertama, editor ialah penjaga kualiti. Mereka memastikan setiap karya yang tersiar memenuhi standard bahasa, logik dan nilai sastera. Tanpa editor, halaman sastera akan menjadi longgokan tulisan yang tidak terurus.

Kedua, editor ialah pembimbing senyap penulis. Ramai penulis tidak pernah bertemu editor mereka secara bersemuka, namun belajar banyak melalui proses suntingan. Dari situ, penulis belajar tentang disiplin, kesabaran dan kejujuran dalam berkarya. Editor mengajar bahawa menulis bukan sekadar meluahkan, tetapi menyusun dan memikirkan.

Ketiga, editor ialah pemilih suara zaman. Mereka menentukan karya mana yang sesuai dengan konteks masyarakat dan masa. Pilihan editor mencerminkan kepekaan mereka terhadap isu semasa, pemikiran generasi dan arah sastera. Oleh itu, editor sebenarnya turut membentuk sejarah sastera.

Keempat, editor ialah penjaga maruah bahasa Melayu. Dalam dunia yang semakin longgar terhadap penggunaan bahasa, editor sastera menjadi benteng terakhir yang memastikan bahasa digunakan dengan betul dan indah. Mereka mempertahankan struktur, istilah dan kehalusan bahasa tanpa perlu berteriak.

Kelima, editor ialah orang tengah antara penulis dengan pembaca. Mereka memastikan karya dapat difahami dan dinikmati tanpa kehilangan keaslian. Hal ini memerlukan kebijaksanaan kerana terlalu banyak suntingan boleh mematikan suara penulis, manakala terlalu sedikit pula boleh merosakkan karya.

Menulis rencana penghargaan seperti ini bukan bertujuan untuk mengangkat editor sebagai wira yang sempurna. Editor juga manusia yang boleh tersilap dan mempunyai selera tersendiri.

Namun hal yang ingin diraikan ialah dedikasi dan keikhlasan mereka dalam usaha menjaga dunia sastera, sering kali dalam keadaan ruang sastera semakin mengecil dan perhatian semakin terhad.

Sebagai seorang penulis yang pernah melalui zaman sebagai penulis pemula dan muda, saya mengenang jasa sekian jumlah editor yang banyak berjasa dan membantu hari ini, termasuk mereka yang tidak saya sebutkan namanya secara terbuka di sini, sebagai menghargai satu proses dan pengalaman yang telah mematangkan diri ini sebagai penulis.

Saya belajar mengerti dan menerima dengan hati terbuka, betapa setiap penolakan bukan penamat, setiap pembetulan bukan penghinaan. Sebaliknya, di situlah latihan sebenar berlaku. Editor mengajar bahawa karya yang baik lahir daripada kesungguhan dan kesabaran.

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa yang memilih berjalan sendirian dan hanya menjadi dirinya sendiri.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi