Diterbitkan pada 7 Jun 2026, 20:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan dan penggiat seni visual perlu terus menjalinkan kerjasama bagi memperkukuh hubungan antara kedua-duanya yang berkongsi matlamat mengangkat nilai kemanusiaan dan keindahan sejagat.

Moderator Sesi Apresiasi Sastera (SAS), Encik Mohd. Nizam Haji Radzaly berkata, pihak penganjur mengundang sasterawan untuk membicarakan seni tampak seperti lukisan, arca dan fotografi kerana kedua-duanya mempunyai titik pertemuan yang signifikan.

Menurut beliau, penulis bukan sahaja berkarya melalui bahasa, malah turut menanggapi dan mentafsir dunia visual melalui perspektif tersendiri.

“Proses sastera menjadi jambatan yang menghubungkan manusia juga perlu difahami oleh khalayak, termasuk pelukis, pengarca dan penggiat seni yang lain,” katanya dalam sesi tersebut yang berlangsung di Dewan Persidangan Antarabangsa, Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia (SGM), hari ini.

SAS yang julung-julung kali diadakan ini menghimpunkan dua orang Sasterawan Negara (SN), iaitu YBhg. SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan YBhg. SN Datuk Dr. Zurinah Hassan bagi membincangkan hubungan antara sastera dengan seni tampak dalam konteks pameran “Harmoni: Warna dan Jalinan” yang sedang berlangsung di situ.

Perbincangan tersebut menampilkan pendekatan yang unik apabila karya seni visual ditafsirkan menerusi lensa sastera, kemanusiaan dan kedamaian.

Turut hadir ialah YBhg. SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, para pelukis yang terlibat dalam pameran tersebut serta pegawai SGM.

Dalam sesi itu, SN Datuk Dr. Zurinah Hassan memuji penganjuran SAS yang mampu membuka ruang kerjasama yang lebih erat antara golongan penulis dengan penggiat seni tampak.

“Sesi seperti ini perlu diteruskan supaya hubungan antara kedua-dua bidang ini menjadi lebih kukuh kerana jurang dan perbalahan hanya akan merugikan kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh berpendapat bahawa perbincangan berkenaan dengan seni akan menjadi lebih menyeluruh sekiranya turut melibatkan komposer atau penggubah muzik, memandangkan muzik juga mempunyai hubungan rapat dengan proses penciptaan karya sastera.

Menjawab persoalan mengenai perbezaan antara penulis dengan pelukis, SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menjelaskan bahawa beliau memilih bahasa sebagai medium ekspresi, namun tetap mengakui pengaruh besar seni tampak dalam penulisan kreatifnya.

Beliau berkata, penulis memilih kata-kata yang mempunyai citra untuk menghasilkan karya, malah ada kalanya ilham tersebut lahir daripada karya seni visual. Menurutnya lagi, penulis dan pelukis sebenarnya saling melengkapi kerana kedua-duanya berusaha menterjemahkan pengalaman manusia melalui medium yang berbeza, sekali gus mencantumkan dunia sastera dan seni lukis. Dalam keadaan tertentu, satu daripada medium itu boleh berkembang dan menyerlah melebihi yang lain.

Beliau turut mengakui bahawa walaupun tidak berjaya menjadi pelukis, pengalaman melihat dan menghayati seni visual banyak membantu proses pengkaryaannya.

SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh berkongsi pengalaman ketika berada di Portugal apabila beliau mendapat ilham menulis setelah melihat seorang ibu menenun kain untuk anaknya. Tambahnya, pengalaman visual yang digabungkan dengan unsur muzik dan bahasa mampu melahirkan karya yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Beliau juga mengimbau pengalaman lalu apabila beberapa sajaknya diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan oleh pelukis tersohor, Syed Ahmad Jamal.

“Sebaik sahaja pulang ke Malaysia, saya berasa sangat kagum dan teruja apabila mendapati sajak-sajak saya telah dilukis oleh Syed Ahmad Jamal,” katanya.

Pengalaman tersebut mendorong beliau mencadangkan agar pertemuan antara penulis dengan pelukis diadakan semula seperti program manifestasi dua seni yang pernah dianjurkan beberapa dekad lalu.

Sementara itu, SN Datuk Dr. Zurinah Hassan yang mengakui kali pertama berbicara secara khusus tentang seni tampak di hadapan khalayak menyifatkan seni sebagai jambatan yang mampu menyatukan manusia meskipun berbeza latar belakang dan minat.

“Walaupun kecenderungan kita berbeza, manusia tetap disatukan oleh fitrah yang mencintai keindahan, kebersihan dan kewangian. Sama ada penulis mahupun pelukis, kedua-duanya menolak keburukan dan kekotoran,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa unsur keharmonian dalam kehidupan berupaya menyumbang kepada perpaduan, namun cara untuk memupuk dan memperkukuh keharmonian tersebut memerlukan penelitian yang lebih mendalam.

Menurut beliau lagi, nilai sejagat yang terkandung dalam karya seni dan sastera mampu menyatukan manusia tanpa mengira sempadan geografi atau budaya.

Dalam sesi yang sama, SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail turut berkongsi pengalaman peribadi yang mendorong beliau menceburi bidang penulisan dan seni lukis, termasuk pengalamannya menuntut ilmu di Yogyakarta walaupun berdepan cabaran daripada keluarga pada peringkat awal.

Secara keseluruhannya, SAS merupakan langkah permulaan yang penting untuk menghimpunkan penulis dan pelukis dalam satu platform yang dapat memperkukuh persefahaman serta kerjasama antara kedua-dua bidang.

Sesi bergambar bersama-sama Sasterawan Negara sempena dengan Sesi Apresiasi Sastera di Dewan Persidangan Antarabangsa, Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi