Diterbitkan pada 6 Jun 2026, 21:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Kejayaan mengekalkan ruangan Info Susastera selama lima tahun berturut-turut dalam majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan hasil sinergi dan kerjasama strategik yang erat antara Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS), DBP dengan Bahagian Majalah, DBP.

Panel utama Diskusi Info Susastera: Lima Tahun Berkongsi Maklumat, Encik Rusdi Abd Rahman.

Perkara tersebut dikongsikan oleh panel utama, iaitu Encik Rusdi Abd Rahman, Perancang Bahasa BPS dalam slot Diskusi Info Susastera: Lima Tahun Berkongsi Maklumat yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Encik Fatah Aswadi Nasri selaku Moderator Diskusi Info Susastera:  Lima Tahun Berkongsi Maklumat.

Diskusi anjuran BPS ini dikendalikan oleh Penolong Eksekutif Bahasa, Encik Fatah Aswadi Nasri selaku moderator yang memperlihatkan komitmen dua bahagian ini yang berjaya menghasilkan rujukan sastera dalam setiap keluaran majalah Dewan Sastera sejak Januari 2021 hingga Jun 2026.

Menurut Encik Rusdi, pengeluaran 66 siri Info Susastera secara berterusan ini merupakan satu bentuk usaha bersama yang saling melengkapi di bawah organisasi DBP.

“Tanpa kerjasama ini, penerbitan Info Susastera tidak akan menjadi. Walaupun BPS mempunyai bahan dan menjalankan penyelidikan secara tekun, namun sekiranya tidak ada tempat atau saluran untuk menyebarkannya, maklumat tersebut tidak dapat dikongsikan kepada khalayak,” jelas beliau yang turut memberikan penghargaan khusus kepada sidang editorial Dewan Sastera atas pencapaian ini.

Proses di sebalik tabir penerbitan ruangan ini melibatkan ketelitian yang tinggi, dengan usaha pihak BPS menyediakan data berasaskan kajian yang kemudiannya disesuaikan dengan reka bentuk daripada pihak editorial Dewan Sastera.

Kerjasama ini memastikan setiap maklumat yang kompleks dapat diringkaskan dalam konsep infografik tanpa menjejaskan standard penerbitan majalah.

Antara pengisian penting dalam Info Susastera termasuklah sejarah dan liputan biografi tokoh dan Sasterawan Negara, anugerah dan hubungan serantau, kupasan teks karya agung, dan sejarah penubuhan persatuan yang memperjuangkan sastera dan para karyawan.

Contoh hasil ruangan Info Susastera yang dikongsikan oleh panel utama, Encik Rusdi Abd Rahman dalam sesi Diskusi Info Susastera: Lima Tahun Berkongsi Maklumat.

Gabungan kepakaran kedua-dua bahagian dalam membahagikan maklumat sastera kepada pelbagai kategori utama bagi menarik minat pembaca terutamanya generasi muda membuahkan hasil apabila Info Susastera turut dijadikan sebagai rujukan di sekolah.

Lantaran itu, Encik Rusdi bersetuju dengan lontaran pandangan oleh moderator yang menyifatkan ruangan Info Susastera sebagai “pembuka selera” bagi khalayak pembaca.

“Saya bersetuju dengan moderator bahawa ruangan Info Susastera sebagai pembuka untuk pembaca mengenali dunia sastera dan mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang tokoh, peristiwa penting atau karya tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju masa hadapan, beliau menegaskan bahawa perancangan bagi tempoh lima tahun hingga 10 tahun akan datang perlu dirangka dengan segera.

“Kita telah lima tahun membuat Info Susastera. Untuk lima tahun yang akan datang, adakah masih menggunakan standard begini ataupun masih klise begini? Maklumat, data dan fakta tidak boleh diubah, cuma kaedah penyampaiannya boleh diubah. Dan setakat ini, Info Susastera memang antara yang autentik dan paling sesuai untuk dikongsikan dengan masyarakat sebagai bahan rujukan sastera,” tambahnya.

Koleksi majalah Dewan Sastera boleh didapatkan di reruai DBP dengan harga yang istimewa bersempena dengan PBAKL 2026 yang berlangsung hingga 7 Jun 2026.

Turut hadir dalam sesi diskusi ini termasuklah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP yang menanggung tugas Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, Encik Saifullizan Yahaya dan karyawan DBP.

Kredit Foto: Syafiq Selamat, Facebook Dewan Sastera
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi