Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 09:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah membincangkan novel yang memenangi Hadiah Booker Antarabangsa 2026, Taiwan Travelogue.

Selera dalam novel ini berkait rapat dengan kuasa kolonial.

Kemenangan Taiwan Travelogue karya Yáng Shuāng-zǐ dalam International Booker Prize 2026 (Hadiah Booker Antarabangsa 2026) menarik perhatian dunia kepada kesusasteraan Taiwan yang selama ini sering tenggelam di bawah bayang-bayang China, Jepun dan geopolitik Asia Timur. Novel yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris oleh Lin King, seorang penterjemah Taiwan-Amerika, menjadi karya pertama yang asalnya ditulis dalam bahasa Mandarin memenangi anugerah berprestij tersebut. Panel juri menyifatkannya sebagai “a captivating, slyly sophisticated novel yang berjaya menjadi “both a romance and an incisive postcolonial novel.”

Novel ini mengambil latar Taiwan tahun 1938 ketika pulau itu berada di bawah penjajahan Jepun. Watak utamanya, Aoyama Chizuko, seorang penulis Jepun, menyertai lawatan budaya tajaan kerajaan ke seluruh Taiwan. Sepanjang perjalanan itu, dia ditemani oleh Chizuru, jurubahasa tempatan yang pendiam dan agak misteri. Pada permukaannya, Taiwan Travelogue kelihatan seperti memoir pengembaraan yang dipenuhi dengan catatan makanan, perjalanan kereta api dan suasana bandar kolonial. Namun begitu, semakin jauh novel ini bergerak, semakin jelas bahawa Yáng sedang membongkar sesuatu yang lebih rumit: bagaimana sebuah tanah jajahan dipersembahkan kepada mata empayar.

Aoyama melihat Taiwan melalui pengalaman rasa dan makanan. Dia menikmati sup, mi, teh, dan pelbagai hidangan tempatan dengan keterujaan seorang pengembara yang mahu “menemui” sebuah dunia baharu. Dalam banyak bahagian, makanan menjadi jalan masuk kepada sejarah sosial Taiwan yang rumit. Namun, Yáng Shuāng-zǐ tidak menunjukkan pengalaman kulinari sebagai sesuatu yang polos. Selera dalam novel ini berkait rapat dengan kuasa kolonial. The Guardian menyebut Aoyama sebagai seorang penulis Jepun dengan “a monstrous appetite” ketika menjelajah pengalaman kulinari Taiwan. Taiwan dipersembahkan kepada pelawat Jepun sebagai ruang eksotik yang boleh dinikmati, dihuraikan dan akhirnya dimiliki melalui bahasa serta pengalaman budaya.

Di sinilah kekuatan besar novel ini. Penjajahan tidak dipersembahkan semata-mata melalui tentera atau kekerasan politik. Sebaliknya, kolonialisme bergerak melalui bahasa, rasa, pelancongan, dan cara melihat orang lain. Taiwan menjadi objek pemerhatian, lalu perlahan-lahan berubah menjadi objek konsumsi.

Yáng memahami bahawa empayar sering hadir dalam bentuk yang mempesona. Kereta api moden, hotel, restoran, dan budaya bandar kolonial memberikan gambaran kemajuan. Namun, di sebalik semua itu, tersembunyi hubungan kuasa yang tidak seimbang. Chizuru sedar akan keadaan tersebut jauh lebih mendalam daripada Aoyama. Sebagai jurubahasa, dia bukan sahaja menterjemah bahasa, tetapi juga menterjemah kehendak kolonial.

Hubungan antara kedua-dua watak itu digerakkan melalui jarak dan salah faham. Aoyama cuba memahami Chizuru, tetapi Chizuru kekal sukar dibaca hingga ke penghujung novel. Natasha Brown, pengerusi panel Booker, menyifatkan Chizuru sebagai “enchanting, yet unknowable. Keterangan itu tepat kerana keseluruhan novel ini sebenarnya bergerak di sekitar persoalan “ketidakbolehfahaman” manusia dan sejarah.

Yáng tidak mahu menjadikan watak terjajah sebagai sepenuhnya telus untuk tatapan pembaca. Terdapat bahagian diri Chizuru yang terus disembunyikan. Penolakan terhadap ketelusan inilah yang menjadikan novel ini begitu kuat secara emosi dan politik.

Salah satu aspek paling menarik dalam Taiwan Travelogue ialah bentuknya yang berlapis-lapis. Novel ini dibingkaikan sebagai sebuah teks Jepun lama yang “ditemui semula” lalu diterjemahkan kepada bahasa Mandarin. Novel ini turut disertai dengan nota kaki, komentar penterjemah dan pelbagai campur tangan tekstual yang kadangkala bercanggah antara satu sama lain. Pembaca sentiasa dipaksa bertanya: siapakah sebenarnya yang sedang bercerita?

Teknik ini mengingatkan pembaca kepada karya metafiksyen sejarah seperti tulisan Jorge Luis Borges atau W.G. Sebald, tetapi Yáng menggunakannya dengan tujuan yang lebih dekat dengan sejarah kolonial Taiwan. Arkib kolonial sentiasa tidak lengkap. Sejarah pula sering hadir melalui dokumen yang sudah dipadam, diubah atau diterjemahkan berkali-kali. Novel ini sengaja membiarkan banyak perkara kabur.

Dalam wawancara bersama-sama The Booker Prizes, Yáng Shuāng-zǐ menjelaskan bahawa masyarakat Taiwan melihat sejarah penjajahan Jepun secara lebih bercampur antara rasa tidak senang dengan nostalgia, tidak seperti Korea yang lebih seragam dalam penolakannya terhadap kolonialisme Jepun. Beliau menyatakan bahawa Taiwan Travelogue ditulis untuk “untangle the complex circumstances that Taiwan’s people faced in the past.” Kenyataan tersebut membantu menjelaskan mengapa novel ini tidak pernah menawarkan jawapan yang benar-benar muktamad tentang identiti atau sejarah Taiwan.

Sebaliknya, Taiwan muncul sebagai ruang sejarah yang retak dan bertindih. Pengaruh Jepun hadir di mana-mana: pada bahasa, sistem pendidikan, pengangkutan, dan budaya bandar. Yáng tidak meromantiskan penjajahan Jepun, tetapi beliau juga tidak menulis dalam kerangka hitam putih yang terlalu mudah. Terdapat nostalgia, trauma, kekaguman, dan juga rasa kehilangan yang dapat dirasakan. Semua unsur itu hidup serentak dalam novel ini.

Kekuatan novel ini juga terletak pada bahasa. Taiwan ketika itu merupakan ruang aneka bahasa yang dipenuhi oleh bahasa Jepun, Mandarin, Hokkien, Hakka, dan bahasa peribumi. Dalam Taiwan Travelogue, terjemahan tidak pernah “neutral”. Setiap tindakan menterjemah melibatkan pilihan, penapisan dan kuasa.

Terjemahan bahasa Inggeris oleh Lin King menerima pujian kerana berjaya mengekalkan lapisan bahasa dan kerumitan budaya dalam novel tersebut. Pengkritik di Words Without Borders memuji keberanian karya terjemahan ini yang dikatakan bergerak dengan kesedaran tinggi terhadap ketegangan antara bahasa sumber dengan bahasa sasaran. Pengulas menyorot bahawa teks terjemahan tersebut tidak berusaha meratakan perbezaan, sebaliknya mengekalkan perubahan nada dan lapisan tekstual yang berbeza sebagai sebahagian daripada pengalaman membaca. Terjemahan juga turut mencerminkan kerumitan budaya dan struktur naratif asal. Dalam masa yang sama, pendekatan ini memperlihatkan bagaimana kerja penterjemahan bukan sekadar pemindahan makna, tetapi juga satu usaha untuk mengekalkan kehadiran “asing” yang membentuk tekstur asal karya. Pembaca bahasa Inggeris dipaksa menghadapi ketidakselesaan linguistik yang sama seperti dialami watak-wataknya. Pendekatan itu menjadikan terjemahan bukan sekadar kerja pemindahan bahasa, tetapi sebahagian daripada struktur artistik novel itu sendiri.

Taiwan yang dikenalinya mungkin hanyalah sebuah persembahan kolonial.

Selain persoalan bahasa dan kolonialisme, Taiwan Travelogue juga menampilkan dimensi emosi yang sangat halus. Hubungan antara Aoyama dengan Chizuru berkembang perlahan-lahan melalui perbualan, perjalanan dan jamuan makan. Namun, Yáng tidak menulis hubungan itu secara sentimental. Keintiman mereka sentiasa dibayangi oleh hierarki kolonial. Seorang datang sebagai wakil empayar, manakala seorang lagi pula hidup di bawah penjajahan.

Yáng Shuāng-zǐ (Sumber: Bea Phi)

Novel ini berkali-kali mengajukan soalan yang sama: bolehkah kasih sayang benar-benar wujud dalam hubungan yang tidak seimbang? Soalan itu tidak pernah dijawab secara langsung. Sebaliknya, pembaca dibiarkan bergelut dengan ambiguiti tersebut sehingga akhir.

Apa yang lebih menarik lagi adalah apabila Yáng lebih banyak membina ketegangan melalui suasana berbanding aksi dramatik. Sebahagian besar novel bergerak melalui pemerhatian kecil: bunyi kereta api, aroma makanan, perbualan yang tergantung, dan rasa canggung antara dua manusia yang saling tertarik tetapi tidak pernah benar-benar memahami satu sama lain. Rentak perlahan ini mungkin mencabar sebahagian pembaca, tetapi hal-hal “kecil” inilah yang menjadikan novel ini indah.

Terdapat detik-detik tertentu dalam novel ini yang menimbulkan kesedaran bawah sedar, contohnya, ketika Aoyama menyedari bahawa segala yang dilihatnya di Taiwan mungkin telah disusun untuk pandangan pelawat Jepun. Taiwan yang dikenalinya mungkin hanyalah sebuah persembahan kolonial. Kesedaran itu menjadikan bentuk travelog dalam novel ini sesuatu yang ironik. Secara tradisional, travelog ialah genre yang membolehkan pengembara menjelaskan dunia asing kepada pembaca metropolitan. Namun, Taiwan Travelogue akhirnya menjadi antitravelog. Pengembara tidak lagi menguasai tempat yang dikunjunginya. Sebaliknya, dia tersesat di dalamnya.

Novel ini juga memperlihatkan bagaimana makanan boleh menjadi arkib budaya. Sejarah rasmi yang mungkin dipadam atau ditulis semula, tetapi rasa dan ritual makan sering bertahan lebih lama. Yáng menggunakan makanan sebagai cara menghidupkan memori Taiwan yang tidak tercatat dalam dokumen politik. Dalam satu bahagian yang sangat indah, makanan digambarkan sebagai sesuatu yang menyimpan masa lalu di dalam rasa. Idea tersebut menjadi inti pada keseluruhan novel. Ingatan tidak hadir secara langsung, tetapi muncul melalui bau, tekstur dan serpihan pengalaman tubuh.

Tidak hairanlah ramai pengkritik melihat Taiwan Travelogue sebagai antara novel sejarah paling penting dalam sastera Asia mutakhir. Novel ini tidak bergantung pada peperangan besar atau tokoh politik terkenal. Sebaliknya, Yáng memilih ruang yang lebih intim: meja makan, perjalanan kereta api dan percakapan kecil antara manusia. Di sinilah kolonialisme menjadi paling nyata. Empayar bukan sekadar dasar politik, namun hadir dalam cara orang memandang, menyentuh dan mengingini orang lain.

Kemenangan Taiwan Travelogue juga menunjukkan perubahan penting dalam dunia sastera antarabangsa. Selama bertahun-tahun, karya terjemahan berada di pinggir dunia penerbitan bahasa Inggeris. Namun begitu, anugerah seperti International Booker Prize semakin membuka ruang kepada karya dari bahasa dan wilayah yang sebelum ini kurang diberikan perhatian. Kemenangan Yáng dan Lin King juga membawa makna yang lebih besar daripada pengiktirafan penulis dan penterjemah. Kemenangan ini juga menunjukkan bahawa sejarah dan imaginasi Taiwan kini mula dibaca sebagai sebahagian penting daripada kesusasteraan dunia kontemporari.

Akhir kata, pencapaian terbesar novel ini juga mungkin terletak pada keberaniannya mempertahankan ambiguiti. Dalam zaman yang terlalu ghairah mencari jawapan mudah dan identiti yang mutlak, Taiwan Travelogue memilih ketidakpastian. Novel ini mengingatkan bahawa sejarah sentiasa berlapis, bahasa sentiasa tidak mencukupi dan manusia tidak pernah benar-benar dapat diterjemahkan sepenuhnya.

_________________________

Nasirin Abdillah (Profesor Madya Dr.) merupakan pensyarah dalam bidang seni kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Puncak Perdana. Beliau juga seorang ahli teori yang telah mencipta teori 2IN untuk kegunaan dalam bidang seni, sastera dan mitologi.

Kredit Foto: The Booker Prizes/Facebook
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi