Diterbitkan pada 18 Jun 2026, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Samarahan Karya penerima S.E.A. Write Award 2024, Roslan Jomel memperlihatkan keberaniannya dalam bereksperimen dengan bentuk dan teknik penceritaan, selain turut merakam pelbagai persoalan kemanusiaan, keterasingan hidup moden serta pencarian makna dalam masyarakat kontemporari.

Perkara itu diketengahkan dalam program Bicara Tokoh Penerima S.E.A. Write Award (Malaysia) 2024 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi tadi.

Program yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP Cawangan Sarawak, Encik Abdul Rasid Haji Subet itu menghimpunkan penerima S.E.A. Write Award (Malaysia) 2017, Abizai; penulis serta pengkritik sastera, Frankie Latit dan tokoh yang diraikan, Roslan Jomel sendiri.

Dalam mukadimah sesi, Abdul Rasid memperkenalkan Roslan sebagai penerima S.E.A. Write Award (Malaysia) yang ketiga dari Sarawak selepas Jong Chian Lai (2006) dan Abizai (2017).

Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian besar bukan sahaja kepada Roslan, malah kepada perkembangan kesusasteraan Sarawak secara keseluruhannya.

Menurut beliau, Roslan Jomel merupakan cerpenis, penyair dan pengkritik sastera yang terkenal dengan gaya penulisan yang unik, eksperimental dan sering mencabar cara pembacaan konvensional.

“Beliau dibesarkan dalam persekitaran budaya yang kaya dan memulakan penulisan sejak tamat alam persekolahan.

“Minat yang mendalam terhadap sastera mendorong beliau terus berkarya walaupun melalui pelbagai pengalaman hidup dan pekerjaan,” katanya.

Abdul Rasid turut menjelaskan bahawa pengalaman Roslan bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat telah membentuk dunia kreatifnya yang banyak menampilkan isu kemiskinan, keterpinggiran, tekanan sosial, kehidupan masyarakat bandar, dan konflik identiti manusia moden.

Beliau berkata, karya Roslan yang diterbitkan dalam pelbagai majalah dan akhbar, termasuklah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Berita Harian, Utusan Sarawak, Utusan Borneo, Suara Sarawak, Selangorkini, dan Seni Malaya memperlihatkan kecenderungan pengarang itu menggunakan simbolisme, metafora serta unsur realisme magis untuk menyampaikan gagasan penceritaan yang lebih mendalam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas cabaran mentafsir beberapa karya Roslan, Frankie Latit mengakui bahawa beliau sendiri berdepan dengan kesukaran untuk menghuraikan sepenuhnya pemikiran yang terkandung dalam karya penulis tersebut, walaupun telah membaca sebahagian besar bukunya berulang kali.

“Saya boleh katakan hampir semua buku cerpen Roslan Jomel saya baca sekurang-kurangnya tiga kali. Namun begitu, apabila diminta mengulas dan mentafsir karyanya, saya masih berasa sukar kerana beliau mempunyai pendekatan yang sangat berbeza daripada kebanyakan penulis lain,” katanya.

Menurut Frankie, antara faktor yang menjadikan karya Roslan begitu mencabar termasuklah latar belakang beliau sebagai penulis puisi sebelum beralih secara aktif kepada penulisan cerpen.

Katanya, seorang penyair lazimnya memiliki kepekaan bahasa yang tinggi dan cenderung menggunakan imejan, simbol serta metafora yang padat makna, dan ciri-ciri itu turut hadir dalam cerpen-cerpen Roslan.

Beliau menjelaskan bahawa dunia naratif yang dibina oleh Roslan sering kali tidak terikat pada logik biasa, malah merentasi sempadan ruang dan waktu sehingga memerlukan pembaca memberikan tumpuan yang lebih mendalam untuk memahami maksud yang tersirat.

“Roslan merupakan penulis yang tidak mematuhi konvensi sastera yang lazim, dan beliau seolah-olah mencabar dan meruntuhkan konvensi tersebut untuk membina dunia kreatifnya sendiri,” katanya.

Frankie turut merujuk pandangan beberapa pengkritik dan sarjana sastera yang pernah mengulas karya Roslan sebagai teks yang kompleks, sarat dengan lapisan makna dan memerlukan pembacaan yang aktif.

Menurutnya, unsur realisme magis yang sering digunakan oleh Roslan menjadikan karyanya berupaya menggabungkan dunia nyata dengan unsur luar biasa bagi menonjolkan realiti sosial yang sering terlepas daripada perhatian masyarakat.

Beliau berkata, kumpulan cerpen seperti Selamat Datang ke Malaywood, Posmen dalam Televisyen dan Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan memperlihatkan keupayaan Roslan mengolah persoalan kemiskinan, ketidakadilan sosial, pengasingan, dan keresahan hidup manusia melalui pendekatan yang kreatif dan berani.

“Bagi saya, karya Roslan ialah karya yang berat, bukan karya yang kabur. Pembaca perlu berusaha menyelami setiap lapisan cerita untuk menemukan makna yang tersembunyi di sebaliknya,” katanya.

Frankie turut menyifatkan pengiktirafan S.E.A. Write Award yang diterima oleh Roslan sebagai sesuatu yang wajar, berdasarkan sumbangan besar beliau kepada perkembangan kesusasteraan negara.

Beliau turut berpandangan bahawa Roslan telah lama layak diangkat sebagai salah seorang tokoh penting dalam kesusasteraan Sarawak berdasarkan konsistensi dan mutu karya yang dihasilkannya sejak lebih tiga dekad lalu.

Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP Cawangan Sarawak, Abdul Rasid Haji Subet ketika menyenaraikan karya dan pengiktirafan Roslan Jomel dalam program Bicara Tokoh Penerima S.E.A. Write Award (Malaysia) 2024.

Dalam sesi berikutnya, Abizai mengupas aspek puisi Roslan yang menurutnya banyak merakamkan pengalaman manusia moden yang hidup dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar.

Beliau berkata, watak yang muncul dalam puisi Roslan lazimnya terdiri daripada masyarakat bandar dan golongan perantau yang berhijrah ke kota untuk mengejar kehidupan yang lebih baik.

Namun begitu, di sebalik impian dan harapan itu, mereka sering berdepan perasaan terasing, kehilangan identiti serta kegagalan menemukan kebahagiaan yang dicari.

“Kota digambarkan sebagai ruang yang menjanjikan peluang, tetapi pada masa yang sama menjadi tempat yang menghimpit dan memisahkan manusia daripada nilai-nilai kemanusiaan yang asal,” katanya.

Menurut beliau, banyak puisi Roslan memperlihatkan bagaimana manusia moden bergelut dengan tekanan hidup, persaingan ekonomi dan kehampaan rohani walaupun berada dalam persekitaran yang serba maju.

Abizai berkata, tema keterasingan tersebut menjadi antara kekuatan utama puisi Roslan kerana dekat dengan pengalaman masyarakat masa ini yang semakin terdedah pada pelbagai tekanan sosial dan psikologi.

Selain itu, Roslan turut mengangkat perbandingan antara kehidupan kota dengan masyarakat kampung di desa yang sering digambarkan sebagai kelompok yang masih mengekalkan nilai keikhlasan, kesederhanaan dan hubungan kemanusiaan yang erat.

Beliau turut menyentuh puisi “Melati” (dalam Dewan Sastera tahun 2015) yang dianggap antara karya penting Roslan yang menggambarkan kesucian jiwa seorang insan yang hidup dalam kekurangan fizikal, tetapi memiliki kekayaan batin yang luar biasa.

“Puisi itu memperlihatkan kemampuan Roslan melihat kemanusiaan dari sudut yang lebih mendalam, melangkaui ukuran material dan fizikal,” katanya.

Menurut Abizai, Roslan juga memperlihatkan keprihatinan yang tinggi terhadap isu alam sekitar dan kelestarian alam melalui beberapa puisinya yang mengkritik kerakusan manusia mengeksploitasi alam demi kepentingan pembangunan.

Sementara itu, Roslan Jomel ketika ditanya mengenai perasaannya selepas diumumkan sebagai penerima S.E.A. Write Award, beliau menerima berita tersebut dengan penuh kesederhanaan.

Menurutnya, beliau tidak pernah mencalonkan diri untuk anugerah berkenaan dan tidak menjadikan pengiktirafan sebagai matlamat utama dalam berkarya.

“Saya berpegang pada satu prinsip. Jika kita menulis dengan baik, anugerah akan mencari kita.

“(Hal) yang penting bukan mengejar anugerah, tetapi menghasilkan karya yang baik dan memberikan renungan kepada pembaca,” katanya.

Beliau menambah, tugas seorang penulis adalah untuk menyumbang kepada perkembangan budaya intelektual masyarakat melalui karya yang mampu mencetuskan pemikiran, persoalan dan refleksi.

Bagi Roslan, pengiktirafan yang diterima bukanlah noktah dalam perjalanan kepengarangannya, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus menghasilkan karya yang bermutu dan bermakna.

Sepanjang lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia sastera, beliau telah menghasilkan tujuh kumpulan cerpen, sebuah kumpulan puisi dan sebuah kumpulan esei, selain meraih pelbagai pengiktirafan termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Anugerah Sastera Negeri Sarawak.

Pengiktirafan S.E.A. Write Award sekali gus mengukuhkan kedudukan Roslan Jomel sebagai antara pengarang penting Malaysia yang berjaya membawa suara masyarakat marhaen, kegelisahan manusia moden dan persoalan kemanusiaan sejagat dalam karyanya yang kaya dengan eksperimen bahasa serta pemikiran mendalam.

Kredit Foto: Norfazrie Isquandy
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi